Anda rasa anda besar?
Anda rasa anda berani?
Anda rasa anda berselera tinggi?
Anda rasa anda hebat tenaga batinnya?..... opsss rupanya belum lagi lah
Jika dirasakan kita sudah kuat, rupanya si unta lagi kuat. Boleh berjalan dia berminggu-minggu di padang pasir, dengan membawa muatan di belakang lagi, yang diminta cuma airnya.
Jika rasakan diri sudah besar, cuba lawati zoo negara, dan kunjungi kandang gajah... nampaknya sangat kerdil kita bila berdiri di sebelahnya.
Anda sudah sangat berani? Pernah melaungkan, kami boleh! kita boleh!? namun, sang singa jauh lebih berani dari kita, kerana baginya, saiz bukan halangan, sang gajah yang besar itu akan dia terkam jika dia mahu.
Jika terasa selera makan kita sangat baik. Tahu makan tidur sahaja. Rupanya si lembu dan rakan-rakannya jauh lebih berselera dari kita, kerana kerjanya hanya makan, makan dan makan, termasuk semasa tidur, mulutnya masih mampu mengunyah rumput.
Ada juga yang mendakwa sangat 'aktif', 'hebat', 'perkasa' di ranjang (maaf, bahasa dewasa, tapi untuk pengajaran, di akhir entri nanti). Rupanya si pipit yang kecil molek itu lagi kuat nafsunya. Hampir setiap minit dia mampu mengemudi kasih bersama pasangannya (nanti ramai pulak buat minyak pipit untuk buat rangsangan....)
Jadi, di mana hebatnya kita?
Rupanya, hebatnya manusia adalah pada ilmunya. Dengan ilmunya dan ilham dari Allah, manusia mencipta jentera yang jauh lebih berkuasa dari unta. Dengan ilmunya dan ilham dari Allah, manusia mampu mencipta alat yang boleh melemah longlaikan gajah yang sasa dan boleh menjinakkan sang singa yang perkasa.
Dengan hebat ilmunya manusia boleh makan sepuasnya dan masih boleh tidur lena, boleh 'aktif' bertenaga walaupun sudah lanjut usia. Dengan ilmunya dan ilham dari Allah jugalah manusia boleh menjadi berkuasa seperti raja. Jadi marilah kita berlumba-lumba mendahului tuntutan ilmu. Namun, dengan ilmu yang di timba, sepatutnya makin tunduklah manusia, sebetulnya.
Manakan tidak tunduk, semakin dalam pengajian ilmunya, manusia akan didedahkan dengan semakin banyak persoalan dan sepatutnya semakin tunduk menyedari akan Maha Tinggi ilmu Penciptanya Yang Maha Esa.
sumber: Ust Kamal Azhari, di lokasi tidak jauh dari kediaman kami
Namun sayang sungguh, ramai antara kita yang terbawa-bawa, dengan emosi dan nafsu. Bila sahaja ilmu terasa tebal dalam diri, mulalah mencemuh sana sini. Terlagak (ter - kerana mungkin tidak disengajakan) seperti semua orang lain tiada tandingannya. Semua yang lama, yang tidak sama dengan pendapatnya, akan dikira tidak terpakai, tidak kukuh dan perlu dihindari. Sesetengah antara kita seperti tidak tahu untuk berbeza pendapat, dan lebih menyedihkan, seperti cerdik pandai alim ulama terdahulu itu tidak hebat setanding dengannya. Ada yang mencemuh malah mengherdik kita yang masih belum ber'tajdid sepertinya. Melabelkan kita ketinggalan masa dan zaman kerana masih berpegang dengan nota tulisan tangan beralaskan kertas kuning-kekuningan. Kitab lama dikatakan....waduh hebat sungguh manusia akhir zaman...