Showing posts with label Back-to-Basic. Show all posts
Showing posts with label Back-to-Basic. Show all posts

Thursday, July 16, 2009

Dewan DUN - yang kontang

Semalam, dalam kesejukan cuaca hari Rabu dengan gerimis dan hujan sekali-sekala di Negeri terMaju seMalaya, sekali lagi saya tidak dikejutkan dengan tindakan segelintir wakil yang dipilih rakyat dengan satu pangkah, untuk bertindak meninggalkan dewan perbincangan, seolah-olah menidakkan pilihan mereka yang memangkah kotak kertas untuk memilihnya menjadi wakil di dewan negeri. Dan lagi memeritkan mata telinga apabila mereka meninggalkan dewan setelah diberi peluang untuk mengulas mengenai satu usul, mereka memberi hujjah dan terus cabut keluar tanpa mendengar jawab balas dan seterusnya berbahas.

Apakah ini cara untuk membahaskan pertelingkahan pendapat? Bagaimana pula cara para Ulama' terdahulu menyelesaikan permasaalahan bila berlaku perbezaan pendapat? Apakah mereka terus menghunus pedang dan berperang?.

apakah cara sebegini sesuai untuk dipraktikkan dalam menyelesaikan perbezaan pendapat?


Sebetulnya, perbezaan pendapat (ikthilaf) adalah satu berkat kepada umat Islam seperti yang pernah disabdakan junjungan Nabi s.a.w. Kerana dengannya akan timbul penyelidikan, kajian khusus, terperinci, 'penggalian' ilmiah dan perbahasan akan menzahirkan pendapat dan hujjah berbeza, dan dengan aturan sedemikianlah, tercetusnya pegangan 4 Mazhab. Interaksi di antara para imam mazhab ini mentafsirkan dan menghuraikan ketidak lengkapan ilmu satu-satu imam tersebut. Kebenaran itu adalah satu perkara yang mempunyai banyak intrepretasi maka tidak peliklah berlakunya perbezaan pendapat atas satu-satu perkara, selagimana perbezaan itu tidak kepada perkara usul dan dasar aqidah Islam yang sebenar. Maka tidak perlulah mengaibkan sesama saudara seagama hanya kerana kita berbeza pendapat.

Dalam peluang masa yang terbatas ini, saya juga ingin berkongsi satu pesanan khas seorang guru al-Qur'an merangkap guru Fiqh, Ust Daruzzaman, yang berkali-kali mengingatkan sekalian muridnya untuk menjaga tata susila dan peradaban dalam menuntut ilmu dan menangani perbezaan pendapat. Dan juga mengingatkan sekalian muridnya bahawa, telah diputuskan oleh ijma' ulama' iaitu, adalah tidak sah seseorang awam itu beramal, samada yang fardhu atau yg sunat, dengan tidak mengikuti mana-mana mazhab yang 4. Setiap amalan hendaklah bersandarkan kepada satu-satu mazhab. Adapun kita tidak semestinya hanya bertaqlidkan kpd satu-satu mazhab, sahaja, orang awam seperti kita perlu tahu akan apa yang kita amalkan, bukan ikut-ikut secara melulu dan bukan pula secara logik akal pendek sendiri.


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, June 30, 2009

Untung Isteri Cantek - panduan memilih imam

Dalam edisi kelas fardhu ain yang terkini (murid-murid tua belajar silibus kanak-kanak), Ust Nazmi membariskan sepintas lalu syarat-syarat untuk seseorang boleh di pilih untuk menjadi imam solat, atau memilih diri sendiri untuk menjadi imam.

Rupanya, criteria untuk melayakkan diri sebagai seorang imam itu bukan setakat bacaannya betul (spt dalam banyak kes), ada 6 syarat yang dibariskan Ust sebagai kriteria untuk memilih seseorang menjadi imam.

