Wednesday, February 25, 2009

Gerakan Pemikiran Aliran Baru dan Cabarannya

Semalam, seperti diwar-warkan dlm n3 terdahulu di sini telah datanglah Ustaz Dr Muhammad Uthman El Muhammady, seorang tokoh Maal hijrah peringkat Kebangsaan 2005. Kepada orang kebiasaan spt kita, beliau bukanlah idola, mahupun nama terkenal, tetapi dikalangan ilmiah Islam Nusantara kini, beliau ialah salah seorang insan yang menjadi rujukan. Antaranya, beliau merupakan salah seorang juru edit terjemahan Al qur'an 'pimpinan al-Rahman' versi English yang baru saja selesai penerbitan dan berada di pasaran Malaysia.

Beliau didatangkan ke masjid tpt saya memandangkan sejak akhir2 ini begitu banyak isu2 khaifiat baru yang dipelopori oleh segelintir qariah yang agak berbeza dgn apa yang telah kita amalkan sekian lama mengikut ahli sunnah wal jamaah. Ada juga yang begitu berani sehingga membida'ahkan amalan kita seperti amalan yassinan, tahlilan dan wirid2 serta do'a bersama imam selepas solat berjemaah.
Dengan tajuk Gerakan Pemikiran Aliran Baru dan Cabarannya kepada Umat, Dr Muhammad Uthman telah mengupas, secara ilmiah (ye lah beliaukan seorang Fellow Amat Utama ISTAC), penjelasan2 dan peringatan kepada kami, supaya amat2 berhati2, berkeras, bertegas, berteguh dalam pencarian kita mencari keredhaan Allah dan terus dengan pegangan sunnah wal jamaah kita seperti yang telah diputuskan oleh para jemaah ulama' Nusantara. Beliau juga memberi amaran bahawa akan datang satu arus pengamal aliran baru yang lebih dahsyat dalam masa akan datang, sepertimana yang telah diingatkan oleh Baginda Nabi s.a.w (ruj Hadits sahih - Bukhari Muslim).
Selesai majlis, ada juga (para pengamal Aliran Baru) yang tidak berpuas hati dan terus berdepan dengan Ustaz Dr Muhammad bertanyakan beberapa fakta yang telah beliau sebut tadi. Terserlah ketokohan beliau, dengan begitu tenang menjawab, memberi hujjah tambahan dan menunjukkan rujukan mengenai apa2 yang telah beliau nyatakan semasa kuliah tadi. Amatlah nampak berasapnya para pengamal Aliran Baru tetapi, itulah, bila sudah beremosi dalam muzakarah, bila kita ni tak tebal ilmu, maka terserlah pula kepincangan kita. Entahlah, itulah resam sesetengah manusia, cepat benar mendabik dada padahal ilmu secetek air di hulu...
Kesimpulannya:
Bila beramal, kenalah kita berilmu dengan yang betul dan ikutlah pendapat dan persetujuan ramai (yang lebih arif tentang sesuatu hal). Bila bermuzakarah, biarlah kita hanya bertujuan untuk mencapat persetujuan, bukan untuk mendabik dada bermegah2. Bila mencari pendidikan agama, tiada jalan pintas, semuanya memerlukan kesabaran. Yang dicari cuma keredhaanNya bukan nak femes dan pofuler...Baru aman dari gundah gulana


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, February 24, 2009

Kusyuk dalam solat - tambahan ilmu

Aku menyebut dengan nama Allah yang Mahapemurah lagi Mahapenyayang.

Akhir-akhir ini pelbagai persoalan yg timbul dalam benak fikiran bila didedahkan dengan pelbagai hal2 yang baru dalam solat.

Pendedahan baru ini didatangkan dalam bentuk ilmiah, dengan kitab2 rujukan dan petikan2 hadits yang disanadkan oleh pembawa sebagai sahih. Selalunya semua sesi2 kuliah yang diikuti akan dibukakan dengan unggakap 'datanglah dengan minda terbuka' atau 'amalan2 ini bukan perkara baru cuma di tanah air kita ini pendedahannya agak terhad'.

Pendedahan baru ini nampak seperti perkara kecil, hal2 khaifiat dalam mengerjakan solat, seperti bagaimana kita melakukan perkara2 sunat dalam mencari kesempurnaan bersolat. Pada mulanya begitulah cara pemikiranku. Ini cuma hal kecil2, selagi tidak melanggar rukun2 dalam solat, dan tiada perbezaan aqidah, maka biarlah perkara ini datang sebagai ilmu baru dan jika tidak dpt diterima maka biarlah ianya berlalu.

Namun, akhir2 ini perbezaannya semakin ketara. Sampai kepada perkara2 sunat Ab'adh seperti membaca qunut. Tidaklah dapat difahami bagaimana segelintir jemaah yang bertegas bahawa bacaan qunut dalam solat subuh berjemaah adalah tidak perlu. Maka mereka cuma berdiri tegak semasa imam membaca do'a qunut. Bukankan berjemaah itu syaratnya ialah mengikut imam? Pusing bila ku fikirkan terus bagaimana perkara kecil ini boleh memporak perandakan jemaah yang baru sahaja ada tanda2 pertambahan ahlinya. Walaupun sesetengah pendapat mengatakan bahawa bacaan qunut dalam solat subuh kebiasaan bukanlah sesuatu yang perlu untuk kesempurnaan solat, tetapi bila berjemaah kan perlu ikut imam? Melainkan jika pak imam itu sendiri yang memilih untuk tidak membaca qunut dan tidak pula sujud sahwi maka lainlah ceritanya.
Begitulah dilema kita hari ini, dengan kemudahan komunikasi maka penyebaran agama menjadi lebih meluas, cepat dan dengan banyak rujukan ilmiah. Segelintir kita yang masih dengan amalan yang telah kita amalkan sekian lama (dari KAFA), maka apabila pendedahan baru dibuat dengan cara sekerat2 maka timbullah keraguan dan persoalan. Padahal, seluruh umat yang mendirikan solat hanya dengan satu tujuan, mencari keredhaan Allah. Namun, banyak masa kita habiskan untuk berdebat berkenaan hal2 khaifiat..yang kekadang memang mengelirukan...
Hanya Allah yang Mahamengetahui


Catatan Selanjutnya...

