Showing posts with label self reminder. Show all posts
Showing posts with label self reminder. Show all posts

Friday, July 17, 2009

Pecah Hati Kerana Menderhaka

Bukan cerita siTanggang, bukan juga cerita derhaka Hang Tuah. Cuma ingin kongsi sedikit catatan perjalanan, buat bekalan di hari minggu yang mendatang.

Kata-kata hikmah ditinggalkan seorang Ustaz, yang namanya dikenal hanya dikalangan orang2 dagang. Dan tidaklah dia berwajah 'pan asian' yang menjadi pilihan, idaman kalian kaum hawa. (nota sisi : apa relevant untuk Hang Tuah berwajah 'pan asian' seperti yang digambarkan dalam teaternya").. saya melalut.
Kata si Ustaz;
  • Tiada terasa nikmatnya sihat sehingga kita ditimpa sakit.
  • Hati perlu dibersihkan dahulu untuk merasa nikmatnya menuntut ilmu.
  • Umpama mencurah wangian di tempat kotoran, mana bisa menikmati kewangian baunya kiranya tidak dinyahkan kotoran terlebih dahulu.
  • Jangan sekali mengecilkan Rahmat Allah. Bertaubatlah atas segala dosa, mahupun dosa kecil yang tidak disengajakan, apatah lagi dosa besar yang disengajakan. Azab Allah kepada pendosa kecil ialah satunya dengan di ambil dari seseorang akan pahala amalannya, lalu dia pulang ke alam akhirat sebagai seorang yang muflis. Ustaz menceritakan kisah seorang manusia yang telah diperintahkan untuk dihumban ke neraka kerana kebebalannya di dunia, tetapi terselamat dan dikurniakan syurga dengan rahmat Allah, setelah berkata-kata sehelai bulu matanya yang pernah gugur semasa dia menangis mengenangkan dosa-dosanya, sedangkan seluruh anggota lain cuma melaporkan dosa kesumat bila mereka berkata-kata di hari Pengadilan yang Maha Adil.
  • Maksiat dan dosa itu umpama racun yang memudaratkan dalam waktu panjang, memasuki tubuh seseorang. Racun yang memudarat hanya dalam masa yang panjang akan; mematikan hatinya, gelapkan jiwanya, daripada memandang yang baik itu baik dan yang bathil itu bathil.
  • Kepada seorang mukmin, hatinya adalah lebih mulia dari jasadnya.

Sebetulnya, semakin 'demand' kita akan kesempurnaan seseorang, semakin kurang ianya nampak dimata... maka terimalah seadanya dan berterusanlah dalam mencari RedhaNya.

salam Jumaat.


Catatan Selanjutnya...

Saturday, July 11, 2009

Betulkah Tenaga (batin) anda Hebat?

Anda rasa anda kuat?
Anda rasa anda besar?
Anda rasa anda berani?
Anda rasa anda berselera tinggi?
Anda rasa anda hebat tenaga batinnya?..... opsss rupanya belum lagi lah

Jika dirasakan kita sudah kuat, rupanya si unta lagi kuat. Boleh berjalan dia berminggu-minggu di padang pasir, dengan membawa muatan di belakang lagi, yang diminta cuma airnya.

Jika rasakan diri sudah besar, cuba lawati zoo negara, dan kunjungi kandang gajah... nampaknya sangat kerdil kita bila berdiri di sebelahnya.

Anda sudah sangat berani? Pernah melaungkan, kami boleh! kita boleh!? namun, sang singa jauh lebih berani dari kita, kerana baginya, saiz bukan halangan, sang gajah yang besar itu akan dia terkam jika dia mahu.

Jika terasa selera makan kita sangat baik. Tahu makan tidur sahaja. Rupanya si lembu dan rakan-rakannya jauh lebih berselera dari kita, kerana kerjanya hanya makan, makan dan makan, termasuk semasa tidur, mulutnya masih mampu mengunyah rumput.

Ada juga yang mendakwa sangat 'aktif', 'hebat', 'perkasa' di ranjang (maaf, bahasa dewasa, tapi untuk pengajaran, di akhir entri nanti). Rupanya si pipit yang kecil molek itu lagi kuat nafsunya. Hampir setiap minit dia mampu mengemudi kasih bersama pasangannya (nanti ramai pulak buat minyak pipit untuk buat rangsangan....)

Jadi, di mana hebatnya kita?
Rupanya, hebatnya manusia adalah pada ilmunya. Dengan ilmunya dan ilham dari Allah, manusia mencipta jentera yang jauh lebih berkuasa dari unta. Dengan ilmunya dan ilham dari Allah, manusia mampu mencipta alat yang boleh melemah longlaikan gajah yang sasa dan boleh menjinakkan sang singa yang perkasa.

