Tuesday, June 30, 2009

Untung Isteri Cantek - panduan memilih imam

Dalam edisi kelas fardhu ain yang terkini (murid-murid tua belajar silibus kanak-kanak), Ust Nazmi membariskan sepintas lalu syarat-syarat untuk seseorang boleh di pilih untuk menjadi imam solat, atau memilih diri sendiri untuk menjadi imam.

Rupanya, criteria untuk melayakkan diri sebagai seorang imam itu bukan setakat bacaannya betul (spt dalam banyak kes), ada 6 syarat yang dibariskan Ust sebagai kriteria untuk memilih seseorang menjadi imam.

Dalam banyak keadaan, kita cuma perlu kriteria pertama dan sudah memadai untuk memilih imam. Tapi bayangkan, jika ada 5 orang lelaki, hebat2 belaka, dalam satu qariah, masing2 mempunyai kekuatan mereka sendiri, bagaimanakah kita memilih imam yang akan menerajui solat berjemaah?

6 garis panduan untuk memilih imam adalah seperti berikut;
1. Qariun - bacaan al-Qur'annya betul (bukan sedap lagunya, tapi betul tajwid dan cara bacaannya). Ada juga org yang bunyi bacaannya mendayu2 tapi tak kena tajwid.. Patutlah semasa belajar tajwid di masjid, pak imam (guru) akan meminta (paksa rela) murid2 membaca dengan kuat, sorang-sorang, dan murid2 lain mendengarnya, sambil tu pak imam bagi komen, chorus tak betul, pitching nuuunnn pendek, nafas sesak, etc. Sebenarnya, itu sebagai endorsement untuk pak imam kenal siapa yang dia boleh tarik untuk menggantinya jika perlu.

2. Faqih - jika ke semua 5 calon lulus kriteria-1, kena tengok pula siapa di antaranya yang paling arif, tinggi ilmu Fiqhnya. Baru tahu siapa yang paling mahir hal-hal batal, sah, makhruhnya.

3. Paling elok pekerjaannya. Mengikut Ustaz, definasi 'paling elok pekerjaannya' adalah orang yg bekerja dengan tulang empat keratnya (i.e petani, penoreh kot). Kalau di bandar2 (mana ada petani, penoreh getah), kena pilih siapa yang paling baik kerjaanya (kurang syubhah etc)

4. Paling sedab bacaannya di antara kelima yang tercalon tadi selepas 3 kriteria pertama semuanya seri, sama2 hebat.

5. Paling tampan wajahnya. Jika setelah dibanding kesemua kriteria di atas, masih seri, imam hendaklah dipilih siapa yang paling tampan. Saya kurang pasti kenapa (masih mencari), mungkin juga mencari definasi wajah tampan,,,,perasan tak tampan lah ni. Tapi ini semua Ciptaan Allah belaka, cuma ini kan pengajian, mesti ada sebabnya.

6. Sekiranya, selepas di timbang kira kesemua ke lima2 prasyarat di atas, masih tidak dapat membuat keputusan, maka kriteria terakhir yang di ambil kira di pilih untuk menjadi imam lelaki yang mempunyai isteri paling cantek. Time ni kesemua para suami mithali ketawa, senyum, senggih, atas pelbagai sebab. Mungkin ada yang terasa isterinya paling cun, cantik, anggun. Iye lah, siapa yang tak rasa isterinya lawa? Bila ditanya kenapa perlu ada kriteria ke-6 ini, jelas Ustaz, menerusi satu cerita.

Katakan, si Ahmad ni, dalam perjalanan ke masjid tadi terserempak dengan seorang wanita cun, anggun, cantek di matanya. Ada kemungkinan si Ahmad akan terbayang dan terlintas dalam solatnya, menjadikan solatnya tidak kusyuk. Tetapi, sekiranya si Ahmad yang dilantik menjadi imam solat berjemaah itu mempunyai isteri yang cun, anggun dan cantek, maka wanita yang dia terserempak dalam perjalanan ke masjid tadi tiada sedikit menggugat perasaannya, kerana si isterinya lagi menawan hatinya, dan kuranglah kemungkinan berlaku lintasan berkaitan dalam solatnya.

Waallahualam.



Catatan Selanjutnya...

Friday, June 26, 2009

Isteri Cantik lagi Anggun

Salam Jumaat buat semua...
Dalam satu seerah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya, bahawasanya Asma' binti Yazid bin As-Sakan r.a telah mendatangi Rasulullah s.a.w, lalu dia bertanya; Sesungguhnya saya ini utusan orang-orang di belakang sana, dari jemaah wanita-wanita Islam, semua mereka mengatakan sama seperti kata saya, dan sama dengan pendapat saya, iaitu; Sesungguhnya Allah SWT telah mengutuskan engkau kepada lelaki dan perempuan, kita semua telah beriman dengan apa yang engkau bawa. Dan kami kaum wanita serba kurang dan cacat, kerana kami duduk di rumah. Dan sesungguhnya kaum lelaki melebihi kami dengan sembahyang Jumaat, menyaksikan jenazah, pergi berjihad. Dan apabila mereka keluar berjihad, kami kaum wanita lah yang memelihara harta benda mereka, kami mendidik anak-anak mereka, apakah kami berkongsi dengan mereka dalam balasan, duhai Rasulullah?

Rasulullah s.a.w pun menulih kepada para sahabatnya, seraya bertanya: adakah kalian dengar bicara wanita yang bertanya soalan yang sungguh baik tentang agamanya? Para sahabat semuanya menjawab: Tidak ada, duhai Rasulullah!. Maka berkata Rasulullah s.a.w: Kembalilah, wahai Asma', dan beritahukan wanita-wanita yang di belakang itu, bahawasanya kebaikkan layanan salah seorang antara kamu terhadap suaminya, dan kesediaan mereka mendapat keridhaannya, dan menurut apa yang diingini oleh sang suami itu, adalah menyamai semua yang engkau sebutkan tadi".

Maka Asma' pun beredar dari situ dengan bertahlil dan bertakbir, kerana sangat gembira dengan keterangan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. tadi.

Jelaslah, bahawa pahala yang diterima oleh wanita dalam menyusun hal-ehwal rumah tangganya, mentaati suaminya, mendidik anak-anaknya adalah menyamai pahala seorang lelaki dalam berjihad serta kerja-kerja lain yang khusus oleh lelaki.
Ref: Abdullah Nasih Ulwan.


Catatan Selanjutnya...

Thursday, June 25, 2009

Khiar Dalam Membeli di Pasar Minggu

"Maaf Bang, rambutan tak boleh pilih tau!, pilih kira harga lain!"

Pernah terkena ke gitu bila pergi membeli di pasar minggu ke, pasar borong ke, kedai runcit ke?Dalam melakukan jual beli, adalah dalam Islam dibolehkan untuk memilih, akan diteruskan jual beli atau tidak, disebabkan terjadinya sesuatu hal. Hal ini disebut sebagai Khiar (memilih).

Sebab itu, jika ke pasar minggu, bila si penjual tidak benarkan pembeli memilih, terutama bila membeli buah tempatan, saya cuma akan angkat kaki ke gerai yang lain, yang boleh kita pilih beliannya. Tak perlu banyak2 soal. Ada pun dalam pengajian Fiqh, khiar itu ada 3 macam;

1. Penjual dan Pembeli, boleh melalukan khiar samada jadi jual atau jadi membeli. Satu hadis riwayat Muslim bermaksud;

" Dari Ibnu Umar r.a dari Nabi s.a.w. beliau bersabda," Bila dua orang berjual beli, maka masing-masing boleh khiar (jadi atau tidak jual belinya), selama keduanya belum bercerai (bersurai)".


2. Khiar syarat; ertinya si penjual atau si pembeli mensyaratkan sesuatu syarat, yang akan menguntungkan kepada salah satu pihak, asal tidak merosakkan yang diperjualbelikan itu.

Sebagai satu penerangan, dinotakan satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud;


" Dari Jabir r.a. bahawa ia pernah menjual seekor unta kepada Nabi s.a.w. dan disyaratkannya, supaya ia boleh menunggang unta itu untuk pulang ke rumahnya".

3. Khiar aib, iaitu si pembeli mensyaratkan, kalau barang yang dibeli itu ada cacatnya, maka barang itu akan dikembalikan.