Monday, February 23, 2009

Self Reminder - Aurat

Sejak akhir2 ini kita dikejutkan dgn pelbagai berita tergempar yang sedikit sebanyak menimbulkan persoalan tentang pemahaman kita berkenaan ilmu asas, iaitu aurat. Perkara basic yang kekadang kita terlepas pandang, dan dalam arus yang mana "perkara dah kebiasaan menjadikan kita alpa" pada hukum2 asas yang telah jelas dan nyata, cuma kita sahaja yang mencari alasan untuk menidakkannya...


Mengikut kitab Idaman Penuntut, AURAT adalah dihuraikan spt berikut;

1. Aurat Lelaki:-
1.1 Dalam solat, aurat lelaki ialah antara pusat dan lutut, demikian juga bila di hadapan lelaki lain dan di hadapan perempuan mahramnya.
1.2 Aurat lelaki di hadapan perempuan yang halal dinikahnya (yang bukan mahramnya) ialah seluruh badannya.
1.3 Auratnya bila bersendirian di tempat tertutup spt bilik atau tandas ialah kemaluan depan dan belakangnya, iaitu makruh ia memandang kedua2nya.
Jadi aurat lelaki ada tiga keadaan... harap maklum

2. Aurat perempuan (dan khunsa):-
2.1 Di dalam solat, aurat wanita ialah seluruh badannya kecuali muka dan dua pergelangan tangan (atas dan tapak tangan). Termasuk dalam erti kata seluruh badan ialah rambut dan tapak kaki. Masa berdiri, tapak kaki itu memadai tertutup dengan lantai atau sejadah, tetapi masa sujud jika nampak tapak kaki atau tumit maka batallah solatnya.
2.2 Aurat di luar solat di hadapan lelaki bukan makramnya ialah seluruh badannya (termasuk rambut)
2.3 Aurat di luar solat di hadapan perempuan kafir adalah apa2 yang boleh dilihat seperti pakaian orang yg sedang bekerja.
2.4 Aurat masa dalam bilik atau semasa di hadapan muslimat yg lain atau di hadapan lelaki mahramnya ialah di antara pusat dan lutut.
Secara ringkasnya, aurat perempuan itu ada 4 keadaan.
Hanya Allah yang Mahamengetahui yang jelas dan yang tersembunyi...


Catatan Selanjutnya...

Pengumuman - Program Ilmu

Tarikh: 24Feb 2009

Lokasi: Masjid Bukit Jelutong, Jln Mimbar, Bukit Jelutong Shah Alam
Pendidik: Ustaz Dr Muhammad Uthman El Muhammady
Tajuk: Gerakan Pemikiran Aliran Baru dan Cabarannya kepada Umat

Ustaz Dr Muhammad Uthman ialah seorang Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2005, seorang Fellow Amat Utama Akedemik ISTAC UIA dan merupakan seorang ulamak ternama negara yang disegani.

Kepada seseiapa yang tinggal di kawasan yang berdekatan lokasi majlis, dijemput ramai-ramai menghadiri majlis untuk memanafaatkan kehadiran beliau kemari.


Catatan Selanjutnya...

Saturday, February 21, 2009

Buku Ilmiah - Idaman Penuntut

Tajuk Kitab: IDAMAN PENUNTUT Pada Menghuraikan Yang Kusut.

Bahagian Ilmu: Feqah
Tulisan: Hj Abdul Ghani Hj Yahya
Cetakan: 1983
Kitab Rujukan sandaran: Kitab Matla al Badrin / Kitab Al Baijuri / Kitab Bujairimi Ignok

Kepada sesiapa (termasuk penulis) yang masih samar2 tentang ilmu asas dalam amalan harian (dari bersuci, solat, puasa, zakat, haji & umrah), kitab ilmiah di atas adalah sangat2 digalakkan, termasuk dalam top 5 kitab rujukan untuk golongan ahli biasa macam penulis (bukan untuk org2 yang rasa sudah pakar dalam ibadah asas). Kitab ini mungkin ada terdapat di masjid2 kerana memang femes di kalangan ustaz2 yg mengajar ilmu feqah kepada rakyat jelata.

Daripada pengajian semula (selepas bertahun2 meninggalkan Kelas Fardhu ain KAFA), banyaklah penjelasan2 yang diperolehi daripada kelas feqah ini. Dan selepas itu, insyaallah dgn izinNya, mana2 org yg datang dengan 'idea2' baru, pendapat baru, 'cara2' baru, tidaklah dapat menggoyahkan kita walaupun jiwa kita perlu sentiasa terbuka dgn 'penemuan2' baru oleh ustaz2 baru sekarang. Al-maklum, semenjak akhir2 ini banyak betul pandangan2 baru, 'penemuan2' baru yang di datangkan oleh ustaz2, sehingga kekadang terkeliru kita. Adakah cara lama yang diajar oleh tok2 guru pondok untuk sekian zamannya, dari guru ke guru, alih2 sekarang menjadi tidak 'tepat'? Hanya Allah yang Mahamengetahui apa2 yang tersembunyi.