Dengan hebat ilmunya manusia boleh makan sepuasnya dan masih boleh tidur lena, boleh 'aktif' bertenaga walaupun sudah lanjut usia. Dengan ilmunya dan ilham dari Allah jugalah manusia boleh menjadi berkuasa seperti raja. Jadi marilah kita berlumba-lumba mendahului tuntutan ilmu. Namun, dengan ilmu yang di timba, sepatutnya makin tunduklah manusia, sebetulnya.

Manakan tidak tunduk, semakin dalam pengajian ilmunya, manusia akan didedahkan dengan semakin banyak persoalan dan sepatutnya semakin tunduk menyedari akan Maha Tinggi ilmu Penciptanya Yang Maha Esa.

sumber: Ust Kamal Azhari, di lokasi tidak jauh dari kediaman kami

Namun sayang sungguh, ramai antara kita yang terbawa-bawa, dengan emosi dan nafsu. Bila sahaja ilmu terasa tebal dalam diri, mulalah mencemuh sana sini. Terlagak (ter - kerana mungkin tidak disengajakan) seperti semua orang lain tiada tandingannya. Semua yang lama, yang tidak sama dengan pendapatnya, akan dikira tidak terpakai, tidak kukuh dan perlu dihindari. Sesetengah antara kita seperti tidak tahu untuk berbeza pendapat, dan lebih menyedihkan, seperti cerdik pandai alim ulama terdahulu itu tidak hebat setanding dengannya. Ada yang mencemuh malah mengherdik kita yang masih belum ber'tajdid sepertinya. Melabelkan kita ketinggalan masa dan zaman kerana masih berpegang dengan nota tulisan tangan beralaskan kertas kuning-kekuningan. Kitab lama dikatakan....waduh hebat sungguh manusia akhir zaman...


Catatan Selanjutnya...

Friday, July 10, 2009

Friday talk.... dari minda pakar jiwa

Was on the busy side over these few days with some big meetings and ongoing assignments. However, the usual classes of Soul Cleaning continue and the number of new members are picking up. A prove that, at the end of the day, people with some conscious mind will choose a meaningful life rather than money.

Terbayang kata-kata seorang pak duktur pakar sakit minda yang pernah saya kenali dalam perjalanan satu masa dahulu, katanya ada saya note kan dalam hp. Bunyinya.. agak2 falsafah gitu..
  • Tilam yang empuk tu bisa dibeli uwang namun tidur yang lena dan tenang itu tiada upaya dibeli di mana-mana.
  • Ubat kepada sebarang yang sakit bisa di subscribsi pak duktur namun sembuhnya segala penyakit itu tiada daya akan dia melainkan Yang Maha Esa.
  • Kekayaan uwang jutaan ringgit dapat di cari kita, namun ketenangan dan kesempurnaan hakiki itu hanya datang dengan RahmatNya yang Maha Esa.

salam Jumaat buat semua... semoga terus tenang dan damai.


Catatan Selanjutnya...

Monday, July 06, 2009

Talak Express

Sesiapa yang ada terbaca Harian Metro Ahad 5/7/09 akan maklum berita berkenaan CERAI KILAT yang dilaporkan. Macam-macam berita dikhabarkan berkenaan kes penceraian yang meningkat di seluruh negara dan mendapat perhatian tak banyak pihak, mungkin kerana ada banyak lagi kes-kes sosial yang lain yang mendapat tempat di hati masyarakat seperti hal kematian Micheal Jackson, al- malklom yg ini dikira ikon, tapi masalah sosial dianggap hal peribadi.

Menarik perhatian saya untuk membaca terus berita cerai-berai ni kerana ada sebab2 yg tak munasabah dilaporkan seperti kes buat air tak cukup gula, suami lupa tarikh lahir, malahan ada isteri yang mohon cerai selepas tiga hari kahwin, dan hanya selepas dua tahun baru sang suami lepaskannya. Aduhai, sakit masyarakat nih, ramai2lah kita ambil iktibar dan ambil berat untuk menghadapinya. Dulu ada belajar bab2 cerai-berai dalam kelas Fiqh, cuma tak berapa tumpu perhatian, rasanya kena rujuk balik nota sebagai pedoman.