Seperti seorang yang membeli sebuah kereta. Setelah kereta itu digunakan beberapa hari didapati ianya ada kerosakkan seperti kesan2 kemalangan lampau. Tanda-tanda kerosakkan itu sudah lama, dan pasti sudah ada sebelumnya dibelinya,
lantaran yang demikian jual beli ini dapat atau boleh dibatalkan (ade ke agen kereta terpakai yang benarkan hal gini?). Sedang faedah yang didapatinya selama menggunakan kereta tersebut adalah hak pembeli, kerana andai kata kereta itu rosak teruk dan berlaku kemalangan semasa penggunaan sipembeli antara masa akad dengan membatalkannya, adalah itu adalah tanggungjawabnya (sipembeli).

Khiar syarat hanya boleh selama 3 hari (return within 3 days of purchase). Dan bila terlebih 3 hari, teruslah akad. Sebabnya, dalam masa 3 hari itu sudah cukup untuk mengetahui sesuatu berhubung barangan yg telah diperjualbeli itu.


Ref: Ust H Idris Ahmad S.H


Catatan Selanjutnya...

Wednesday, June 24, 2009

Janda Muda (atau Tua) Berhias

Ini bukanlah tempat nak iklankan ruangan mencari jodoh atau pasangan. Dan bukan juga tempat iklan mencari mak janda (muda / tua).

Cuma nak berkongsi ilmu yg berkaitan dengan janda (muda dan tua) dan lihat sendiri apa yang ada dalam masyarakat sekeliling, mungkin kerana cetek, tandusnya ilmu agama dan kegopohan mengejar kehidupan dunia. Malah ada yang (akan) beranggapan kita ini kolot jika kita masih mengikut landasan yang telah disyariatkan dalam Ad Din kita. Ini persoalan dalam kes-kes Al-Ahdad (sumber ref: Fiqh Syafi'i -jilid 2).

Al-Ahdad ertinya membatasi diri, iaitu larangan memakai perhiasan yang indah-indah dan berbau harum ke atas para isteri-isteri yang kematian suami, selama waktu si isteri dalam idah wafat. Dan selama 3 hari jika yang meninggal itu anaknya, ibunya atau lain-lain ahli keluarganya. Dan kalau yg meninggal itu suaminya, tempoh idah wafat ialah EMPAT bulan.

Dalam satu hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, bermaksud;
Dari Ummu Athiyah r.a berkata, adalah kami dilarang memakai perhiasan di waktu kematian lebih dari tiga hari, kecuali di waktu kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari, serta kami tidak boleh bercelak dan tidak boleh pula berharum-harum dan tidak boleh memakai kain yang berwarna (warni)".

Hikmah Ahdah
Hikmahnya Ahdad ini diwajibkan ke atas perempuan ialah untuk menyatakan kerusuhan hatinya kerana kehilangan suami yang dengan izin Allah telah menjadi pembelanya, yang memberi belanja, tempat tinggal dan sebagainya. Oleh itu, wajiblah si isteri menzahirkan kesedihan atas hilangnya nikmat yang besar itu.

Syariat Islam ini jauh lebih baik mengatasi amalan2 di zaman jahiliah yang apabila berlaku kematian suami, si isteri akan memakai pakaian berwarna hitam, tidak memakai haruman dan terus tinggal sendirian selama setahun lamanya. Perbuatan jahiliah ini jelas jauh berlebih-lebihan.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 234 bermaksud;
" Maka apabila idah mereka telah sampai, maka tidaklah berdosa kamu melakukan sesuatu atas diri mereka (membiarkan berhias), menurut apa yang patut dan Allah selalu memperhatikan segala yang kamu kerjakan."
Waallahualam

sekadar hiasan, makhluk kesepian, tanpa wangian dan tanpa hiasan diri


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, June 23, 2009

Menerima Kedatangan Bulan Rejab

Syukur kepada Allah, bulan Rejab tiba lagi dan kita masih di sini...
Tibanya bulan Rejab maka timbullah pertelingkahan antara yang berpegang kepada kelebihan amalan2 sunat tambahan di bulan ini dengan kumpulan yang bertegas untuk menidakkan kelebihan bulan Rejab dan tidak menganggap kelebihan untuk meningkatkan amalan di bulan ini seperti amalan berpuasa sunat, menambahkan amalan2 solat sunat, bersedekah yang lain dsbnya.
Kepada yang beranggapan bulan Rejab yang tiba ini tiadalah keistimewaannya dari mana-mana bulan yang lain, tidak mengapalah tanggapan anda, tetapi janganlah memporak perandakan keinginan sesetengah golongan yang secara dasarnya yakin dan percaya akan kelebihan bulan ini. Hasil bacaan dan perbincangan saya dengan orang yg lebih tinggi ilmu agamanya mereka berpendapat bahawa berdasarkan pendapat ramai Ulama', bulan Rejab ialah satu bulan yang istimewa dalam kehidupan seseorang Muslim.Tidak hairanlah petikan Hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” diterima pakai dan disokong oleh ulama muktabar. Tambahan pula, petikan Hadis tadi tidak bertentangan dengan Al-Qur'an seperti firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36;

" Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati... (hingga akhir ayat)

4 bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Bagi yang masih menidakkan pendapat istimewanya bulan2 ini, biarkanlah, kerana masing-masing berbeza pendapat, berkhilaf, dan ada nas-nas tersendiri. Jadi apakah kita nak biarkan saja bulan Rejab ini tiba dan berlalu dengan begitu sahaja?... tanyalah hati, tanyalah diri...

Al-Thabrani ada meriwayatkan. Dari Anas bin Malik r.a berkata, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda Nabi s.a.w akan berdoa: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Pada saya yang cetek ilmu dan tandus amal, usaha untuk meningkatkan amalan-amalan sunat seperti solat malam, puasa Isnin - Khamis, puasa di 'hari-hari putih', tambahkan sedekah dalam bulan Rejab ini adalah sangat mulia, baik, sebagai persediaan untuk terus istiqamah sementara menunggu tibanya Ramadhan. Dan bila tibanya Ramadhan al Mubarak, kita sudah menjadi kebiasaan untuk bangun solat malam dan sebagainya. Jika dapat istiqamah dengan amalan2 sunat selama sebulan dalam bulan Rejab, dan diteruskan di bulan Syaaban, maka tidaklah nanti terkial-kial untuk meneruskannya di bulan Ramadhan. (Memang amalan Ulama' dahulu ini antara manusia yg tinggi IQ and EQ nya). Waallahualam



Catatan Selanjutnya...

Cintakan Kedudukan dan Harta

Sesekali menyusur melalui Seksyen 7 Shah Alam, saya akan melalui kawasan lereng bukit yang ditepi2 jalannya dicambahi bangalow2 mewah, tersergam, gah tinggi disebalik pohon2 hijau yang rendang dijaga rapi oleh MBSA. Sesekali terpandang kalimah Bismillah terpampang di tembok batu sebagai tanda pemilik mahligai adalah saudara seagama saya. Bangga sungguh saya rasa, melihat saudara2 seagama berjaya mendirikan mahligai sebegitu mewah, besar, grandios.
Terdetik juga di fikiran, mampukan saya menahan perasaan (riya', besar, gah) sekiranya ditakdirkan satu hari nanti dapat juga mendirikan mahligai se-gah ini. Saya yakin, selagi nyawa dikandung jasad, setiap manusia akan diuji, dengan pelbagai ujian, ringan dan berat, kecil ataupun besar. Sesiapa yang diuji dengan cinta kedudukan, maka fikirannya akan terbatas pada kedudukan tersebut dan ingin terus menambahkan ketinggiannya, serta terus menguasai hari manusia lain. Hal ini memaksanya bersikap riya' dan munafik.

sekadar hiasan: ini photo rumah2 mewah (orang punya) masa lalu di Perth

Rasulullah s.a.w. menyamakan cinta harta dan kedudukan dengan dua ekor serigala buas dalam kandang kambing (ref: Mukhtasar Ihya' Ulumuddin). Baginda s.a.w bersabda; " Sesungguhnya ia menumbuhkan sifat munafik seperti air menumbuhkan tanaman". Ade ke cara nak menghindarkan atau mengurangkan perasaan ini? Jawabnya ada, iaitu ilmu dan amal...

Dalam satu hadis lagi, Rasulullah s.a.w bersabda;" teman-teman anak Adam ada tiga. Yang satu mengikutinya hingga dicabut nyawanya, yang kedua akan mengikutinya sehingga ke kuburnya, dan yang ketiga akan ikut sehingga hari berkumpul di Mahsyar. Yang pertama itu hartanya, yang kedua itu keluarganya dan yang ketiga, yang mengikutinya ke Mahsyar adalah amalnya".