Kitab Feqah di atas adalah bersandarkan kitab2 feqah asas yang terulung spt Kitab Ignok, dan ada juga yg di sahkan sendiri oleh ulama2 besar spt Allahyarham Dato' Mufti Syed Alwi bin Tahir Al Haddad (ulama' Johor yang menaiki sampan yang dibuatnya sendiri untuk ke Mekah bagi mengelakkan shubhah dan tidak mahu menaiki kapal Belanda dlm tahun 1920'an). Dalam bab solat Qasar dan Jama', Dato' Mufti Syed Alwi telah mencuba sendiri dalam tahun 1924 dan tahun 1927 untuk mengukur sejauh mana 2 marhalah (perjalanan 2 hari unta dipadang pasir) untuk menentukan jarak 2 marhalah itu bersamaan 56miles. Jadi rujukan kitab Idaman Penuntut bukanlah sebarangan ceduk2 macam sebilangan kitab2 baru yg berada di pasaran, yang kekadang lebih mengelirukan dari menjelaskan.


Catatan Selanjutnya...

Friday, February 20, 2009

Suami yang Terbaik - Contohilah Nabi s.a.w

Sebelum2 ini cuma secebis sahaja cerita2 seerah nabi yang kita ambil perhatian. Yang si suami bila aja nak 'tambah cawangan' barulah konon2nya menurut sunnah Nabi s.a.w. Tapi bila dalam bab2 bagaimana menjadi seorang suami, jauh sekali nak mencontohi Nabi s.a.w. Pantang salah sikit, laju je penampau terbang singgah kat pipi gebu isteri...tapi ini cerita suami dulu2 la, la ni mana ada lagi, lagi banyak penampau isteri yg singgah kat pipi berjeragat suami mungkin. hehehe..

Ok, berbalik kpd seerah Nabi s.a.w. Nak dicatatkan buat peringatan diri sendiri bagaimana Baginda s.a.w begitu menjaga hati isteri2nya sepanjang masa. Sebelum tu, ada ingat ke berapa orangkah isteri2 Nabi s.a.w? Alahai, bila ustaz tanya, satu bilik kuliah tu terdiam, masing2 pandang2 syiling dan lantai, tanda tak tau atau kureng pasti. Di ingatkan. Nabi s.a.w pernah berkahwin 11 kali, dan 2 orang isterinya diceraikan, jadi ada 9 orang isteri Nabi semuanya.

Ingatkah kita apa makanan kegemaran Nabi s.a.w (selain drp buah tamar dan susu?). Time ini pun semua pelajar memandang syiling dan lantai lagi sekali tanda tak pasti atau kureng maklum. Di riwayatkan bahawa Baginda s.a.w gemar sekali memakan masakan sup kaki (kanan) kambing dan dicicahkan roti. Satu lagi masakan kegemaran Baginda s.a.w ialah labu kuning rebus dan ditoskan lalu dilalui madu di atasnya. Aduih, kena try nih, tapi mcamna nak tahu kaki kambing tu kiri ke kanan? kaki depan ke kaki belakang?
Nak diceritakan perwatakan Nabi s.a.w sebagai seorang suami contoh, di ceritakan bahawa suatu hari, isteri Baginda, Aishah r.a pernah menyediakan masakan sup kaki kambing untuk Baginda s.a.w. Namun masakan Aishah r.a terlebih garam dan masin yang digambarkan teramatlah sangat. Lalu, Baginda s.a.w tidak dapat makan, tetapi Baginda s.a.w tidak tahu bagaimana perlu diberitahu kepada isteri tercinta tanpa melukakan hatinya. [kalau suami kebanyakkan hari ini bagaimana yer? Scenario semasa mungkin (i) Woi Maknya!, ada lori garam terbalik depan rumah ke tadi? atau (ii) Awak masak tepi pantai ke nih ke air paip dah habis jadi awak guna air laut? Atau, untuk yang ada darah tinggi (iii) Awak tahu saya ada darah tinggi, ni masak mcam ni nak suruh saya mati cecepat ke? ]

Jadi apa yang Nabi s.a.w buat? Diriwayatkan, Baginda s.a.w memanggil Aishah r.a lalu diajaknya makan bersama. Baginda bertanya kepada isterinya " ingatkan kamu bagaimana semasa hari kita mula hidup bersama, di hari itu aku menyuap makanan ke mulutmu dan engkau menyuapku?, kenapa tidak kita ulangi perbuatan baik itu sekarang? Marilah dan suapkanlah makanan itu ke mulutku... Lalu Aishah r.a menyuapkan roti dicicahkan sup (masin) ke mulut Baginda s.a.w (yang telahpun tahu dan bersedia untuk makan makanan terlebih masin). Kemudian Baginda s.a.w mengambil secebis roti lalu dicicahkan ke dalam sup dan disuapkan ke mulut Aishah r.a. Maka terkejutlah Aishah kerana terasa sangat masin sup tadi. Lalu beliau memohon maaf kepada Nabi s.a.w atas keadaaan itu. Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz Jais (yg banyak mengendalikan kes2 tuntutan cerai yg banyak tahap gaban di Lembah Klang) ...

Kesimpulannya: (i) Buat Isteri2 solehah (atau bakal isteri), belajarlah memasak masakan dan kenallah kegemaran suami (utk pastikan yg masakan ini mesti tip top, dah si suami suka sgt). Jangan sesekali biarkan si bibik masak utk suami, kan si bibik pulak yg lebih tahu kegemaran suami, parah tu.. (ii) Buat Suami2 yang soleh, pandai2lah jaga hati isteri yang tak pernah kenal lelah memenuhi tuntutan zahir dan batin, makan pakai mu. (iii) Buat suami2 lagi, yang teringin utk ikut sunnah 'buka cawangan baru', kena lulus dulu dengan cawangan no 1 dalam bab2 pendidikan, tanggungjawab, perilaku. Contohilah contoh insan terbaik dan bukan hanya ambil kira mampu ekonomi je.
buat isteriku (bilamasa awak pernah baca n3 saya)....terima kaseh kerana memahami kerenahku walaupun kekadang aku macam air sungai, sat pasang sat surut, sat jernih, sat keruh teh susu, sat laju mengalir sat2 macam nak kering je, sat banyak ikan di dasarnya sat banyak sampah sarap.....