Peringatan Ust Dr Ahmad Zaki dulu, saya tulis dengan huruf besar, takut2 lupa. Katanya "Talak adalah perbuatan halal yang dimurkai Allah". Talak, iaitu perbuatan melepaskan ikatan perkahwinan adalah kata2 atau lafaz yang menunjukkan perceraian. Talak ini adalah satu perbuatan yang dibolehkan dalam syarak, tapi dimurkai dan tidak disukai Allah kerana ianya seperti memutuskan kasih sayang. Statement "kami tidak lagi sehaluan" biasanya diluahkan oleh pasangan masing2 bila ditanya pak imam atau pak kadi yang cuba menyelamatkan ikatan perkahwinan. Sekali terfikir juga, ada ke pasangan yang betul2 "sehaluan" sepanjang masa dalam tempoh perkahwinan? Tidak ke perbezaan di antara pasangan itu seperti satu hikmat kerana yang penting bukannya perbezaan pendapat kerana itulah fitrah manusia, tetapi yang sangat penting ialah proses kita menyelesaikan perbezaan itu yang memerlukan kesabaran, tawaddu', tolak ansur dan perasaan kasih sayang antara satu sama lain.

Nota bab-bab jenis2 talak, perselisihan Ulama' berkenaan talak (tiga) dengan satu kali lafaz, syarat2 talak dsbnya tidaklah saya notakan kerana notanya panjang berjela2 dan masa Ust Dr Zaki memberi kuliah itu saya rata2 dalam keadaan separuh tumpu, kerana mungkin tidak terbayang ianya priority (sekarang dah rasa bersalah), padahal ilmu itu kan sesuatu yang penting. Cuma satu bab je yang masih jelas terngiang-ngiang dalam fikiran, bila Ust Dr Zaki memberi peringatan oleh ulama hal tidak boleh mempermain-mainkan lafaz talak dan rujuk.

Katanya, "lafaz yang sharih itu tidak berkehendak kepada niat". Maksudnya, bila sang suami mengatakan kata itu kepada isterinya, walaupun dengan bermain-main, atau sengaja berolok-olok, maka jatuhlah talaknya ketika itu. Nah engkau!, ini amalan sangat bahaya!. Sabda Rasulullah dalam satu riwayat Abu Daud dan Tirmizi bermaksud;"

Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w, Baginda s.a.w bersabda, "tiga perkara, bila yang tiga itu disengaja benar, ia benar, dan kalau disengaja olok-olok, iapun benar, iaitu nikah, talak dan rujuk".

Adapun begitu, lafaz kinayah atau lafaz sindiran yang tidak dijelaskan untuk perceraian; spt kata2 "Engkau tiada hubungan lagi dengan aku", atau "pergi engkau dari sini, ke mana engkau sukai", atau "buat sementara waktu, biar kita berpisah dahulu", dalam lafaz kinayah ini talak hanya berlaku jika dengan niat ketika itu. Berkata pengarang kitab Al-I'anah," kalau seseorang menulis sharih talak spt "Engkau telah aku ceraikan", atau "kita sudah tiada hubungan apa2 lagi", dengan TIADA niat untuk menjatuhkan talak pada masa itu, maka tulisan itu kosong saja. Sama seperti hukumnya apabila kata-kata perpisahan itu hanya dalam hati tanpa lafaz. Waallahualam.
Ada lagi cebisan nota berkenaan talak taklik tetapi malang, nota penuhnya belum lagi saya jumpa... di mana agaknya tersorok,,, mungkin telah di simpan oleh pasangan saya tu kot....


Catatan Selanjutnya...

Friday, July 03, 2009

Kisah Nenek Tua - Akhirnya

Selepas beberapa hari, baru diberi kelapangan untuk meneruskan cerita dari seerah sahih Nabi s.a.w berkenaan kisah nenek tua zaman Nabi Musa a.s yang telah dimulakan beberapa hari lepas.

Apakah sebenarnya permintaan nenek ini dari Nabi Musa a.s. sehingga mendapat perhatian Baginda Nabi Muhammad s.a.w dalam kisahnya berdepan dengan lelaki Badwi yang menerimanya sebagai tamu? Kisah adalah seperti ini...

Nenek itu, dalam syaratnya untuk ditunjukkan lokasi makam Nabi Yusuf a.s kepada Nabi Musa a.s telah meminta Nabi Musa a.s untuk mendoakan agar dia (si nenek) menjadi teman Nabi Musa a.s di syurga nanti. Dengan keyakinan bahawa doa para nabi dan rasul akan Allah makbulkan, si nenek tersebut tidak meminta apa2 balasan dunia, kemewahan, kesenangan sementara, tetapi meminta balasan abadi iaitu syurga, dan menjadi teman kepada Nabi Musa a.s ti syurga tertinggi darejatnya.