Yang menjadi tujuan hidup orang-orang yang bijak akhirat adalah mencapai kebahagian abadi sedangkan harta adalah alat untuk berbekal dengannya agar kuat bertaqwa dan beribadah dan akan membelanjakannya ke jalan akhirat. Barangsiapa menggunakan harta untuk bermewah-mewahan atau untuk melakukan maksiat atau melepaskan nafsu, maka ia tergolong dalam golongan yang tercela.

Harta adalah umpama seekor ular yang mengandungi racun dan juga penawarnya. Faedah-faedah harta adalah seperti penawar bisa sedangkan bahayanya umpama bisanya. Sesiapa yang mengetahui dan mampu menghindarkan diri dari racun bisanya serta memanafaatkan penawarnya maka ia tergolong dalam orang2 terpuji. - Ihya' Ulumuddin


Catatan Selanjutnya...

Monday, June 22, 2009

Dah Tumbuh Bulu ke?

Sekali dengar pengajian Ust Dr Zaki, bunyinya macam 18SX, tapi dari pengamatan dan setakat yang diketahui, beliau ni seorang yg serius, tak cakap yg mengarut-ngarut, tak de pulak terdengar ketawa berdekah-dekah.

Bila dirujuk semula, rupa-rupanya bukanlah cerita tentang anu ke, tentang yg menggairahkanke, cuma pengajian bab cukup umur, dalam hukum fiqh. Pengajian kali ini mengenai maksud dan petanda2 cukup umur, sangat penting untuk ibu bapa yang mempunyai anak2 remaja yg sedang meningkat umur seperti saya.

Bila disebut anak bawah umur maksudnya ialah anak yang belum akil-baligh (belum muqallaf). Berhubung akalnya belum bebas dari diawasi oleh wali atau kedua ibu bapanya. Kalau ada harta bendanya (jika kematian ayah), maka tidak boleh diserahkan kepadanya kecuali sudah baligh.

Tanda-tanda akil-baligh adalah seperti berikut;
1. Telah sampai umur 15tahun (lelaki) atau haid bagi perempuan.

Dalam satu hadis sahih riwayat Bukhari Muslim, dinyatakan;
Dari Ibnu Umar r.a, ia berkata;" Pernah aku dibawa kepada Nabi s.a.w. untuk turut berperang pada hari perang Uhud, sedang aku masih berumur 14tahun, maka aku tidak dibolehkannya. Dan aku pun pernah pula dibawa untuk turut berperang pada hari perang Khandak, dan aku telah berumur 15tahun, maka dibolehkannya aku."


2. Telah tumbuh rambut di kemaluan.

Dalam satu hadis berkaitan, yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, bermaksud;
Dari Athiyah Al-Qurzy r.a., ia berkata;" Pernah aku dibawa kepada Nabi s.a.w. pada hari perang Khandak. Ketika itu, sesiapa yang telah ada tumbuh bulu (di kemaluannya), setelah ditangkap terus dihukum mati, dan sesiapa yang belum tumbuh bulu dilepaskannya. Maka aku adalah termasuk orang yang belum tumbuh bulu (di kemaluan), maka ia lepaskan aku".


3. Telah bermimpi (bersetubuh atau sebagainya yg mengeluarkan air mani) sebagai orang dewasa.
Dalam satu hadis, dari Ali r.a, ia berkata: Pernah aku menghafaz hadis dari Rasulullah s.a.w. yang bersabda:"Tidak dianggap anak kecil lagi sesudah bermimpi". Riwayat Abu Daud

Dalam Fiqh Syari'i Jil-2 (Ust Hj Idris Ahmad S. H) dinyatakan bahawa disamakan dengan bermimpi orang yang sudah keluar mani, baik waktu ia bermimpi atau sedang ia sedar, atau ia sudah ada syahwat untuk bersetubuh antara lelaki dan perempuan.

Yang mana nak dicheck dulu ni, tengok2 kot2 dah ada bulu...!


Catatan Selanjutnya...

Friday, June 19, 2009

Menanam Pokok Di Pinggir Jalan

Hadis Pagi Jumaat: Menanam Pokok di Pinggir Jalan

Fenomena biasa bagi warga kota yang tinggal di kawasan taman perumahan ialah ketandusan tanah untuk bertanam. Walaupun rumah yang didiami adalah 'landed property' tapi tiada kawasan tanahnya, ataupun kawasan yang ada telah dikorbankan menjadi tempat parkir kenderaan, atau telah diturap dengan tiles dan menjadi kawasan pasu2 bunga, ataupun telah dikorek menjadi kolam ikan perhiasan (macam perli diri sendiri je). Tapi jari2 hijau ni masih inginkan tanam pokok2 besar seperti mangga, jambu air cuma kawasannya di mana?

Jika anda mempunyai wang lebihan dan mahukan pelaburan, bolehlah ke kawasan2 yang masih ada tanah2 kebun untuk dijual lalu belilah kebun itu dan usahakan. Jika anda jenis yang inginkan kawasan luas dan punyai tenaga kuat, bolehlah usulkan kepada Kerajaan Negeri untuk usahakan tanah2 kerajaan yg masih kosong. Tapi jika anda bukan semua yang di atas, maka tanah2 tepi jalan depan rumah, tepi rumah, belakang rumah lah yg akan dijadikan pilihan.

Dulu, semasa di Puchong, saya pernah menanam pokok2 mangga, betik, pisang, di tepi seberang jalan depan rumah. Kebetulan depan rumah di seberang jalan tu tanah lapang terus dijadikan tanah utk bertanam. Namun, kita hanya mampu merancang, tapi Allah MahaBijaksana. Satu hari pihak MPSJ datang dengan lori biru mereka dan menebang kesemua pokok2 tersebut dengan alasan ianya tidak akan dijaga dan akan menambahkan kos operasi mereka untuk menjaganya nanti. Ikut suka tuanlah, saya hanya berbakti pada tanah, tapi mungkin salah tempat. Di kala pokok2 mangga berbuah, setiap kali itu buah2nya akan diambil (dicuri?) orang, mungkin mereka tidak mampu membeli sendiri dan segan untuk minta dari saya. Tak pe lah saya halalkan semuanya.

Dari dibiarkan tanah kosong dijadikan tempat sampah, baik tanam pokok buah

Begitulah menurut Fiqh Syafi'i Jilid-1 (m/s 122), apabila seseorang menanam pokok di pinggir jalan, maka bila pokok itu berbuah dan buahnya jika di makan burung atau diambil orang, maka itu kira sedekah.
Satu Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud: Dari Anas r.a Dari Nabi s.a.w, beliau bersabda tidaklah dari seseorang muslim yang menanam pokok, lalu buahnya dimakan burung atau manusia, atau lain binatang, melainkan adalah baginya dengan yang dimakan itu menjadi sedekah baginya".


Catatan Selanjutnya...

Thursday, June 18, 2009

Kunjungan Sheikh Muhammad Nuruddin al-Banjari ke USJ9

Kepada yang berada tidak jauh dari kawasan USJ Selangor, adalah dimaklumkan pada hari Ahad 27 Jumadilthani 1430H bersamaan 21-6-2009, Tuan Guru Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu al Banjari akan berkunjung memberi pengajian di Masjid al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Selangor, Darul Ehsan. Sesi bermula jam 9pagi hingga 12.30 tengahari.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung dengan Ust Azian Man ( 013 3309474)
Kepada yang ingin mengenali lebih lanjut latar belakang Ulama' Nusantara ini, biografinya boleh dibaca di laman al-Fanshuri


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, June 16, 2009

Kek Tanpa Lilin

Ingat ke bila kali terakhir anda meniup lilin bila sambut hari ulang tahun kelahiran? Tiap2 tahun tiup lilin? Betul ke? Dari mana asalnya tradisi ini? Pernah bertanya tak, kenapa kena tiup lilin? Bukankah bermain dengan api itu bahaya, dan kekadang jika anda bukan perokok, nak kena cari mancis atau lighter lah pulak, bukankah itu menyusahkan. Dan bila dah berlilin, nak kena regu dengan nyanyian lah pulak, tak kan tiup lilin dan diam je...? Dari mana sebenarnya tradisi memotong kek dan meniup lilin? Ada pulak meletak lilin mengikut jumlah umur yg disambut. Bayang kalau atok atau tokki berumur 72 tahun, nak kena letak 72 batang lilin ke? Dan kena ke si atok tu meniup 72 batang lilin tu?