Dalam banyak keadaan, kita cuma perlu kriteria pertama dan sudah memadai untuk memilih imam. Tapi bayangkan, jika ada 5 orang lelaki, hebat2 belaka, dalam satu qariah, masing2 mempunyai kekuatan mereka sendiri, bagaimanakah kita memilih imam yang akan menerajui solat berjemaah?

6 garis panduan untuk memilih imam adalah seperti berikut;
1. Qariun - bacaan al-Qur'annya betul (bukan sedap lagunya, tapi betul tajwid dan cara bacaannya). Ada juga org yang bunyi bacaannya mendayu2 tapi tak kena tajwid.. Patutlah semasa belajar tajwid di masjid, pak imam (guru) akan meminta (paksa rela) murid2 membaca dengan kuat, sorang-sorang, dan murid2 lain mendengarnya, sambil tu pak imam bagi komen, chorus tak betul, pitching nuuunnn pendek, nafas sesak, etc. Sebenarnya, itu sebagai endorsement untuk pak imam kenal siapa yang dia boleh tarik untuk menggantinya jika perlu.

2. Faqih - jika ke semua 5 calon lulus kriteria-1, kena tengok pula siapa di antaranya yang paling arif, tinggi ilmu Fiqhnya. Baru tahu siapa yang paling mahir hal-hal batal, sah, makhruhnya.

3. Paling elok pekerjaannya. Mengikut Ustaz, definasi 'paling elok pekerjaannya' adalah orang yg bekerja dengan tulang empat keratnya (i.e petani, penoreh kot). Kalau di bandar2 (mana ada petani, penoreh getah), kena pilih siapa yang paling baik kerjaanya (kurang syubhah etc)

4. Paling sedab bacaannya di antara kelima yang tercalon tadi selepas 3 kriteria pertama semuanya seri, sama2 hebat.

5. Paling tampan wajahnya. Jika setelah dibanding kesemua kriteria di atas, masih seri, imam hendaklah dipilih siapa yang paling tampan. Saya kurang pasti kenapa (masih mencari), mungkin juga mencari definasi wajah tampan,,,,perasan tak tampan lah ni. Tapi ini semua Ciptaan Allah belaka, cuma ini kan pengajian, mesti ada sebabnya.

6. Sekiranya, selepas di timbang kira kesemua ke lima2 prasyarat di atas, masih tidak dapat membuat keputusan, maka kriteria terakhir yang di ambil kira di pilih untuk menjadi imam lelaki yang mempunyai isteri paling cantek. Time ni kesemua para suami mithali ketawa, senyum, senggih, atas pelbagai sebab. Mungkin ada yang terasa isterinya paling cun, cantik, anggun. Iye lah, siapa yang tak rasa isterinya lawa? Bila ditanya kenapa perlu ada kriteria ke-6 ini, jelas Ustaz, menerusi satu cerita.

Katakan, si Ahmad ni, dalam perjalanan ke masjid tadi terserempak dengan seorang wanita cun, anggun, cantek di matanya. Ada kemungkinan si Ahmad akan terbayang dan terlintas dalam solatnya, menjadikan solatnya tidak kusyuk. Tetapi, sekiranya si Ahmad yang dilantik menjadi imam solat berjemaah itu mempunyai isteri yang cun, anggun dan cantek, maka wanita yang dia terserempak dalam perjalanan ke masjid tadi tiada sedikit menggugat perasaannya, kerana si isterinya lagi menawan hatinya, dan kuranglah kemungkinan berlaku lintasan berkaitan dalam solatnya.

Waallahualam.



Catatan Selanjutnya...