Catatan Selanjutnya...

Thursday, February 19, 2009

Lagi Kisah Nazar - Ini sejarah yang timbul semula

Berbalik kepada cerita nazar Lelaki Arab yang mahukan kambing yang berekor panjang haritu, ini ada lagi satu kisah nazar pelik yang dibuat juga kerana dah dinazarkan. Ini kisah bukan ada tujuan politik, kalaupun akhir2 ini kisah sejarah ini telah dipolitikkan, tapi tujuan n3 ini hanya untuk rujukan perihal nazar, tidak lebih dari itu.Ini kisah nazar Almarhum Sultan Perak Sultan Idris Shah Sultan Idris telah mengadakan nazar di Pulau Pangkor, iaitu selagi Haji Ghazali Jawi tidak meletakkan jawatannya sebagai menteri besar pada ketika itu, Baginda Sultan akan terus menyimpan janggut, jambang dan misai dan tidak akan menanda-tangani sebarang surat Majlis Mesyurat Kerajaan (EXCO) Negeri Perak. Click sini untuk baca Cerita penuh sejarah ini . Tak dapat nak bayangkan berapa lama keadaan itu berlarutan. Tetapi dilaporkan dalam rencana sejarah bahawa untuk beberapa ketika Sultan Idris tampil di khalayak dengan keadaan berjangut dan berjamban. Beliau benar-benar melaksanakan nazarnya, tidak mencukur janggut. Sehinggalah Ghazali Jawi berundur menjadi Menteri Besar baru baginda membersihkan mukanya.

Kesimpulannya: Baginda Sultan adalah seorang Raja yang tegas dan yang lebih penting lagi berpatut2lah dalam pada kita bernazar.


Catatan Selanjutnya...

Hadith Pilihan - Amalan Sebelum Tidur

Dengan menyebut nama Allah yang Mahapemurah lagi Mahamengasihani
Dari Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda:”Apabila seseorang kamu datang ke tempat tidurnya (hendak tidur), hendaklah dikipaskannya dengan hujung kainnya tiga kali dan hendaklah dibacanya:”Dengan nama Engkau Ya Tuhan, aku rebahkan rusukku (tidur) dan dengan nama Engkau aku angkat (bangun). Jika engkau ambil jiwaku, hendaklah Engkau ampuni dan jika Engkau lepaskan (kembalikan) hendaklah Engkau pelihara sebagaimana engkau memelihara hamba-hamba Engkau yang soleh.” (Muslim)


Huraian (Jakim):
Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan.

Dalam hadith yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan solat. Nabi pun terus mengeluarkan arahan: "Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk, hendaklah tidur" - (Bukhari-Muslim)

Sesungguhnya tidur adalah suatu kematian yang sementara sedangkan hidup dan mati itu di tangan Allah. Tiada siapa yang tahu bila kita akan mati dan bagaimana kita akan menghadapi detik-detik apabila roh terlerai dari jasad. Bukankah jarang kita mendengar orang yang mati ketika sedang tidur! Oleh itu selaku orang Islam kita dituntut agar membaca doa sebelum melelapkan mata supaya terhindar daripada perkara yang tidak diingini iaitu mati dalam keadaan mengejut. Kita juga dituntut untuk membaca doa sebaik sahaja terjaga dari tidur sebagai tanda kesyukuran kerana dihidupkan kembali selepasa kematian sementara semasa tidur. Ingatlah bahawa menghisab amalan sebelum tidur akan menyedarkan kita tentang hari akhirat kelak. Ia menjadikan kita insaf agar tidak mensia-siakan usia dan masa yang diperuntukkan.

Hanya Allah yang Mahamengetahui


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, February 17, 2009

Cerita Seorang Sahabat - petua mandi

Pagi-pagi tadi terlihat di muka depan akhbar2 tempatan menyiarkan berita berkenaan penyebaran gambar kurang sopan seorang ahli politik yg berada di tampuk kepimpinan sebuah negeri maju di negara kita. Eloklah hal ini menjadi tanggungjawab pihak berkenaan untuk menyiasat dan tidak perlu kita buat sebarang komen.

Namun peristiwa ini mengingatkan aku pada satu cerita seorang sahabat lama. Ceritanya bermula bila seorang Senior (aka Tok) yang juga sahabat lama datang menjadi tetamu di rumah sahabat saya tadi (yg dikenali sebagai KA). Tok datang rumah KA atas sebab ziarah kerana sudah lama terputus hubungan sepanjang Tok melanjutkan pelajaran ilmu akhiratnya di luar negara.

Nak jadi cerita, si KA ni jenis yang samalah seperti kita dulu2, zaman leka lalai dan laghrar, ilmu agamanya takat2 KAFA je. Lalu disediakan bilik, lengkap dengan sedikit sebanyak kemudahan untuk si Tok menetap seberapa lama yg dia mahu. Hari demi hari, malam demi malam, selepas tiga hari tiga malam, si KA perasan yang si Tok ni seorang yang sangat kurang berbicara dan banyak menghabiskan masanya di surau taman yang terletak selang beberapa rumah dari rumah KA. Tapi yang paling KA herankan, dalam tiga hari tu tidak sekalipun kedengaran si Tok mandi. Bila dilihat dalam bilik mandi, tiadapun kesan2 basah kuyup seperti selepas digunakan seseorang untuk mandi. Lalu memberanikan diri si KA pun bertanyakan soalan kepada si Tok kenapa dia tidak mandi? adakah ini amalan yang lebih betul?