Mungkin ada yang akan terasa kena 'kenen' tersindir dsbnya oleh tulisan saya ini. Alah2 tok sah lah terasa sangat dengan penulisan saya, tapi kalau terasa biarlah kerana kejahilan kita... Bukanlah ada niat untuk mengusik jiwa dan perasaan sesetengah ibu ayah yang sering kali sambut hari ulang tahun mengikut tradisi kaum tertentu. Untuk makluman, dek kerana ianya telah menjadi 'tradisi' masyarakat umum, si penulis pun tidak terkecuali, pernah juga meniup lilin atas kek hari ulang tahun, dan pernah juga menganjur acara meniup lilin atas kek untuk anak-anak. Di zaman jahiliyah dahulu... sebenarnya apa hukumnya meniup lilin di atas kek hari ulang tahun? Adakah kita hendak berterusan liberalkan Islam atau ingin berhijrah ke arah Islam Ad'Din dalam kehidupan. Ya Rabb, ampunlah dosa kami yang kering ilmu ini atas dosa-dosa amalan kami yang terdahulu...

macamni kot rajuk dia bila kek b'day tak berlilin....

Mengikut penerangan Ustaz-Ustaz yang ditanya, termasuk Ust Azhar yang menerangkan bahawa tradisi meniup lilin atas kek semasa menyambut hari ulang tahun kelahiran adalah haram hukumnya mengikut pendapat ijma' ulama, kerana perbuatan ini adalah bukan dari amalan Islam, dan tiada sebarang kebaikkan dari perbuatan tersebut. Adapun perbuatan2 yang tradisinya bukan dari Islam tetapi untuk kebaikkan dan tidak melanggar hukum syarak seperti hukum memakai seluar (yg katanya direka oleh bukan orang Islam), atau hukum menggunakan telephone bimbit (yg bukan juga direka oleh orang Islam) tidaklah sama dengan haramnya hukum meniup lilin atas kek hari ulang tahun kelahiran yg tiadalah apa2 kebaikkannya. Waallahualam


Catatan Selanjutnya...

Monday, June 15, 2009

Akhirnya...Matla' Al-Badrain versi awam

Selamat kembali ke sekolah kepada semua murid, guru, cikgu besar, pengetua, peniaga kantin, penjaga kebun dan semua warga sekolah sekalian. Semoga cuti 2 minggu telah dapat merehatkan kepala dan badan anda semua dan bersedia untuk teruskan perjuangan menuntut ilmu dan menabur ilmu serta terlibat dalam tuntutan ilmu.

Pernah belajar ilmu Fiqh? Guna kitab Matla' Al-Badrain (versi Jawi atau Rumi) hasil penulisan Abdul Faqir Al-Fatani Muhammad bin Ismail Daud Fatani? Kepada sesiapa yang ingin mendalami ilmu Fiqh, maka kitab ini adalah antara rujukan pilihan para Ilmuan dan guru-guru pondok untuk digunakan.

Jika anda seperti saya yang baru nak berta-tih dalam mendalami ilmu agama, dan ilmu Fiqh termasuk, kitab Matla' Al-Badrain ini dan bahasa yang digunakan (versi rumi termasuk) akan memeningkan fikiran anda dalam satu patah ayat pertama yang dibaca. Maklumlah, kita bukanlah lulusan pondok dan tiada asas pengajian seumpamanya. Maka, pengajian kitab ini tanpa guru yang mahir akan mengkecamukkan kefahaman diri. Bila mana saya mula join kelas dwi-mingguan berlandaskan kitab ini, ustaz sudah selesai bab2 awal, dan kelas pertama saya adalah berkenaan solat jenazah (Kitab Al-Janaiz). Segala bacaan dan lafaz doa yg diperjelaskan didatangkan tanpa baris. Maka berdikit-dikitlah saya membariskan lafaz2 doa yg diajarkan. Mujurlah saya berbekalkan sedikit asas pengetahuan berkenaan solat jenazah yang pernah dipelajari dahulu. Namun kini ada berita gembira untuk orang awam seperti kita...
Kitab Matla' Al-Badrain ini telah berjaya di terjemahkan kepada bahasa Melayu (bacaan awam) dan tidak lagi dalam versi terjemahan terus Arabic ke Bahasa seperti sebelumnya. Dan versi terjemahan dalam bahasa Melayu awam dalam 2 jilid ini telah disemak dan disahkan oleh peneliti JAKIM akan kesahihannya serta ketepatannya mengikut versi asal Arab dan Bahasa Melayu kitab yang biasa digunakan (spt pic ini)
Versi Bahasa Melayu kitab menawarkan terjemahan spt berikut: Dalam perkara mengatakan aurat " bermula aurat lelaki itu antara pusat dan lutut pada sembahyang dan pada segala lelaki dan perempuan yang muhramnya. Adapun auratnya pada perempuan yang hilat, maka sekalian badannya dan pada dua, maka hasilnyaa bagi lelaki itu tiga aurat baginya".... Nah! cubalah kalau2 faham jika rasa terror nak belajar tanpa guru!.... selamat mencuba.


Catatan Selanjutnya...

Sunday, June 14, 2009

Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah - dari khazanah salafiyyah

Nota pengajian oleh Ust Faidzurrahim Hj Mohd Alwi menjadi asas nota kali ini. Ringkasan notanya bertajuk seperti di atas yang diedarkan semasa kuliah bulannya di masjid tempat saya baru-baru ini untuk dikongsi bersama.

Extrait dari notanya bertulis;" Ahli Sunnah bermakna mereka yang berpegang pada apa yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabatnya. Al Jamaah pula bermaksud jemaah muslimin iaitu majoriti umat Islam dari zaman Nabi Muhammad s.a.w hingga ke zaman ini". Di kala ini ramai yg datang dengan pandangan dan tajdid baru, maka terpanggil untuk dinotakan di sini apa yg dikongsikan oleh Ust Faidzurrahim tempohari.

Dari segi sejarahnya, di zaman pemerintahan khalifah Al Abbasi, ada seorang pemerintah yang terkenal dgn ketinggian ilmunya, sifat soleh taqwa dan beraninya, beliau ialah Sultan Solahuddin Al Ayubbi. Beliau telah berjaya menghafal kitab fiqh Imam Syafi'i yang mashyur iaitu kitab Tanbih dan juga kitab al Hamasah. Beliau juga sentiasa menjaga dan mengambil berat terhadap pengajian ilmu aqidahnya. Di zaman beliau terdapat seorang alim bernama Muhammad bin Hibatillah al Barmaki yg telah menulis satu kitab lalu ditunjukkan kpd Sultan Solahuddin Al Ayubbi. Setelah meneliti dan kagum dengan kitab tersebut Sultan Solahuddin telah mengarahkan supaya isi kandung kitab tersebut dijadikan sillibus pengajian untuk kanak2 dan sekolah2 dalam pendidikan aqidah. Beliau juga mengarahkan agar pengajian kitab tersebut dibaca di mimbar2 masjid sebelum azan subuh, kerana ketika itu menjadi kebiasaan umat Islam bangun sebelum subuh untuk berqiamulail.

Diantara isi kandung kitab tersebut menjelaskan aqidah Islah ialah; (terjemahan): Yang Pencipta (Allah) alam tidak diliputi oleh arah dan tempat, Maha suci Allah dari penyerupaan, Allah itu ada Abadi dan tiada tempat bagiNya, dan keputusan bahawa keberadaanNya sekarang sebagaimana Dia dahulu iaitu tanpa tempat, Maha suci Allah dari tempat dan zaman. Kitab ini diriwayatkan oleh Imam As Sayuti dalam kitab Al Wasaeil ila Musamaratil Awaeil.

Dan pegangan ini selari dengan sabda Baginda Nabi s.a.w "Sesungguhnya Allah sediakala (adaNya tanpa permulaan), kewujudanNya tanpa ada sesuatu pun di sampingNya" Riwayat Al Bukhari, Al Baihaki dan Ibnu Jarud.

Sabda Nabi s.a.w lagi

"Hendaklah kamu semua berpegang dengan jamaah dan jangan sekali-kali berpecah belah, sesungguhnya syaitan itu bersama dengan seseorang dan dia akan menjauhi orang yang berdua, barangsiapa yang inginkan kelapangan di syurga maka mestilah dia melazimi jamaah" Hadis ini dihukumkan oleh Imam al Hakim dan Imam Tirmizi sebagai hasan sahih.

Adapun perkataan jamaah dalam hadis dimaksudkan sebagai al sawad al a'zom iaitu majoriti umat Islam, dan bukanlah bermaksud solat jemaah. Hanya Allah yang Mahamengetahui


Catatan Selanjutnya...