Bezanya dengan lelaki Badwi yang meminta Nabi Muhammmad s.a.w mendoakan agar dia dikurniakan unta dan lembu iaitu balasan dunia yang sedikit dan sementara, hanya untuk memenuhi keperluannya di dunia.

Begitulah dengan sebahagian daripada kita, yang hanya mempunyai kemahuan tinggi kepada dunia tetapi kurang dan terlepas pandang kemahuan akhirat yang kekal. Lihat saja bilangan peminat2 setia masjid? Berapa kerat yang menjadi pengunjung setia solat Subuh? solat Isya'? Tetapi komitmen terhadap keperluan kerjaya sangat2 kita titik beratkan. Bagi yang tinggal di luar kawasan dan kerja dalam bandaraya, bukan ke ramai yang awal-awal pagi lagi sudah bangkit, siapkan diri dan bergegas ke tempat kerja, kerana mahu elakkan kesesakan traffic. Tidaklah salah malah sangat baik kerana berusaha tekun mencari rezeki halal. Tapi perhatikan di hari minggu? Pukul berapa kita bangkit? Kenapa tidak kita bangkit awal juga di hari minggu dan penuhkan saf subuh di masjid surau? Di manakah komitmen kita dengan tuntutan Allah?

Sandarkan diri di kerusi empuk dan tanyalah iman.... (khas untuk penulis). Salam Juma'at

berapa jauh boleh p dengan besi nih?


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, June 23, 2009

Cintakan Kedudukan dan Harta

Sesekali menyusur melalui Seksyen 7 Shah Alam, saya akan melalui kawasan lereng bukit yang ditepi2 jalannya dicambahi bangalow2 mewah, tersergam, gah tinggi disebalik pohon2 hijau yang rendang dijaga rapi oleh MBSA. Sesekali terpandang kalimah Bismillah terpampang di tembok batu sebagai tanda pemilik mahligai adalah saudara seagama saya. Bangga sungguh saya rasa, melihat saudara2 seagama berjaya mendirikan mahligai sebegitu mewah, besar, grandios.
Terdetik juga di fikiran, mampukan saya menahan perasaan (riya', besar, gah) sekiranya ditakdirkan satu hari nanti dapat juga mendirikan mahligai se-gah ini. Saya yakin, selagi nyawa dikandung jasad, setiap manusia akan diuji, dengan pelbagai ujian, ringan dan berat, kecil ataupun besar. Sesiapa yang diuji dengan cinta kedudukan, maka fikirannya akan terbatas pada kedudukan tersebut dan ingin terus menambahkan ketinggiannya, serta terus menguasai hari manusia lain. Hal ini memaksanya bersikap riya' dan munafik.

sekadar hiasan: ini photo rumah2 mewah (orang punya) masa lalu di Perth

Rasulullah s.a.w. menyamakan cinta harta dan kedudukan dengan dua ekor serigala buas dalam kandang kambing (ref: Mukhtasar Ihya' Ulumuddin). Baginda s.a.w bersabda; " Sesungguhnya ia menumbuhkan sifat munafik seperti air menumbuhkan tanaman". Ade ke cara nak menghindarkan atau mengurangkan perasaan ini? Jawabnya ada, iaitu ilmu dan amal...

Dalam satu hadis lagi, Rasulullah s.a.w bersabda;" teman-teman anak Adam ada tiga. Yang satu mengikutinya hingga dicabut nyawanya, yang kedua akan mengikutinya sehingga ke kuburnya, dan yang ketiga akan ikut sehingga hari berkumpul di Mahsyar. Yang pertama itu hartanya, yang kedua itu keluarganya dan yang ketiga, yang mengikutinya ke Mahsyar adalah amalnya".

Yang menjadi tujuan hidup orang-orang yang bijak akhirat adalah mencapai kebahagian abadi sedangkan harta adalah alat untuk berbekal dengannya agar kuat bertaqwa dan beribadah dan akan membelanjakannya ke jalan akhirat. Barangsiapa menggunakan harta untuk bermewah-mewahan atau untuk melakukan maksiat atau melepaskan nafsu, maka ia tergolong dalam golongan yang tercela.