Tuesday, June 23, 2009

Menerima Kedatangan Bulan Rejab

Syukur kepada Allah, bulan Rejab tiba lagi dan kita masih di sini...
Tibanya bulan Rejab maka timbullah pertelingkahan antara yang berpegang kepada kelebihan amalan2 sunat tambahan di bulan ini dengan kumpulan yang bertegas untuk menidakkan kelebihan bulan Rejab dan tidak menganggap kelebihan untuk meningkatkan amalan di bulan ini seperti amalan berpuasa sunat, menambahkan amalan2 solat sunat, bersedekah yang lain dsbnya.
Kepada yang beranggapan bulan Rejab yang tiba ini tiadalah keistimewaannya dari mana-mana bulan yang lain, tidak mengapalah tanggapan anda, tetapi janganlah memporak perandakan keinginan sesetengah golongan yang secara dasarnya yakin dan percaya akan kelebihan bulan ini. Hasil bacaan dan perbincangan saya dengan orang yg lebih tinggi ilmu agamanya mereka berpendapat bahawa berdasarkan pendapat ramai Ulama', bulan Rejab ialah satu bulan yang istimewa dalam kehidupan seseorang Muslim.Tidak hairanlah petikan Hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” diterima pakai dan disokong oleh ulama muktabar. Tambahan pula, petikan Hadis tadi tidak bertentangan dengan Al-Qur'an seperti firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36;

" Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati... (hingga akhir ayat)

4 bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Bagi yang masih menidakkan pendapat istimewanya bulan2 ini, biarkanlah, kerana masing-masing berbeza pendapat, berkhilaf, dan ada nas-nas tersendiri. Jadi apakah kita nak biarkan saja bulan Rejab ini tiba dan berlalu dengan begitu sahaja?... tanyalah hati, tanyalah diri...

Al-Thabrani ada meriwayatkan. Dari Anas bin Malik r.a berkata, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda Nabi s.a.w akan berdoa: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Pada saya yang cetek ilmu dan tandus amal, usaha untuk meningkatkan amalan-amalan sunat seperti solat malam, puasa Isnin - Khamis, puasa di 'hari-hari putih', tambahkan sedekah dalam bulan Rejab ini adalah sangat mulia, baik, sebagai persediaan untuk terus istiqamah sementara menunggu tibanya Ramadhan. Dan bila tibanya Ramadhan al Mubarak, kita sudah menjadi kebiasaan untuk bangun solat malam dan sebagainya. Jika dapat istiqamah dengan amalan2 sunat selama sebulan dalam bulan Rejab, dan diteruskan di bulan Syaaban, maka tidaklah nanti terkial-kial untuk meneruskannya di bulan Ramadhan. (Memang amalan Ulama' dahulu ini antara manusia yg tinggi IQ and EQ nya). Waallahualam



Catatan Selanjutnya...

Monday, June 22, 2009

Dah Tumbuh Bulu ke?

Sekali dengar pengajian Ust Dr Zaki, bunyinya macam 18SX, tapi dari pengamatan dan setakat yang diketahui, beliau ni seorang yg serius, tak cakap yg mengarut-ngarut, tak de pulak terdengar ketawa berdekah-dekah.

Bila dirujuk semula, rupa-rupanya bukanlah cerita tentang anu ke, tentang yg menggairahkanke, cuma pengajian bab cukup umur, dalam hukum fiqh. Pengajian kali ini mengenai maksud dan petanda2 cukup umur, sangat penting untuk ibu bapa yang mempunyai anak2 remaja yg sedang meningkat umur seperti saya.

Bila disebut anak bawah umur maksudnya ialah anak yang belum akil-baligh (belum muqallaf). Berhubung akalnya belum bebas dari diawasi oleh wali atau kedua ibu bapanya. Kalau ada harta bendanya (jika kematian ayah), maka tidak boleh diserahkan kepadanya kecuali sudah baligh.

Tanda-tanda akil-baligh adalah seperti berikut;
1. Telah sampai umur 15tahun (lelaki) atau haid bagi perempuan.

Dalam satu hadis sahih riwayat Bukhari Muslim, dinyatakan;
Dari Ibnu Umar r.a, ia berkata;" Pernah aku dibawa kepada Nabi s.a.w. untuk turut berperang pada hari perang Uhud, sedang aku masih berumur 14tahun, maka aku tidak dibolehkannya. Dan aku pun pernah pula dibawa untuk turut berperang pada hari perang Khandak, dan aku telah berumur 15tahun, maka dibolehkannya aku."