Saturday, June 13, 2009

Manusia Kejam dan Harimau Buas

Seorang lelaki (seorang bekas suami dan juga bapa) ditangkap kerana disyaki mengelar dan membunuh isterinya (11/6/09) di hadapan 5 orang anaknya di satu kawasan di Taman Andalas, Klang - BH 12/6/09. Beliau yang juga seorang bekas kontraktor juga telah bertindak menikam bertubi2 isterinya dan kemudian turut cuba untuk membakar 3 orang dari 5 anaknya. Walaupun mereka ini bukan beragama Islam (dari nama yang dilaporkan), namum mereka tetap manusia, yang masih ada fitrah dalam diri, tapi sampai ke tahap inilah manusia sekarang, tiada belas kasihan.

Membaca berita ini teringat cerita kampung yang dialami penulis sendiri semasa di zaman 80-an (penulis masa itu dalam zaman kanak2 dewasa). Kisahnya mengenai jiran belakang rumah yang ada seorang anak lelaki ketika itu berumur lewat 20-an (cerita hanya sekadar untuk pengajaran, tiada niat nak mengaibkan sesiapa).

Anak lelaki jiran belakang rumah ayah seorang pengangur berdiploma (mangsa krisis ekonomi 80-an). Hidupnya ditanggung ibunya yang agak berada ketika itu. Suatu hari, semasa Mat ni tengah tinggi 'high' melayan 'syok kemaruknya' dia telah bertengkar dengan ibunya yang baru sudah mandi pagi, lalu si Mat ni dengan tidak semena-mena mengejar ibunya keluar rumah dan menghayun pisau potong ikan (yg mata besar tu) lalu pisau hinggap ke leher ibunya. Nasib baik sungguh, kerana baru selesai mandi, masih ada kain basahan di kepala disanggulkan dan di lilit di leher. Walaupun kuat hayunan si Mat yang memang tengah 'tinggi highnya' tu, luka tetakan cuma sedikit namun ibunya rebah ke bumi kerana terkejut. Saya pada masa itu tercengang berada di 'lambor' (veranda) rumah dan menyaksikan setiap detik kejadian cemas itu. Oleh sebab itulah saya telah dijadikan saksi utama oleh polis dan pegawai penyiasat. Itulah pengalaman pertama dan terakhir menaiki kereta polis (tapi duduk depan) dan dibawa ke balai untuk memberi keterangan sambil diberi roti canai telur dan air teh 'O' panas.

Si Mat tu saya tidak tahu apa jadi dengan dia selepas dihantar ke pusat Serenti. Namun ibunya terus trauma selepas itu dan meninggal dunia tak lama kemudian. Dan saya telah ke luar negara menyahut cabaran pendidikan sejurus kemudian.

Kesimpulannya: Semasa kita marah, syaitan akan menguasai diri dan yang waras akan hilang dan yang buas akan mencengkam. Itulah keburukan marah yang berkobar-kobar, serta kebaikkan menahan diri dari sifat2 marah tersebut. Hakikatnya manusia diberi sifat marah untuk membela diri dan ini timbul dari kekuatan yang timbul dari batin manusia. Saidina Ali r.a pernah berkata; "Nabi s.a.w tidak marah kerana urusan duniawi" tetapi apabila Baginda s.a.w marah kerana membela kebenaran, tidak seorangpun mengenalnya, dan tidak ada yg dapat menahan kemarahannya hingga Baginda s.a.w menenangkannya. (Mukhtashar Ihya Ulumuddin).

Apabila waktu marah, Rasulullah s.a.w berpesan untuk kita ucapkan " Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang terkutuk" dan Baginda s.a.w pernah bersabda; "Sesungguhnya amarah itu bagaikan bara yang menyala di dalam hati. Tidaklah kalian melihat pipinya yang membengkak dan kedua matanya yang merah. Maka apabila seseorang dari kamu mengalami hal itu dan ia berdiri, hendaklah ia duduk. Jika ia sedang duduk, hendaklah ia baring. Jika masih tetap begitu, maka berwuduklah dengan air dingin atau mandilah, kerana api itu hanya dapat dipadamkan oleh air".


Catatan Selanjutnya...

Friday, June 12, 2009

Tempat orang bermandi darah, tempat kita sunyi sepi

Mungkin ada yang membaca berita mengenai peristiwa berdarah di mana 11 jemaah masjid Al Furqan di Cho Airong, Selatan Thai yang sedang solat Isyak pada malam Isnin 8/6/09 lalu terkorban syahid ditembak dengan kejam dari belakang semasa sedang bersolat. Antara syuhadah termasuklah pak imamnya Allahyarham Wan Abdullah Wan Latif 62 thn. Berita lanjut boleh dibaca di sini.

Alhamdulillah, betapa aman dan bertuahnya kita di bumi Malaya ini, paling risau pun semasa solat ialah kalau-kalau kasut/sandal/selipar dicuri orang. Ada juga yang risau kot-kot motor/helmet/kereta dicungkil mat-mat yang saje2 cari kerje kosong, atau cuba2 nak isi bilik lokap kosong.

Keamanan juga menyebabkan kita alpa, berterusan mengosongkan masjid dan surau, terus membiarkan majlis-majlis ilmu berterusan sunyi murung, saudara2 seagama kita di selatan Thai berterusan dihimpit ancaman pihak2 yg tidak berperikemanusiaan. Yang berterusan memporak perandakan keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kepercayaan. Yang peliknya siasatan oleh pihak yang berkuasa sering kali ke jalan buntu bila yang menjadi mangsa itu saudara seagamaku... logiklah kalau masyarakat Islam di sana hidup dengan penuh rasa curiga kepada mereka yang memegang senjata meronda kampung halaman mereka.

Ada juga keadaan di tempat kita di mana jemaah memilih bulu untuk majlis ilmu. Sekiranya Ustaz yang datang itu mengajar mengikut rentak dan samba golongan tertentu, maka berdoyong-doyong mereka dari kalangan tertentu datang dari jauh dan dekat. Akan tetapi jika yang datang itu Ustaz yang lantang menentang pendekatan sesetengah golongan, maka yang tinggal semasa majlis ilmu hanyalah beberapa kerat qariah, ahli 'regular' atau mungkin beberapa ahli jawatankuasa masjid surau yang agak segan untuk angkat kaki kerana merekalah yang menjemput si Ustaz itu datang. Pelik tapi benar,,,padahal menuntut ilmu (ilmu fardhu ain) itu adalah wajib kepada setiap umat Islam.

Pernah bersyair Muhammad Ibnu Al-Hasan bin Abdullah (yg telah dialih bahasakan);
" Dan jadikan olehmu akan diri kamu itu menuntuti faham dan menuntuti faedah dan bertambah-tambahnya dari ilmu pada tiap-tiap hari. Jangan lupa daripadanya satu hari jua pun.

"Dan bersungguh-sungguh olehmu pada menuntuti akan segala faedah-faedahnya dan manafa'at-manafa'atnya yang amat banyak itu, seperti bersungguh-sungguh kamu pada berenang di dalam laut yang amat dalam dan luas, kerana bahawasanya faedah-faedah dari itu amat banyak sehingga tiada kuasa menghabisi akan dia oleh anak Adam"...
Risalah Al-Al'alamah Asy'Sheikh Burhanuddin Az Zarnurji.

Salam Jumaat dan selamat menuntut ilmu kepada semua.


Catatan Selanjutnya...

Thursday, June 11, 2009

Bida'ah ..di Kampung dan Bandaraya sama sahaja

Sempena cuti2 seMalaya, kesempatan tidak dilepaskan untuk pulang ke kampung halaman setelah bercoti di tpt orang, bertemu sanak saudara dan kenalan semasa kecil, menziarah dan bersihkan pusara ayah dan bonda tercinta, terasa sungguh kekosongan tanpa senyum gembira mereka bila ku bawa pulang cucunda bertemu mereka seperti dahulunya.

Bila ke pusara, teringat pesan Ustaz di Shah Alam, untuk perhatikan kesan2 amalan bid'ah yang masih menebal di dalam masyarakat kampung dan desa apabila mereka menziarah kubur contohnya, amalan menyiram air diperkuburan. Dahulunya pernah juga terfikir kenapa dibuat begitu? nak sejukkan si mati yang di bawah ke? (pemikiran penulis di umur 7 thn)...