Maka, dengan nada yang baik, si Tok menjawab, dia memang ingin sangat untuk mandi seperti biasa, namun apa yg dia mampu hanya dengan membasahkan badan dengan air tanpa basah kuyup. Semuanya kerana dia tiada membawa kain basahan dan tidak pula si KA sediakan mana2 kain yg boleh dijadikan kain basahan. Tok tidak akan sesekali mendedahkan 'anggota sulitnya' kepada sesiapa walaupun ketika mandi keseorangan kerana dia penuh yakin bahawa dia tidaklah keseorangan walaupun ketika mandi di dalam bilik air yang tertutup.

Mendengar cerita KA, aku terus insaf. Memang dari dulu bila time mandi aku ni kekadang dengan leka merelakan tiada seurat benang menutupi tubuhku. Kekadang boleh pula menayang2 depan cermin besar dalam kamar mandi. Lupa dan alpa bahawa di kiri dan kanan ada makhluk Allah yang taat mencatatkan segala perbuatan aku walaupun tersembunyi dari pandangan mata manusia.

Kesimpulannya: jika kita insaf dan yakin (bukan takat percaya, tapi hak'kul yakin) bahawa adanya kedua2 mahkluk Allah yang taat mencatatkan segala apa perlakuan diri walaupun tersembunyi dari mata manusia lain, nescaya tidak tergamaklah untuk kita mendedahkan badan tanpa ditutup dengan yang sepatutnya walaupun semasa di kamar mandi, keseorangan.

Hanya Allah yang Mahamengetahui apa2 yang jelas dan yang tersembunyi.


Catatan Selanjutnya...

Monday, February 16, 2009

Stereotypism

Dengan menyebut nama Allah yang Mahapemurah lagi Mahapenyayang

Ada ke perkataan Stereotypism? saje je pandai2 reka. Bukan nak memandai tapi inilah hakikatnya sekarang. Dunia serba canggih membuatkan kita pun nak cepat je, semua nak cepat2, tak kira lah time makan ke, time memandu ke, time belajar ke semua nak cepat. Bila time cari ilmu semua nak ilmu di hujung jari, jadi cari je ilmu dari internet, yang lebih banyak pembohongan dari yang nyata. Bila memandu semua nak cepat2 sampai, sampai ada yang pandai2 potong Q ikut kiri, ikut je selera masing2. Time makan, nak cepat2 je, so ramai2 le beli ayam goreng segera..etc etc..

Ini pula kisah kita cepat bebenor membuat spekulasi tentang peribadi seseorang mengikut apa yang kita lihat di luarannya. Asal je orang berketayap dan berjanggut labuh, laaa ini mesti geng tabligh. Asal je orang pakai baju dan ketayap hijau laa ini mesti pengikut parti bulan. Ada lak orang bersongkok dan bersampin pi solat Jumaat,,, laa yang ni sah-sah geng keris..mudah sungguh kita ye, nak cepat je.

Bab warna pun sama, mamat yg pakai baju pink kaler, laa ini mesti mat lembut nih, padahal itu asalnya baju puteh tapi maid dia dah tersilap bubuh detergent time cuci. Nampak kereta pink, sah sah ingat ini kereta pompuan nih. Sekali nampak lori simen kaler pink! Mak aii bila lak pompuan bawak lori simen nih! Aduih,,, sekali cek alahai mamat sulawesi rupanya.

Berbalik cerita cepatnya kita menstereotype kan orang lain. Mengikut tenaga pengajar inilah akibatnya bila dalam masyarakat terkini jasmani menjadi kayu pengukur kepada rohani. Nampak je orang berkereta besar dan mewah, kita terus putuskan yang orang ini orang berada, belum tahu betapa tinggi liabilitiesnya. Nampak je orang berjubah terus kita rumuskan yang orang ini orang warak, dsbnya.Bilakah agaknya kita akan kembali mendapatkan roh yang mengawal rohani....


Catatan Selanjutnya...

Friday, February 13, 2009

Solatku masih di takuk ini

Solatku...

yang saban hari cuba ku lakukan seawal waktu
yang saban waktu ku lakukan bersama teman2ku
yang saban kalinya kulakukan mengikut ilmuku
yang saban kalinya kuzahirkan semampuku.

Solatku, jauhlah lagi dari solat Saidina Ali k.w yang bila mana betisnya terkena panah musuh semasa perang, lalu beliau solat dan sabahat lain mengeluarkan panah tanpa Saidina Ali k.w merasakan peritnya. Solatku, tiadalah layak menandingi solat Saidina Uthman r.a yang mengkhatamkan satu Al Qur'an dalam qiamnya.

Solatku, hanya penuh dengan cacat dek lekaku kepada dunia. Hanya tempang dek ceteknya ilmu akhiratku. Hanya daif dengan lamunanku, melayani bisikan dan lintasan syaitan celaan Allah. Solatku, mungkin seumpama sebutir pasir hitam di tengah-tengah jutaan pasir2 lain di pantai.
Ya Rabbi, bantulah aku dalam menyempurnakan solatku seperti tuntutanMu. Bantulah aku untuk mencapai solat para solehin. Dalam lafaz kesyukuranku terhadapMu dengan nikmat kehidupan dunia yang Engkau berikan, aku mohon kepadaMu, bantulah aku mencapai solat yang akan memberkati hidupku dan mencegah aku daripada melupakanMu dengan izinMu...

Solatku, hanyalah untuk satu tujuan, seumpama juga hidup dan matiku, hanyalah untuk mendapat keredhaanMu. Maka terimalah solatku sebegini rupa dan akan ku perbaiki solatku selagi Engkau meneruskan kehidupan duniaku, menggunakan nikmatMu.