2. Telah tumbuh rambut di kemaluan.

Dalam satu hadis berkaitan, yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, bermaksud;
Dari Athiyah Al-Qurzy r.a., ia berkata;" Pernah aku dibawa kepada Nabi s.a.w. pada hari perang Khandak. Ketika itu, sesiapa yang telah ada tumbuh bulu (di kemaluannya), setelah ditangkap terus dihukum mati, dan sesiapa yang belum tumbuh bulu dilepaskannya. Maka aku adalah termasuk orang yang belum tumbuh bulu (di kemaluan), maka ia lepaskan aku".


3. Telah bermimpi (bersetubuh atau sebagainya yg mengeluarkan air mani) sebagai orang dewasa.
Dalam satu hadis, dari Ali r.a, ia berkata: Pernah aku menghafaz hadis dari Rasulullah s.a.w. yang bersabda:"Tidak dianggap anak kecil lagi sesudah bermimpi". Riwayat Abu Daud

Dalam Fiqh Syari'i Jil-2 (Ust Hj Idris Ahmad S. H) dinyatakan bahawa disamakan dengan bermimpi orang yang sudah keluar mani, baik waktu ia bermimpi atau sedang ia sedar, atau ia sudah ada syahwat untuk bersetubuh antara lelaki dan perempuan.

Yang mana nak dicheck dulu ni, tengok2 kot2 dah ada bulu...!


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, June 16, 2009

Kek Tanpa Lilin

Ingat ke bila kali terakhir anda meniup lilin bila sambut hari ulang tahun kelahiran? Tiap2 tahun tiup lilin? Betul ke? Dari mana asalnya tradisi ini? Pernah bertanya tak, kenapa kena tiup lilin? Bukankah bermain dengan api itu bahaya, dan kekadang jika anda bukan perokok, nak kena cari mancis atau lighter lah pulak, bukankah itu menyusahkan. Dan bila dah berlilin, nak kena regu dengan nyanyian lah pulak, tak kan tiup lilin dan diam je...? Dari mana sebenarnya tradisi memotong kek dan meniup lilin? Ada pulak meletak lilin mengikut jumlah umur yg disambut. Bayang kalau atok atau tokki berumur 72 tahun, nak kena letak 72 batang lilin ke? Dan kena ke si atok tu meniup 72 batang lilin tu?

Mungkin ada yang akan terasa kena 'kenen' tersindir dsbnya oleh tulisan saya ini. Alah2 tok sah lah terasa sangat dengan penulisan saya, tapi kalau terasa biarlah kerana kejahilan kita... Bukanlah ada niat untuk mengusik jiwa dan perasaan sesetengah ibu ayah yang sering kali sambut hari ulang tahun mengikut tradisi kaum tertentu. Untuk makluman, dek kerana ianya telah menjadi 'tradisi' masyarakat umum, si penulis pun tidak terkecuali, pernah juga meniup lilin atas kek hari ulang tahun, dan pernah juga menganjur acara meniup lilin atas kek untuk anak-anak. Di zaman jahiliyah dahulu... sebenarnya apa hukumnya meniup lilin di atas kek hari ulang tahun? Adakah kita hendak berterusan liberalkan Islam atau ingin berhijrah ke arah Islam Ad'Din dalam kehidupan. Ya Rabb, ampunlah dosa kami yang kering ilmu ini atas dosa-dosa amalan kami yang terdahulu...

macamni kot rajuk dia bila kek b'day tak berlilin....