Bila ditanya pasal amalan menjirus air di atas kubur bila selesainya membaca Al-Qur'an dan sebagainya, ramai Ustaz yang akan terus menerjah mengatakan ini amalan bid'ah orang2 lama yang harus ditinggalkan. Tiada penjelasan lanjut kenapa dahulunya dibuat dan kenapa kini diterjah sebagai bid'ah dalallah yg patut ditinggalkan. Bila di kampung, sempat bertanya kpd Pak Imam kampung lulusan pondok usang. Penjelasannya adalah seperti berikut. Amalan menjiruskan air ke kubur jika bertujuan untuk apa2 kebaikan kepada si mati adalah perbuatan bid'ah yg patut dielakkan. TETAPI jika niat hanya untuk pastikan tanah yang baru digali dan ditimbus (kubur baru) itu lebih cepat padat semula dan jika di atas kubur lama, niatnya hanya untuk pastikan pokok-pokok bunga kecil yang ditaman itu tidak mati kehausan maka perbuatan ini adalah harus. Perbuatan menyiram air itu tiada kena mengena dengan mayat si mati dan apa2 mengenai kehidupan alam barzakhnya. Begitulah penjelasannya dan juga penjelasan beberapa org Ustaz lain (yg bukanlah dari kalangan lepasan ijazah Ilmiah luar negara yg menerjah amalan ini sebagai bid'ah semata-mata) lain yang ditanya. Waallahualam.

Kemudian di malam-malam hari sempatlah menjenguk suasana majlis ilmu versi kampung. Keadaannya sama saja dengan suasana di taman perumahan di bandaraya...lengang dan hanya dipelopori oleh Geng-geng KRU...Kumpulan Rambut Uban. Golongan vateran inilah yg menyibukkan diri di surau2 dan di masjid2 utk 'mendengor' aka mengikuti majlis ilmu. Yang bezanya, jika dibandar para jemaah akan dilengkapi dgn peralatan canggih spt PDA dan MP3 recorder, di kampung mereka cuma 'mendengor' tanpa menulis nota atau selainnya.

suasana di surau sementara setelah yg asal dirobohkan untuk dibina yg baru


Namun, ada juga tempat2 yang luar biasa ramai qariahnya, bila ada ustaz-ustaz populer spt Ustaz Azhar Idrus (mengikut laporan dia sangat populer di pantai timur semenanjung dan kawasan yg sewaktu dengannya). Majlis ilmu berubah menjadi seperti karnival (tak pe lah bukan spt karnival yang heboh2 tu). Ada jualan, ada pertembungan ilmuan muda dan veteran, ada perkongsian ilmiah yang sangat menarik perhatian penulis (saya lah tu). Dan saya akan menjadi salah seorang ahli fan club Ustaz ini jika dia ada kelab peminatnya. Boleh disearch di youtube... Saya kurang pasti keberkesanan penyampaiannya tapi dia memang a 'crowd puller' ditpt yg saya terhadirkan diri pada malam itu.


Catatan Selanjutnya...

Sunday, June 07, 2009

Marah Tahap Gaban

Dalam menghabiskan minggu pertama cuti sekolah bulan Jun ni tiada kesempatan untuk saya penuhi beberapa permintaan putera2 tercinta yang sebahagiannya tidak berpuas hati untuk hanya bersantai lapang masa dengan ibunda mereka di rumah sementara ayahnya (saya lah tu) sibuk ke sana ke mari menyelesaikan tuntutan negara. Saya sudah aturkan minggu ke dua untuk bercuti-cuti M'sia insyaAllah, tapi biasalah mereka ni mana boleh tahan sabar banyak-banyak.
Apa sebabnya anak2 sekarang ini kurang sabarnya? Kenapa tabiat marah ini kekadang menguasai mereka dan juga menguasai kita? Suka saya rujuk kepada petikan kitab Pendidikan Anak-Anak Islam (Abdullah Nasih Ulwan); katanya, sebelum mencari ubat untuk kemarahan itu adalah perlu untuk memahami sebab2 kemarahan dan sesuaikan ubat dengan sebabnya. Betul sekali kata2 ini, tapi macamana nak tahu sebabnya?

1. Jika marah itu bersumberkan dari kelaparan (memang tabi'i manusia akan marah2 bila kosong perutnya), maka kenalah kita isi perut2 itu dengan isi yang sesuai (yang halal, bukan yang dari sumber haram, dan bukan yang ada logo halal ala-ala kadar itu). Sebabnya, mencuaikan pemakanan anak2 dan membiarkannya kosong boleh memudaratkan mereka dan membuatkan mereka memberontak.

2. Jika kemarahan dan pemberontakan anak2 berpunca dari penyakit, maka wajiblah kita berusaha mencari penyembuhnya. Tiap-tiap penyakit itu ada ubatnya, dan apabila penyakit terkena ubatnya, baiklah pengidapnya dengan izin Allah SWT.

3. Jika sekiranya marah mereka kerana dimarahi dengan tidak semena-mena, maka kita hendaklah berusaha untuk menahan lidah dari kata-kata memalukan mereka, supaya tidak terlekat pada jiwa mereka perasaan marah dendam benci itu. Tuntutan syarak dalam pendidikan yang baik adalah dengan beradab, dan berterusan memperbaiki adabnya.

4. Jika kemarahan itu berpunca dari percakapan si anak kepada kedua ibu bapanya dengan tabiat marah, maka wajiblah kedua ibu-bapanya memberikan pendidikan dengan contoh tauladan yang baik dalam sifat lemah lembut, sopan santun, menahan diri dari marah. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran 134 yang bermaksud;
"Yang suka menahan marah, dan yang memaafkan kepada manusia, dan Allah suka kepada orang-orang yang berbuat baik"

Dan Nabi s.a.w juga pernah bersabda "orang yang gagah itu ialah orang yang dapat menahan dirinya pada waktu marah"

5. Jika marah itu berasal dari si anak, iaitu kemanjaan yang melulu dan kemewahan yang melampau, maka wajiblah para ibu bapa bersifat sederhana dalam mencintai anak-anak, dan hendaklah mereka bersifat natural dalam membelas kasihan anak-anak, berbelanja ke atas mereka.
Saidina Ali Abu Talib k.w pernah berkata
"Kasihilah kekasihmu itu berpada pada, mana tahu dia menjadi orang yang engkau benci suatu masa. Dan bencilah orang yang engkau benci itu berpada-pada, mana tahu dia akan menjadi orang yang engkau kasihi suatu masa"

semasa n3 dibuat, mereka sedang happy main air tahan gaban

6. Jika kemarahan itu datang dari kesan ejekan, mengata nista, memanggil dengan gelaran yang jijik, maka wajiblah ibu bapa menjauhi sebab-musabab sebegini yang menimbulkan kemarahan anak2 itu, supaya tidak tertunas pada dirinya tabiat marah.

Kesimpulannya: (1)Bila time anak2 bercuti sekolah, cuba2lah mencari ruang untuk bercuti sama dan meluangkan masa bersama mereka, jangan dibiarkan sangat mereka melayan lamuan mereka dengan perkara2 yang kurang berfaedah itu. (2) Pendidikan mengikut cara syarak sangat2 halus dan menyeluruh, cuma si ibu dan bapa sahaja yang perlu mencari ilmu untuk mentarbiahkan anak2 yang dilahirkan suci bersih itu. InsyaAllah n3 ini akan disambung mengenai penyembuhan penyakit2 marah ini menurut syarak seperti yang dicatatkan dalam kitab Abdullah Nasih Ulwan ini.


Catatan Selanjutnya...

Friday, June 05, 2009

Rediscovery Diri Siri #6 - Kikis Sifat Kikir

Salam Jumaat buat diri dan sesiapa yang terbaca nota ini. Saya sambung catatan Rediscovery Diri yang dimulakan sekian masa dahulu dalam mencari Cinta Abadi. Kali ini berkenaan sikap saya terhadap tuntutan 'memberi', 'menghulurkan'. Bukanlah niat untuk membuka pekung di dada, tetapi melihat dari mana saya datang beberapa ketika dahulu, memang sifat cinta dunia dan cinta harta dunia itu menebal dalam diri (... dahulunya cita-cita adalah untuk ada nilai harta tujuh angka sebelum mencapai umur 40-an). Lantas sekarang sepertinya berperang dengan emosi diri melawan sikap cinta dunia yang sebetulnya menggunung bab gunung Kinabalu ini.

Bila disemak dalam kitab Ihya Ulumuddin karya ulung Imam Al-Ghazali, dinyatakan yang cinta harta itu sendiri ada dua sebab;

Pertama: kesukaan bersenang-senang (ialah, siapa diantara kita yang mampu untuk tidak mahu bersenang-senang?). Kerana kecintaan untuk bersenang-senang, maka tidak tercapai kecintaan itu jika tidak dengan harta dan disertai pula dengan angan-angan. Barangkali anak-anak pula dijanjikan bayangan kesenangan sehingga panjang angan-angan menyebabkan kita mengumpulkan harta demi anak-anak...

