Membaca berita ini teringat cerita kampung yang dialami penulis sendiri semasa di zaman 80-an (penulis masa itu dalam zaman kanak2 dewasa). Kisahnya mengenai jiran belakang rumah yang ada seorang anak lelaki ketika itu berumur lewat 20-an (cerita hanya sekadar untuk pengajaran, tiada niat nak mengaibkan sesiapa).
Anak lelaki jiran belakang rumah ayah seorang pengangur berdiploma (mangsa krisis ekonomi 80-an). Hidupnya ditanggung ibunya yang agak berada ketika itu. Suatu hari, semasa Mat ni tengah tinggi 'high' melayan 'syok kemaruknya' dia telah bertengkar dengan ibunya yang baru sudah mandi pagi, lalu si Mat ni dengan tidak semena-mena mengejar ibunya keluar rumah dan menghayun pisau potong ikan (yg mata besar tu) lalu pisau hinggap ke leher ibunya. Nasib baik sungguh, kerana baru selesai mandi, masih ada kain basahan di kepala disanggulkan dan di lilit di leher. Walaupun kuat hayunan si Mat yang memang tengah 'tinggi highnya' tu, luka tetakan cuma sedikit namun ibunya rebah ke bumi kerana terkejut. Saya pada masa itu tercengang berada di 'lambor' (veranda) rumah dan menyaksikan setiap detik kejadian cemas itu. Oleh sebab itulah saya telah dijadikan saksi utama oleh polis dan pegawai penyiasat. Itulah pengalaman pertama dan terakhir menaiki kereta polis (tapi duduk depan) dan dibawa ke balai untuk memberi keterangan sambil diberi roti canai telur dan air teh 'O' panas.
Si Mat tu saya tidak tahu apa jadi dengan dia selepas dihantar ke pusat Serenti. Namun ibunya terus trauma selepas itu dan meninggal dunia tak lama kemudian. Dan saya telah ke luar negara menyahut cabaran pendidikan sejurus kemudian.
Kesimpulannya: Semasa kita marah, syaitan akan menguasai diri dan yang waras akan hilang dan yang buas akan mencengkam. Itulah keburukan marah yang berkobar-kobar, serta kebaikkan menahan diri dari sifat2 marah tersebut. Hakikatnya manusia diberi sifat marah untuk membela diri dan ini timbul dari kekuatan yang timbul dari batin manusia. Saidina Ali r.a pernah berkata; "Nabi s.a.w tidak marah kerana urusan duniawi" tetapi apabila Baginda s.a.w marah kerana membela kebenaran, tidak seorangpun mengenalnya, dan tidak ada yg dapat menahan kemarahannya hingga Baginda s.a.w menenangkannya. (Mukhtashar Ihya Ulumuddin).
Apabila waktu marah, Rasulullah s.a.w berpesan untuk kita ucapkan " Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang terkutuk" dan Baginda s.a.w pernah bersabda; "Sesungguhnya amarah itu bagaikan bara yang menyala di dalam hati. Tidaklah kalian melihat pipinya yang membengkak dan kedua matanya yang merah. Maka apabila seseorang dari kamu mengalami hal itu dan ia berdiri, hendaklah ia duduk. Jika ia sedang duduk, hendaklah ia baring. Jika masih tetap begitu, maka berwuduklah dengan air dingin atau mandilah, kerana api itu hanya dapat dipadamkan oleh air".