Mengikut penerangan Ustaz-Ustaz yang ditanya, termasuk Ust Azhar yang menerangkan bahawa tradisi meniup lilin atas kek semasa menyambut hari ulang tahun kelahiran adalah haram hukumnya mengikut pendapat ijma' ulama, kerana perbuatan ini adalah bukan dari amalan Islam, dan tiada sebarang kebaikkan dari perbuatan tersebut. Adapun perbuatan2 yang tradisinya bukan dari Islam tetapi untuk kebaikkan dan tidak melanggar hukum syarak seperti hukum memakai seluar (yg katanya direka oleh bukan orang Islam), atau hukum menggunakan telephone bimbit (yg bukan juga direka oleh orang Islam) tidaklah sama dengan haramnya hukum meniup lilin atas kek hari ulang tahun kelahiran yg tiadalah apa2 kebaikkannya. Waallahualam


Catatan Selanjutnya...

Monday, June 15, 2009

Akhirnya...Matla' Al-Badrain versi awam

Selamat kembali ke sekolah kepada semua murid, guru, cikgu besar, pengetua, peniaga kantin, penjaga kebun dan semua warga sekolah sekalian. Semoga cuti 2 minggu telah dapat merehatkan kepala dan badan anda semua dan bersedia untuk teruskan perjuangan menuntut ilmu dan menabur ilmu serta terlibat dalam tuntutan ilmu.

Pernah belajar ilmu Fiqh? Guna kitab Matla' Al-Badrain (versi Jawi atau Rumi) hasil penulisan Abdul Faqir Al-Fatani Muhammad bin Ismail Daud Fatani? Kepada sesiapa yang ingin mendalami ilmu Fiqh, maka kitab ini adalah antara rujukan pilihan para Ilmuan dan guru-guru pondok untuk digunakan.

Jika anda seperti saya yang baru nak berta-tih dalam mendalami ilmu agama, dan ilmu Fiqh termasuk, kitab Matla' Al-Badrain ini dan bahasa yang digunakan (versi rumi termasuk) akan memeningkan fikiran anda dalam satu patah ayat pertama yang dibaca. Maklumlah, kita bukanlah lulusan pondok dan tiada asas pengajian seumpamanya. Maka, pengajian kitab ini tanpa guru yang mahir akan mengkecamukkan kefahaman diri. Bila mana saya mula join kelas dwi-mingguan berlandaskan kitab ini, ustaz sudah selesai bab2 awal, dan kelas pertama saya adalah berkenaan solat jenazah (Kitab Al-Janaiz). Segala bacaan dan lafaz doa yg diperjelaskan didatangkan tanpa baris. Maka berdikit-dikitlah saya membariskan lafaz2 doa yg diajarkan. Mujurlah saya berbekalkan sedikit asas pengetahuan berkenaan solat jenazah yang pernah dipelajari dahulu. Namun kini ada berita gembira untuk orang awam seperti kita...
Kitab Matla' Al-Badrain ini telah berjaya di terjemahkan kepada bahasa Melayu (bacaan awam) dan tidak lagi dalam versi terjemahan terus Arabic ke Bahasa seperti sebelumnya. Dan versi terjemahan dalam bahasa Melayu awam dalam 2 jilid ini telah disemak dan disahkan oleh peneliti JAKIM akan kesahihannya serta ketepatannya mengikut versi asal Arab dan Bahasa Melayu kitab yang biasa digunakan (spt pic ini)
Versi Bahasa Melayu kitab menawarkan terjemahan spt berikut: Dalam perkara mengatakan aurat " bermula aurat lelaki itu antara pusat dan lutut pada sembahyang dan pada segala lelaki dan perempuan yang muhramnya. Adapun auratnya pada perempuan yang hilat, maka sekalian badannya dan pada dua, maka hasilnyaa bagi lelaki itu tiga aurat baginya".... Nah! cubalah kalau2 faham jika rasa terror nak belajar tanpa guru!.... selamat mencuba.


Catatan Selanjutnya...