Nabi s.a.w pernah bersabda yang maksudnya " anak-anak itu menyebabkan sifat kikir dan sifat pengecut serta kebodohan." (rujuk Mukhtasar Ihya' Ulumuddin - Zaid Husein al Hamid)

Kedua: Bila kita mencintai harta sedangkan kita sudah mengetahui bahawa kita tidaklah memerlukan kesemuanya dikala hari tua (jika umur sepanjang itu), kecintaan harta ini seperti satu penyakit kronik dalam hati hanya untuk dicapai sebagai tujuan, bukanlah memilikinya yang diutamakan tetapi perasaan untuk memiliki itu lebih utama. Semoga Allah melindungi kita dari penyakit kronik ini.

sekadar gambar hiasan: bukanlah kehidupan sebegini yang saya perjuangkan

Menurut kitab Mukhtasar Ihya' Ulumuddin, untuk mengatasi sifat kikir, satu caranya ialah dengan mengurangi nafsu terhadap keduniaan serta keinginan untuk itu dan ini, banyak mengingati mati, merenung kematian teman-teman, menziarahi kubur, termasuk memikirkan cacing-cacing yang ada di dalam kubur itu. Perhatian terhadap peinginan untuk anak diatasi dengan menyedari bahawa Penciptanya mengurniakan rezeki bersama anak itu. Ramai anak yang mewarisi sedang itu bukan rezekinya, dan ramai pula anak yang tidak mewarisi, padahal Allah SWT mengurniakannya harta yang banyak selepas itu. Jika anak itu seorang yang soleh, maka Allah SWT akan memimpin orang-orang soleh. Tetapi jika anak itu orang yang fasik, maka ia akan menggunakan harta dunia yang ditinggalkan untuk jalan yang bathil.

Pernah saya ditanya rakan samada saya sanggup menyerahkan segala apa yang ada dari harta dunia kepada orang yang lebih memerlukan dan meneruskan kehidupan dengan seadanya ala-ala kadar sahaja, saya tidak mampu menjawab di mulut, tapi di hati saya pantas menjawab mana mungkin!.... jauh lagi rupanya apa yang saya impikan dari apa yang sebenarnya ada di dalam hati... semoga Allah terus memberi saya kekuatan untuk berjihad ke jalan yang perintahkannya, dan semoga saya menjadi lebih ringan hati untuk memberi...amin


Catatan Selanjutnya...

Thursday, June 04, 2009

B2B Nota : Hal - Hal Solat

Menyambung kembali siri Back-to-Basic (B2B) dalam kehidupan harian, kali ini bab-bab solat yang sempat saya catat dari kuliah mingguan dengan Pak Imam Masjid di kampung perumahanku, Ust Yaakob (aka Guru Tajwid, tempat soal jawab hal-hal rumah tanggan, dan pakar tukang masak kari kambing malam Jumaat :-) ).

Kepada kalian yang sudah mahir, arif dalam hal-hal solat mungkin catatan ini tiadalah sebarang perkara baru, tetapi pada pemerhatian saya banyak yang dicatatkan ini dilakukan oleh ramai tak kira orang tua, remaja dan kanak-kanak, baik lelaki atau perempuan. Tidak lah pula saya mahu catatkan hal-hal syarat wajib, syarat sah mahupun rukun solat yang sudah kita pelajari semasa di kelas Fardhu ain dulu, tetapi perkara-perkara yang boleh membatalkan solat kita, yang jika diperhatikan ramai yang terbuat yang demikian.

Diantaranya, adalah disyaratkan membaca takbiratulihram DAN segala bacaan rukun yang lain di dalam solat secara didengari oleh telinga sendiri dan dalam suasana yang tidak bising. Maka jika disebutnya dengan perlahan secara kumat-kamit bibir macam orang berbisik nescaya tidak memadai... cuba perhatikan sekalian ramai yang bersolat jemaah, datang terus angkat tangan, qiam dengan sunyi sepi lantas ruku'...

Juga bacaan Al-Fatihah, tidaklah boleh diselang-selangkan ayatnya dengan bacaan yang lain seperti mengucap Alhamdulillah ketika terbersin kecuali bacaan Amin kerana bacaan Al-Fatihah imamnya, yang perlu dibaca berturut selepas imam dan tidak diselang dengan diam yang lama.

Demikian juga dengan berdehem-ehem-ehem, atau menangis, atau menghembus nafas melalui mulut atau hidung sekira-kira berbunyi dua huruf maka batallah solatnya, kecuali ada yang sakit maka tiadalah batalnya. Mengikut kitab Idaman Penuntut tulisan Hj Abdul Ghani Hj Yahya 1983, jika bercakap dengan tidak tersengaja umpama terlupa akan dirinya sedang solat atau tidak tahu akan hukum hakamnya dan percakapanya sedikit tidak melebihi 6 perkataan maka tiadalah batal solatnya. Tapi bila kita berjemaah, terutama Subuh, berapa ramai yang asyik-asyik ehem-ehem meng'clear'kan kerongkong berjelebu waktu pagi. Diperhatikan bahawa ada seorang muslimah ini tidak akan lupa untuk berdehem-ehem setiap pagi semasa solat subuh, sehinggakan para muslimin tahu akan hadirnya dia...

Begitu juga dengan perbuatan mengerakkan anggota-anggota besar seperti tangan, terutama untuk menggaru-garu kepala, belakang, tengkuk dsbnya, berulang-ulang tiga-kali juga membatalkan solat seseorang. Adapun perbuatan yang banyak semasa bersolat di atas belakang kuda (atau unta), dalam kenderaan, dalam kapal terbang dsbnya adalah dimaafkan.

Begitu juga apabila terbuka aurat yang termaklum dalam solat jika dibuka dengan sengaja atau tersalah buka sekalipun oleh kanak-kanak yang belum mumaiz dan sekalipun ditutup dengan segera. Adapun terbuka aurat disebabkan tiupan angin (maklum sekarang musim panas, ada yang solat dengan pintu terbuka) dan ditutup dengan segera pada kadar jangka tumakninah, dan tidak berulang-ulang, maka tiada batal solatnya.

Demikian juga, batal solat seseorang itu jika berubah niatnya spt niat keluar dari solat atau berbelah bagi hendak keluar atau terus solat seperti bila telepon berdering atau door-bell ditekan. Katakan terdetik dalam hati, jika h/p bunyi aku akan berhenti sembahyang, maka batallah solatnya sekalipun h/p tidak berdering semasa solatnya... Nak selamat, bila solat, h/phone tiadalah dalam poket atau paling tidak letaklah silent mode tanpa bergetar...

Seterusnya (tapi ini jarang-jarang berlaku), batal solat seseorang jika niat hendak tukar spt solat zuhur dengan sengaja hendak ditukar niatnya menjadi asar (pelik tapi mungkin berlaku), KECUALI jika solat fardhu hendak ditukar kepada solat sunat mutlak dengan sebab hendak solat berjemaah yang akan didirikan (tengah2 solat zuhur sorang2 tetiba ada orang baru nak mulakan solat jemaah), maka ia boleh potong solatnya tadi menjadi dua rakaat dengan diniatkan solat sunat dan beri salam. Dan dia sertai jemaah baru untuk solat berjemaah, inilah yang lebih baik sekiranya masa masih lapang lagi.

Kerap juga ditanya berkenaan makan makanan yang terlekat celah2 gigi. Adalah batal solat seseorang jika ia makan meskipun makanan yang lekat celah2 gigi seperti biji bijan atau gula pasir, digigit dan ditelan dengan sengaja, termasuk juga menelan KAHAK melainkan kerana jahil akan haramnya atau terlupa. Inilah faedahnya sunat yang dituntut untuk bersugi, bersuci, gosok gigi sebelum solat...

Dan yang terakhir, yang biasa diperhatikan, dilakukan oleh sesetengah ahli jemaah yang bersolat jemaah, mereka yang memanjangkan rukun yang pendek dengan sengaja sehingga makmum ketinggalan dari pak imam sampai habis dua rukun. Bila imam sudah hampir hendak turun sujud, si makmum masih belum rukuk... Waallahualam


Catatan Selanjutnya...

Wednesday, June 03, 2009

Hati ANDA Bahagia?

Saya terima nota ini dari seorang kawan yang rajin sekali mengirim kata2 peringatan dan kongsi pendapat. Izinkan dikongsi di sini sebagai renungan bersama. Kali ini kirimannya berkenaan Hati yang Tiada Bahagia di dalamnya. Menurutnya, di antara 9 SEBAB HATI MENJADI TIADA BAHAGIA ...
1. Pemarah paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan yang baik dan hati tentunya tidak tenang.

2. Pendendam tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Mungkin atas sebab ini lah orang pendendam mudah kena sakit jantung.