Sesungguhnya, Engkau Tuhan Pencipta yang Mahamengetahui apa2 yang aku zahirkan dan apa2 yang aku sembunyikan. Amin


Catatan Selanjutnya...

Thursday, February 12, 2009

Cerita kambing Arab

Ini adalah cerita yg diselitkan dalam satu sesi ilmiah untuk dibuat pengajaran supaya kita merujuk kepada yang pakar dalam apa2 permasalahan dan tidak mudah terpedaya.
Ceritanya berkisarkan pada seorang lelaki Arab, di zaman dahulu kala. Lelaki Arab ini telah mendirikan rumah tangga dgn pasangannya dan untuk sekian lama mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Sedangkan zuriat anak adalah antara perkara utama dalam satu2 keluarga bangsa ini.

Sebagai bapa, si suami ini mencuba pelbagai cara, petua, segala macam jamu dicuba dan tidak ditinggalkan doa munajat kepada Allah untuk dikurniakan cahaya mata namun juga gagal. Dipendekkan cerita, lalu pada satu hari si lelaki Arab ini pun bernazar; sekiranya aku dikurniakan seorang bayi yang sempurna, akan aku korbankan seekor kambing yang panjang ekornya 6 jengkal....


Dengan kebesaran Allah, selang beberapa ketika si isteri telah mengandung dan selamat melahirkan seorang bayi lelaki yg cukup sifat dan sempurna fizikalnya. Lalu si isteri mengingatkan kepada si suami perihal nazarnya...kambing berekor sepanjang 6 jengkal itu. Taat dan akur dgn nazarnya, si suami pun melangkah keluar meninggalkan isteri dan anak tercinta untuk mengembara mencari sang kambing berekor panjang 6 jengkal itu. Habis di pelusuk kampung, pekan, sehingga ke seluruh bandar, desa, gurun...mencari kambing luar biasa itu, namun tak ada seekorpun kambing di negeri tersebut yang di lahirkan OKU dan pelik sehingga ekornya panjang 6 jengkal.



Kecewa dan hiba, lalu selepas beberapa purnama maka pulanglah si suami, keluh kesah kerana tidak dapat menunaikan nazarnya dan bimbang akan balasan yang bakal menimpa. Dalam perjalanan pulang dia terserempak dengan seorang alim. Melihat muka cemas dan gelisah si suami, maka bertanyalah orang alim itu kepada lelaki Arab ini. Selesai sahaja bercerita maka orang alim itu menyuruh si suami yang mencari kambing berekor panjang 6 jengkal itu lekas2 pulang ke rumahnya.

Kehairanan dengan itu maka bertanyalah si suami kepada orang alim itu bagaimana dan di mana dapat dia mencari kambing sebegitu? Maka, jawab orang alim itu, dalam masa kamu bernazar itu, ada kah kamu menyebut 'jengkal siapakah yang digunakan untuk mengukur panjang ekor kambing itu?. Bukankah kamu boleh gunakan ukuran jengkal anak kecil kamu yg baru lahir itu? Berapalah sangat panjang 6 jengkal diukur dgn jengkal bayi baru lahir?....

Bingkas pulang, lalu diukur jengkal bayinya dan dipadankan dgn kambingnya sendiri, memang ngam-ngam 6 jengkal bayi sama dgn panjang ekor kambingnya. Penat2 dia pergi pusing satu negeri, rupa2nya kambing sendiri itu pun sudah memadai syarat nazarnya...aduih..

Kesimpulannya: 1) Bila kita bernazar maka wajiblah kita tunaikan. 2) Jangan nazar yang bukan2 spt kambing bermisai hitam, ayam berkaki tiga, atau yg tak mampu dilakukan mengikut akal biasa. 3) yang paling utama, dalam mencari ilmu dan penyelesaian sesuatu perkara, rujuklah kepada yang arif, pakar, dan bukan mengikut logik akal sendiri. Dalam mencari penyelesaian sesuatu masalah rujuklah Al Qur'an dan Hadits dan kitab2 jumhur ulama', dan bukan pandai2 buat rumusan mengikut akal sendiri...
Hanya Allah yang Mahamengetahui


Catatan Selanjutnya...

Rokok...Kepada yg masih taksub

Ini cerita bukan utk kenakan sesiapa. Malahan, yg menulis inilah yg paling kuat terpalitnya bila cerita bab2 rokok ni. Namun, inilah sebahagian nota yg ingin dicatatkan dan dikongsikan.

Ini bukan berkenaan boikot rokok atau bahayanya merokok. Itu semua orang sudah tahu, ada yg percaya dan segelintir yang yakin. Statistik menunjukkan lebih separuh lelaki dewasa di Malaysia adalah perokok. Jadi hanya separuh je lah lelaki di Malaysia yang "hakkul yakin" bahawa merokok itu merbahaya. 30% remaja umur 12 - 18 thn merokok, jadi mereka ini belum percaya yg merokok itu bahaya. Kita tinggalkan statistik ini dan rujuk kepada hal yg lebih relevan kepada kita, sebagai seorang yg beragama Islam dan berpegang teguh dengan tuntutannya. Mengikut definasi; rokok ialah cebisan daun tembakau yg digulung dgn kertas rokok atau daun nipah atau apa2 je. So, rokok termasuklah rokok daun yg digunakan dipekan2.

Jika kita menyingkap sejarah, Mac 23, 1995, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa yang merokok adalah haram bagi umat Islam. Keputusan ini dicapai melalui Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia ke 37 (MFK 37). Ini di wartakan berdasarkan kesan-kesan negatif yg diperolehi oleh perokok dan org ramai meliputi sudut kesihatan, ekonomi nahupun sosial. Tanggal 1 Dis 1995, Negeri Selangor telah mewartakan pengharaman merokok dikalangan umat Islam. Pulau Pinang mewartakan fatwa yang sama pada 18 Nov 2004. Yang demikian termasuklah merokok, menjual atau terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam hal berkaitan dengan rokok (inilah yg memberi tamparan hebat kepada diri penulis sehingga kini....Ya Allah, ampunilah dosaku yg daif dan hina ini...).