Thursday, June 11, 2009

Bida'ah ..di Kampung dan Bandaraya sama sahaja

Sempena cuti2 seMalaya, kesempatan tidak dilepaskan untuk pulang ke kampung halaman setelah bercoti di tpt orang, bertemu sanak saudara dan kenalan semasa kecil, menziarah dan bersihkan pusara ayah dan bonda tercinta, terasa sungguh kekosongan tanpa senyum gembira mereka bila ku bawa pulang cucunda bertemu mereka seperti dahulunya.

Bila ke pusara, teringat pesan Ustaz di Shah Alam, untuk perhatikan kesan2 amalan bid'ah yang masih menebal di dalam masyarakat kampung dan desa apabila mereka menziarah kubur contohnya, amalan menyiram air diperkuburan. Dahulunya pernah juga terfikir kenapa dibuat begitu? nak sejukkan si mati yang di bawah ke? (pemikiran penulis di umur 7 thn)...

Bila ditanya pasal amalan menjirus air di atas kubur bila selesainya membaca Al-Qur'an dan sebagainya, ramai Ustaz yang akan terus menerjah mengatakan ini amalan bid'ah orang2 lama yang harus ditinggalkan. Tiada penjelasan lanjut kenapa dahulunya dibuat dan kenapa kini diterjah sebagai bid'ah dalallah yg patut ditinggalkan. Bila di kampung, sempat bertanya kpd Pak Imam kampung lulusan pondok usang. Penjelasannya adalah seperti berikut. Amalan menjiruskan air ke kubur jika bertujuan untuk apa2 kebaikan kepada si mati adalah perbuatan bid'ah yg patut dielakkan. TETAPI jika niat hanya untuk pastikan tanah yang baru digali dan ditimbus (kubur baru) itu lebih cepat padat semula dan jika di atas kubur lama, niatnya hanya untuk pastikan pokok-pokok bunga kecil yang ditaman itu tidak mati kehausan maka perbuatan ini adalah harus. Perbuatan menyiram air itu tiada kena mengena dengan mayat si mati dan apa2 mengenai kehidupan alam barzakhnya. Begitulah penjelasannya dan juga penjelasan beberapa org Ustaz lain (yg bukanlah dari kalangan lepasan ijazah Ilmiah luar negara yg menerjah amalan ini sebagai bid'ah semata-mata) lain yang ditanya. Waallahualam.

Kemudian di malam-malam hari sempatlah menjenguk suasana majlis ilmu versi kampung. Keadaannya sama saja dengan suasana di taman perumahan di bandaraya...lengang dan hanya dipelopori oleh Geng-geng KRU...Kumpulan Rambut Uban. Golongan vateran inilah yg menyibukkan diri di surau2 dan di masjid2 utk 'mendengor' aka mengikuti majlis ilmu. Yang bezanya, jika dibandar para jemaah akan dilengkapi dgn peralatan canggih spt PDA dan MP3 recorder, di kampung mereka cuma 'mendengor' tanpa menulis nota atau selainnya.

suasana di surau sementara setelah yg asal dirobohkan untuk dibina yg baru


Namun, ada juga tempat2 yang luar biasa ramai qariahnya, bila ada ustaz-ustaz populer spt Ustaz Azhar Idrus (mengikut laporan dia sangat populer di pantai timur semenanjung dan kawasan yg sewaktu dengannya). Majlis ilmu berubah menjadi seperti karnival (tak pe lah bukan spt karnival yang heboh2 tu). Ada jualan, ada pertembungan ilmuan muda dan veteran, ada perkongsian ilmiah yang sangat menarik perhatian penulis (saya lah tu). Dan saya akan menjadi salah seorang ahli fan club Ustaz ini jika dia ada kelab peminatnya. Boleh disearch di youtube... Saya kurang pasti keberkesanan penyampaiannya tapi dia memang a 'crowd puller' ditpt yg saya terhadirkan diri pada malam itu.


Catatan Selanjutnya...