3. Hasad dengki - amalannya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ini adalah sifat ketuhanan dan bukan sifat hamba yang diciptakan.

4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat etc dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada cukup wang sedangkan rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama dengan memperbanyakkan sedekah. Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui maknusia

5. Tamak orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut...walau banyak mana yg diminum tetap tak habis juga dan tidak juga hilang rasa dahaganya. Sebagai peringatan, yang dikatakan harta atau rezeki kita ialah apabila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita kerana mungkin ada hak orang lain di situ. Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

6. Tidak sabar andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar.
7. Ego - inilah yang menjadi ibu kepada segala mazmummah dan mendorong seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.

8. Riak terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. -Allah marah kalau kita riak..takabbur dgn aper yg kita ada..

9. Cinta dunia - bila tidak dapat ia menderita, ...dan apabila ia dapat pun menderita kerana susah pula untuk menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. Dunia itu "panas" kerana ianya merupakan barang buruan yang ramai dan rebutan sekalian manusia. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.
Kesimpulan:-
Makin tinggi dan tebal mazmummah diri, maka semakin hilang BAHAGIA dalam diri. Berperang dengan tentera mazmummah ini adalah sesuatu yang dilakukan secara berperingkat-peringkat dan istiqamah. Mudah-mudahan penyakit2 hati ini akan dapat diubati dengan izin Allah. Banyak kelas-kelas pengajian oleh guru-guru bertauliah menggunakan kitab-kitab ulung spt Ihya' Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali, boleh di ikuti sebagai usaha berterusan mengubati hati yang memang lama sakit.


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, June 02, 2009

Musim Walimatul Urus

Menjadi lazimnya di negara ini iaitu musim cuti sekolah bulan Jun menjadi musim Walimatul Urus. Kalau di taman-taman perumahan di kawasan bandar, inilah musim orang buat lencongan di jalan-jalan kerana jalan taman diambil alih oleh khemah-khemah jamuan. Kalau di kampung, inilah masanya kaum keluarga dan jiran sekampung sibuk buat 'bekwah', biasanya secara gotong-royong utk memeriahkan dan meringankan bebanan tuan rumah.

Tibanya hari bahagia, bapa kpd pengantin akan berbaju yang banyak kocek kerana hampir kesemua yang bersalaman tangan nanti akan menyelitkan satu envelop kecik yg berisi, kekadang tak bersampul pun, exposed je kaler merah, hijau.
Mengikut Sahih Shafi'i, menghadiri majlis walimaul urus itu fardhu kifayah hukumnya. Walaupun sebahagian ulama' mengatakannya fardhu ain, iaitu wajib bagi tiap-tiap orang yg diundang itu menghadirkan diri.

Sabda Rasulullah s.a.w dari Ibnu Umar r.a yang bermaksud; "Bila seseorang mengundang saudaranya, maka hendaklah saudaranya itu memperkenankannya, biar undangan itu untuk mempelai atau lain-lainnya". (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

ini pic wedding main-main jer

Apabila seseorang mengadakan majlis jamuan walau apa jamuan sekalipun, dilarang sekali menentukan panggilan untuk orang-orang berada, bangsawan, orang-orang berpangkat dan menyisihkan orang-orang susah miskin.

Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis dari Abu Hirairah r.a, Baginda s.a.w bersabda "makanan yang paling kurang berkatnya ialah makanan jamuan yang dilarang datang kepadanya orang yang ingin datang (orang-orang miskin). Dan diundang menghadirinya orang-orang yang tidak akan datang (orang-orang yang tak hendak berhendak sangat). Dan sesiapa yang tidak memperkenankan panggilan, sesungguhnya ia telah berlaku derhaka kepada Allah dan RasulNya" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tapi adakah semua jemputan majlis itu wajib diperkenankan atau ada pengecualiannya?
Mengikut Fiqh Syafi'i Jil 2 susunan Ust Hj Idris Ahmad S.H, majlis yang wajib diperkenankan itu ialah hari pertama sahaja. Jika majlis di adakan beberapa hari, maka kehadiran di hari kedua adalah sunat dan pada hari ketiga adalah makruh hukumnya, sebab jamuan yang lebih dari dua hari itu terjurus kepada bermegah-megah dan keriaan.

Satu hadis dari Ibnu Mas'ud r.a berkata, bersabda Nabi s.a.w "Makanan hari pertama itulah yang hak dikabulkan, dan makanan hari kedua adalah urusan biasa. Adapun makanan hari ketiga menjadi kebanggaan (kesombongan). Dan sesiapa yang sombong Allaj sombong pula kepadanya" (HS Riwayat Tirmizi dan lain-lainnya)

Bila pada jamuan - jamuan itu sesuatu yang terlarang oleh syarak, umpamanya perbuatan-perbuatan mungkar, maka tidaklah wajib menghadirinya, malah dilarang sama sekali. Perbuatan mungkar itu ialah seperti ada dijamukan minuman keras, tari-menari, mengadakan permainan judi dan sebagainya. Kecuali, bila kita hadir, mungkin perbuatan-perbuatan itu tadi tidak jadi dilakukan orang, maka wajiblah ketika itu menghadirinya.

Termasuk juga dalam hal-hal yang mungkar tadi perbuatan menghidangkan makanan yang sengaja untuk ditanyangkan sahaja dan bukan untuk tujuan dimakan. Bila seseorang itu menghadiri majlis yang terdapat padanya kemungkaran, maka bererti ia menyetujui adanya kemungkaran tersebut. Teringat pada Firman Allah SWT surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud;
"Dan hendaklah ada segolongan umat daripadamu, yang menyeru kepada kebaikan dan melarang berbuat kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang menang"

Bagaimana pula dengan karaoke?. Ini satu bab yang selalu dihadapi sesiapa yang menghadiri majlis kenduri kahwin, seolah-olah tiada lengkap kenduri tanpa acara mengasah bakat nyanyian ini? Insyaallah satu n3 khas bab ini, setelah dirujuk kepada pakar2 tenaga pengajar terpilih.


Catatan Selanjutnya...

Monday, June 01, 2009

Pandangan Pertama Yang Menusuk Kalbu

Kisah bermula di suatu pagi hari minggu yang hening, rileks dan terang benderang cuacanya. Sang suami dan isteri sedang bersarapan dengan selesa sehinggalah terpandang si dara ranggi duduk di meja depan, tepat di pandangan mata sang suami. Mata bertentang mata, tanpa kelip sang suami memandang mesra sambil di balas dengan renungan manja si dara jelita, sampai lupa si isteri di sisi. Di kala itulah satu cubitan geram hinggap ke lengan suami, tersentak dia hingga tertumpah kopi-kaw orang kampung yang dihirupnya.

Puas si suami menegaskan berkali-kali yang pandangannya ialah pandangan yang pertama. Kononnya, dia hanya terlihat dan bukan melihat. Si sang suami pun bacakan petikan Fiqh Syafi'i yang baru dibacanya di awal pagi. Ingatnya, petikan itu seakan-akan begini... Bila seorang telah melepaskan pandangan (surely tiada ciri-ciri godaan) kepada wanita baik yang menggetarkan perasaan atau tidak...

maka pandangan yang boleh menurut syarak adaah pandangan pertama sahaja. Adapun pandangan yang ke-2 dan yang seterusnya adalah haram hukumnya (Fiqh Syafi'i Jil 2 ms 298). Dengan kata lain, bahawa pandangan yang dibolehkan ialah yang dari jenis terpandang bukan memandang dan dipandang (a.k.a tatap leleh). Ertinya yang sengaja memandang, dan mengamat-amati bentuk dan rupanya, sesudah ia terlihat. Mengingatkan yang demikian, maka sang suami mengambil keputusan untuk menetapkan pandangannya tanpa toleh, dari pandangannya yang pertama tapi, sehingga terlupa si isteri berada di sisi sehinggalah tersentak bila lengannya di cubit dgn geramnya....padan muka engkau, laki gataei!!


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Ya Ali! Janganlah engkau turutkan pandangan itu, kerana yang boleh bagi engkau hanyalah pandangan yang pertama dan tidak halal bagi engkau pandangan yang kedua" (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Semak dan selidiklah diri sendiri, wahai insan, berapa kerat yang mampu mengikut ada yang disarankan oleh Baginda Nabi s.a.w dalam hal ini (penulis tidak terkecuali). Sebabnya hal sebegini berterusan dilakukan, maka akibatnya rosaklah jiwa sendiri kerana tiadalah sesuatu itu dilarang dalam syarak melainkan penuh dengan kebaikkan yang didatangkan dengannya.


Catatan Selanjutnya...

Google Search