Sekarang timbullah persoalannya..berapa ramaikan yang tahu berkenaan hal fatwa ini? Kenapa ianya tidak dapat dikuatkuasakan? apakah lagi yg perlu untuk menguatkuasakan fatwa ini? Siapakah yang dapat tentukan bahawa sesuatu fatwa itu dapat dilaksanakan penguatkuasaannya? Jika ianya telah diwartakan di peringkat kebangsaan, kenapa pula tidak dapat dikuatkuasakan di peringkat negeri? Adakah kerana hukum berkenaan rokok ini tidak sejelas hukum mengharamkan arak dan judi yang jelas dinyatakan di dalam Al Qur'an? Kepada penulis, walau apapun alasannya, bagi seseorang individu, sesuatu hukum fatwa yang dibuat sudah semestinya dibuat oleh mereka2 yang arif tentang sesuatu, sudah tentulah berpandukan puluhan rujukan, dan tidak mungkin mengikut emosi. Yang kita ini yang masih mahu menegakkan kedegilan diri dan menafikan fatwa ini sajalah yang beremosi.

Ingat tak pasal arak dan judi? Mungkinkah pendekatan ilmiah yang sama boleh kita terapkan ke dalam didikan generasi muda sepertimana ibubapa kita mendidik bagaimana jijiknya arak dan judi semasa kita kecil. Nampak je ada botol seakan-akan botol arak kita dididik untuk menzahirkan rasa keji dan jijik, sehingga menyentuh botol itu pun kita rasa jelek.


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, February 10, 2009

Gerhana di langit dan di bumi

Bertuah sungguh kita tahun ini, dalam masa selang 2 minggu kita telah dapat saksikan (bukan semua org lah) dua kejadian alam yg menyatakan tentang kekuasaan Allah di depan mata. Peristiwa yang mungkin kita hanya berpeluang untuk menyaksikannya mungkin cuma sekali sepanjang hayat.Tanggal 26hb Jan 2009, gerhana matahari telah berlaku dan semalam, di antara jam 8:39pm hingga 12:00 dikatakan gerhana bulan telah berlaku. Ketika 26hb Jan, aku berada di Kuala Terengganu atas urusan keluarga. Dengan izinNya, gerhana matahari telah berlaku dan aku telah berpeluang berjemaah solat sunat gerhana bersama2 dgn jemaah di sebuah perkampungan di Pulau Ketam. Mujur pak imam menerangkan sedikit sebanyak kaifiyat solat sunat gerhana. Maklumlah, perkara jarang2 berlaku jadi memang aku kureng ilmu cara2 solat sunat gerhana ini. Sempat dirakamkan beberapa photo dgn digi cam kecil yg kurang kuasa. So, qualitynya cuma so-so je. Ni unedited pic, so kecik je nampak gerhana matahari tu.

Semalam, 9hb Feb 2009, berlaku pula gerhana bulan. Dikhabarkan dlm media yg gerhana akan berlaku bermula jam 8:39mlm. Selesai sahaja solat maghrib, pak imam memberi penerangan mengenai apa yg Rasulullah s.a.w syariatkan bila berlakunya phenomena ini. Beruntung sungguh kita kerana gerhana ini pernah berlaku semasa zaman Rasulullah s.a.w, jika tidak kita tidak akan tahu apa nak buat selain dari sibuk2 memerhatikan apa yg berlaku di langit.

Diterangkan bagaimana baginda Nabi s.a.w telah gunakan waktu sepanjang berlakunya gerhana untuk beribadah dan berdo'a dgn extra lebih dari biasa. Solat sunat dua rakaatnya di sertakan dgn bacaan surah yg lebih panjang dari biasa. Mengikut satu hadits yg diriwayatkan oleh Aishah r.a (HR sahih Bukhari), Baginda s.a.w membaca surah Al-Baqarah dalam qiam pertama, kemudian rukuk pertama, kemudian qiam lagi dan membaca surah Ali-Imran sebelum rukuk ke-2 dan sujud untuk selesaikan rakaat pertama. Demikianlah diulang rakaat kedua sama spt rakaat pertama tetapi dengan bacaan surah yg lebih pendek. Baginda menggandakan doanya dalam sujud dan juga selepas solat dan memanafaatkan waktu gerhana untuk melipat gandakan doanya.

Tibalah waktu untuk solat sunat gerhana, pak imam telah meminta sebahagian jemaah untuk keluar masjid untuk mendapat kepastian 'ainul yaqin' sebelum bersolat. Dari pengamatan mata kasar dimaklumkan belum ada tanda2 gerhana. Tunggu punya tunggu sedikit demi sedikit jemaah menghilangkan diri sehingga tinggal beberapa kerat geng "KRU" (Kumpulan Rambut Uban) sahaja yg masih bersemangat. Tetapi gerhana tidak pun kelihatan, yg jelas cuma bulan purnama penuh. Salah seorang qariah telah pulang dan kembali dgn satu telescope seperti pelancar roket untuk mendapatkan kepastian (rupanya dia seorg penggemar dan pemerhati bulan bintang dan membeli telescope berharga RM8,ooo dari US tidak lama dahulu). Sampailah sesi menunggu gerhana bertukar menjadi sesi pendedahan pasal telescope dan pemerhatian bulan penuh. Dapatlah kami semua satu sesi penerangan secara free dan dpt tengok kawah2 di permukaan bulan dgn jelas. Namun sehingga jam 11pm gerhana tidak langsung kelihatan.