Thursday, June 04, 2009

B2B Nota : Hal - Hal Solat

Menyambung kembali siri Back-to-Basic (B2B) dalam kehidupan harian, kali ini bab-bab solat yang sempat saya catat dari kuliah mingguan dengan Pak Imam Masjid di kampung perumahanku, Ust Yaakob (aka Guru Tajwid, tempat soal jawab hal-hal rumah tanggan, dan pakar tukang masak kari kambing malam Jumaat :-) ).

Kepada kalian yang sudah mahir, arif dalam hal-hal solat mungkin catatan ini tiadalah sebarang perkara baru, tetapi pada pemerhatian saya banyak yang dicatatkan ini dilakukan oleh ramai tak kira orang tua, remaja dan kanak-kanak, baik lelaki atau perempuan. Tidak lah pula saya mahu catatkan hal-hal syarat wajib, syarat sah mahupun rukun solat yang sudah kita pelajari semasa di kelas Fardhu ain dulu, tetapi perkara-perkara yang boleh membatalkan solat kita, yang jika diperhatikan ramai yang terbuat yang demikian.

Diantaranya, adalah disyaratkan membaca takbiratulihram DAN segala bacaan rukun yang lain di dalam solat secara didengari oleh telinga sendiri dan dalam suasana yang tidak bising. Maka jika disebutnya dengan perlahan secara kumat-kamit bibir macam orang berbisik nescaya tidak memadai... cuba perhatikan sekalian ramai yang bersolat jemaah, datang terus angkat tangan, qiam dengan sunyi sepi lantas ruku'...

Juga bacaan Al-Fatihah, tidaklah boleh diselang-selangkan ayatnya dengan bacaan yang lain seperti mengucap Alhamdulillah ketika terbersin kecuali bacaan Amin kerana bacaan Al-Fatihah imamnya, yang perlu dibaca berturut selepas imam dan tidak diselang dengan diam yang lama.

Demikian juga dengan berdehem-ehem-ehem, atau menangis, atau menghembus nafas melalui mulut atau hidung sekira-kira berbunyi dua huruf maka batallah solatnya, kecuali ada yang sakit maka tiadalah batalnya. Mengikut kitab Idaman Penuntut tulisan Hj Abdul Ghani Hj Yahya 1983, jika bercakap dengan tidak tersengaja umpama terlupa akan dirinya sedang solat atau tidak tahu akan hukum hakamnya dan percakapanya sedikit tidak melebihi 6 perkataan maka tiadalah batal solatnya. Tapi bila kita berjemaah, terutama Subuh, berapa ramai yang asyik-asyik ehem-ehem meng'clear'kan kerongkong berjelebu waktu pagi. Diperhatikan bahawa ada seorang muslimah ini tidak akan lupa untuk berdehem-ehem setiap pagi semasa solat subuh, sehinggakan para muslimin tahu akan hadirnya dia...

Begitu juga dengan perbuatan mengerakkan anggota-anggota besar seperti tangan, terutama untuk menggaru-garu kepala, belakang, tengkuk dsbnya, berulang-ulang tiga-kali juga membatalkan solat seseorang. Adapun perbuatan yang banyak semasa bersolat di atas belakang kuda (atau unta), dalam kenderaan, dalam kapal terbang dsbnya adalah dimaafkan.

Begitu juga apabila terbuka aurat yang termaklum dalam solat jika dibuka dengan sengaja atau tersalah buka sekalipun oleh kanak-kanak yang belum mumaiz dan sekalipun ditutup dengan segera. Adapun terbuka aurat disebabkan tiupan angin (maklum sekarang musim panas, ada yang solat dengan pintu terbuka) dan ditutup dengan segera pada kadar jangka tumakninah, dan tidak berulang-ulang, maka tiada batal solatnya.

Demikian juga, batal solat seseorang itu jika berubah niatnya spt niat keluar dari solat atau berbelah bagi hendak keluar atau terus solat seperti bila telepon berdering atau door-bell ditekan. Katakan terdetik dalam hati, jika h/p bunyi aku akan berhenti sembahyang, maka batallah solatnya sekalipun h/p tidak berdering semasa solatnya... Nak selamat, bila solat, h/phone tiadalah dalam poket atau paling tidak letaklah silent mode tanpa bergetar...

Seterusnya (tapi ini jarang-jarang berlaku), batal solat seseorang jika niat hendak tukar spt solat zuhur dengan sengaja hendak ditukar niatnya menjadi asar (pelik tapi mungkin berlaku), KECUALI jika solat fardhu hendak ditukar kepada solat sunat mutlak dengan sebab hendak solat berjemaah yang akan didirikan (tengah2 solat zuhur sorang2 tetiba ada orang baru nak mulakan solat jemaah), maka ia boleh potong solatnya tadi menjadi dua rakaat dengan diniatkan solat sunat dan beri salam. Dan dia sertai jemaah baru untuk solat berjemaah, inilah yang lebih baik sekiranya masa masih lapang lagi.

Kerap juga ditanya berkenaan makan makanan yang terlekat celah2 gigi. Adalah batal solat seseorang jika ia makan meskipun makanan yang lekat celah2 gigi seperti biji bijan atau gula pasir, digigit dan ditelan dengan sengaja, termasuk juga menelan KAHAK melainkan kerana jahil akan haramnya atau terlupa. Inilah faedahnya sunat yang dituntut untuk bersugi, bersuci, gosok gigi sebelum solat...

Dan yang terakhir, yang biasa diperhatikan, dilakukan oleh sesetengah ahli jemaah yang bersolat jemaah, mereka yang memanjangkan rukun yang pendek dengan sengaja sehingga makmum ketinggalan dari pak imam sampai habis dua rukun. Bila imam sudah hampir hendak turun sujud, si makmum masih belum rukuk... Waallahualam


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, May 26, 2009

B2B Notes - bacaan Qunut

Semalam, guru ilmu Hadits membuat satu wake-up call untuk semua dengan bertanya soalan yg agak2 basic tapi dengan kezutan kerana soalan didatangi tanpa amaran. Soalannya amat mudah namun, kerana ketidak pekaan kita kepada perkara2 basic, maka ramailah kalangan penuntut yg tunduk tersipu2 malu, mengalahkan anak dara sunti bila dipinang anak penghulu, tunduk sipu2.
Soalannya,,,, sekarang ini kita dalam bulan apa dalam kalendar Hijrah? Selepas bulan ini bulan apa pula? dan bila bulan kewafatan Baginda Nabi s.a.w? Aduhai..... ramai yg terpinga2, bila diajukan soalan2 sebegini. Cuba tanya soalan yg complex sikit spt bulan berapa Hari Ibu, Hari Kekasih, Hari Karnival Beli Belah ke... ish ish ish Ustaz nih!....

Selepas semalaman berfikir mengenai perkara soalan basic tadi, maka terpanggil saya untuk membuat catatan siri baru dicatatkan sebagai B2B Notes (atau Back To Basic Notes) untuk peringatan diri mengenai perkara2 simple yg saya ambil mudah, spt tak berapa penting walhal ianya spt pelengkap amalan harian,,, i.e makna2 bacaan dalam solat, surah2 lazim dan maknanya, perkara2 yg biasa terbuat yg boleh membatalkan solat, perkara2 sunat yg ditinggalkan dalam solat, amalan2 kecil tetapi sgt bermakna dalam perhubungan sesama manusia etc..


Saya nak mulakan dgn B2B Note - makna bacaan Qunut. Sudah tentu ramai yg sudah arif, masak dgn bacaan Qunut (biarlah ada sesetengah golongan yg anggap bacaan Qunut tiada dalam amalan solat cara Nabi s.a.w - kita tetap dgn amalan mengikut mazhab Imam As-Syafi'i). Saya kekadang tidak teringat makna doa Qunut yg dibaca setiap pagi dalam solat subuh, jadi ada baiknya untuk diri sendiri agar saya notakan makna doa Qunut di sini;
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.


Catatan Selanjutnya...