Maka pulanglah semua jemaah dan geng KRU, ada yg dgn rasa lega (lega dari kena solat sunat panjang sampai lengguh lutut), ada yg pulang dgn rasa kecewa kerana tidak dpt solat sunat berjemaah, dan ada yg pulang happy lepas dpt free lecture guna telescope. Pagi ni baca paper, ramai yg di planeterium telah menyaksikan peristiwa gerhana semalam. Kami mungkin tidak bernasib baik kali ini. Insyaallah di lain waktu.
Namun, adalah lebih parah kiranya jiwa kita yg gerhana saban waktu. Tiada yg lain dalam sanubari kecuali untuk mencari kepuasan dunia. Perbezaan pendapat menjadikan kita lebih terdorong untuk menunding jari atau mengambil peluang untuk menang, bukan untuk dijadikan pemangkin untuk menguatkan ummah. Aduih, parahnya kita...Hanya Allah yg Mahamengetahui


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, February 03, 2009

Celupan Allah

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat. (138)


Pengajian tafsir yg diikuti telah sampai ke ayat 136 - 139 surah Al Baqarah, Ustaz Daruzzaman yg tegas dalam pengajaran luasnya menyentuh dengan mendalam ayat ke -138 yang mana Allah berfirman berkenaan Agama Islam yang umatnya akan sebati dengannya. Sib'rah Allah di tafsirkan sebagai Celupan Allah. Lalu di gambarkan bagaimana sesuatu yg putih yg dicelup atau dye dengan sesuatu warna kekal, nescaya akan terserlah warna yg dicelup itu. Begitulah hendaknya agama Islam yg kita pegang ini. Sebetulnya perlu terserlah dari diri, perwatakan, pertuturan, budibahasa, tatasusila, hatta cara pemanduan di jalanraya pun perlu kita serlahkan ciri2 keIslamannya...

Ditegaskan oleh tuan guru, Islam yang perlu kita serlahkan adalah datang daripada kekuatan iman di dalam hati sanubari yg berpegang dengan tauhid kita kepada Pencipta.
Dikala kita mengiyakan bahawa kita ini adalah orang Islam, maka keserlahan itu perlu diketengahkan dikesemua anggota badan, bukan hanya dibibir, walhal bibir disolek merah merekah menggoda lelaki lain selain suami,,,bukan hanya diserlahkan dengan pakaian, tetapi pakaian pula seketap pembalut buah nangka, bukan pula dengan wangian semerbak bila keluar bekerja sehingga bisa menarik seramai mungkin kumbang di luar sana. Bagi suami2 pula bukan sekadar Islam kerana bersolat Jumaat di masjid tetapi berjemaah di padang semasa maghrib, bukan pula hanya mengherdik marah bila orang bukan Islam tidak menghormati kesederhanaan kita tetapi mesti juga terasa aurat isteri terbuka...dsbnya.


Catatan Selanjutnya...

Monday, February 02, 2009

Dia yang Mahamengetahui

Pagi Sabtu 31 Jan, aku diberitakan mengenai kembalinya ke Rahmatullah isteri seorang kenalan rapat semasa di Taiping dahulu. Kawanku ini adalah teman sekuliah semasa mengikuti pengajian tambahan di Pulau Muntiara. Bila kami pindah ke Lembah Klang dan menetap di Puchong, mereka sekeluarga pun turut serta berpindah dan berjiran dgn kami. Pendek kata anak2 kami pun berkawan cuma batasannya anak2nya semuanya puteri dan anak2 kami semuanya putera, jadi adalah batasan malu2 tu.

Seingat aku isterinya sudah sekian lama mengidap sejenis penyakit yg sukar untuk diubati, namun si suaminya yg berpangkat tinggi dalam kerajaan tidak lokek tenaga dan usaha untuk mengubati penyakit isterinya. Kawanku ini memang ku kenali dgn sikap fatherly and lovely nya. Walaupun ada kata2 nakal yg memgossipkan kepadaku yg sidia telah membuka 'cawangan baru' tapi memang tersasar jauh lah mereka yg menjaja gossip nakal tu.

Bila lama menyepi diri dek kesibukan tugasan harian masing2, tup-tup dapat SMS menyatakan yg mereka semua berada di Segamat untuk menyempurnakan pengebumian isterinya yg telah meninggalkan kita. Hampir pengsan aku dibuatnya. Terlintas difikiran wajah puteri2nya yg comel2, 'maybe calon2 menantu', adakah mereka kuat untuk tabah menghadapi dugaan ini? Terbayang wajah tua atok dan nenek mereka yang sering datang menjaga mereka ketika di Puchong dahulu.

Sebagai pengajaran, aku cuba bayangkan apakah aku sekuat kawanku ini? Adakah aku sanggup menjaga isteriku jika dia jatuh sakit seteruk arwah Cikgu Salina? Adakah anak2 kuat dan tabah sekiranya hal yang sama berlaku dalam keluargaku? Apakah persediaan psikologi yang perlu kita semua ada untuk menghadapi sebarang kemungkinan, sedangkan kita menjalani hidup harian seolah2 kematian itu kita yg tentukan. Bila ada peluang2 untuk menambah amalan ada2 saje alasan kita spt "nanti bila tak sibuk aku akan buatlah". "Bagilah chance utk aku nikmati hidup macam sekarang dulu, bila tua esok2 aku jadi warak lah", seolah2 kita yg punyai kuasa untuk tentukan untuk hidup sampai hari tua....Mungkin kerana tidak sekuat dialah maka Allah tidak menguji aku dengan ujian getir seperti ini. Untuk Tuan Di dan keluarga, alFatihah utk arwah isterimu dan harap kalian tabah dalam menghadapi ujian ini. Hanya Allah yang Mahamengetahui.


Catatan Selanjutnya...