Harta adalah umpama seekor ular yang mengandungi racun dan juga penawarnya. Faedah-faedah harta adalah seperti penawar bisa sedangkan bahayanya umpama bisanya. Sesiapa yang mengetahui dan mampu menghindarkan diri dari racun bisanya serta memanafaatkan penawarnya maka ia tergolong dalam orang2 terpuji. - Ihya' Ulumuddin


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, June 16, 2009

Kek Tanpa Lilin

Ingat ke bila kali terakhir anda meniup lilin bila sambut hari ulang tahun kelahiran? Tiap2 tahun tiup lilin? Betul ke? Dari mana asalnya tradisi ini? Pernah bertanya tak, kenapa kena tiup lilin? Bukankah bermain dengan api itu bahaya, dan kekadang jika anda bukan perokok, nak kena cari mancis atau lighter lah pulak, bukankah itu menyusahkan. Dan bila dah berlilin, nak kena regu dengan nyanyian lah pulak, tak kan tiup lilin dan diam je...? Dari mana sebenarnya tradisi memotong kek dan meniup lilin? Ada pulak meletak lilin mengikut jumlah umur yg disambut. Bayang kalau atok atau tokki berumur 72 tahun, nak kena letak 72 batang lilin ke? Dan kena ke si atok tu meniup 72 batang lilin tu?

Mungkin ada yang akan terasa kena 'kenen' tersindir dsbnya oleh tulisan saya ini. Alah2 tok sah lah terasa sangat dengan penulisan saya, tapi kalau terasa biarlah kerana kejahilan kita... Bukanlah ada niat untuk mengusik jiwa dan perasaan sesetengah ibu ayah yang sering kali sambut hari ulang tahun mengikut tradisi kaum tertentu. Untuk makluman, dek kerana ianya telah menjadi 'tradisi' masyarakat umum, si penulis pun tidak terkecuali, pernah juga meniup lilin atas kek hari ulang tahun, dan pernah juga menganjur acara meniup lilin atas kek untuk anak-anak. Di zaman jahiliyah dahulu... sebenarnya apa hukumnya meniup lilin di atas kek hari ulang tahun? Adakah kita hendak berterusan liberalkan Islam atau ingin berhijrah ke arah Islam Ad'Din dalam kehidupan. Ya Rabb, ampunlah dosa kami yang kering ilmu ini atas dosa-dosa amalan kami yang terdahulu...

macamni kot rajuk dia bila kek b'day tak berlilin....

Mengikut penerangan Ustaz-Ustaz yang ditanya, termasuk Ust Azhar yang menerangkan bahawa tradisi meniup lilin atas kek semasa menyambut hari ulang tahun kelahiran adalah haram hukumnya mengikut pendapat ijma' ulama, kerana perbuatan ini adalah bukan dari amalan Islam, dan tiada sebarang kebaikkan dari perbuatan tersebut. Adapun perbuatan2 yang tradisinya bukan dari Islam tetapi untuk kebaikkan dan tidak melanggar hukum syarak seperti hukum memakai seluar (yg katanya direka oleh bukan orang Islam), atau hukum menggunakan telephone bimbit (yg bukan juga direka oleh orang Islam) tidaklah sama dengan haramnya hukum meniup lilin atas kek hari ulang tahun kelahiran yg tiadalah apa2 kebaikkannya. Waallahualam


Catatan Selanjutnya...

Saturday, June 13, 2009

Manusia Kejam dan Harimau Buas

Seorang lelaki (seorang bekas suami dan juga bapa) ditangkap kerana disyaki mengelar dan membunuh isterinya (11/6/09) di hadapan 5 orang anaknya di satu kawasan di Taman Andalas, Klang - BH 12/6/09. Beliau yang juga seorang bekas kontraktor juga telah bertindak menikam bertubi2 isterinya dan kemudian turut cuba untuk membakar 3 orang dari 5 anaknya. Walaupun mereka ini bukan beragama Islam (dari nama yang dilaporkan), namum mereka tetap manusia, yang masih ada fitrah dalam diri, tapi sampai ke tahap inilah manusia sekarang, tiada belas kasihan.

Membaca berita ini teringat cerita kampung yang dialami penulis sendiri semasa di zaman 80-an (penulis masa itu dalam zaman kanak2 dewasa). Kisahnya mengenai jiran belakang rumah yang ada seorang anak lelaki ketika itu berumur lewat 20-an (cerita hanya sekadar untuk pengajaran, tiada niat nak mengaibkan sesiapa).

Anak lelaki jiran belakang rumah ayah seorang pengangur berdiploma (mangsa krisis ekonomi 80-an). Hidupnya ditanggung ibunya yang agak berada ketika itu. Suatu hari, semasa Mat ni tengah tinggi 'high' melayan 'syok kemaruknya' dia telah bertengkar dengan ibunya yang baru sudah mandi pagi, lalu si Mat ni dengan tidak semena-mena mengejar ibunya keluar rumah dan menghayun pisau potong ikan (yg mata besar tu) lalu pisau hinggap ke leher ibunya. Nasib baik sungguh, kerana baru selesai mandi, masih ada kain basahan di kepala disanggulkan dan di lilit di leher. Walaupun kuat hayunan si Mat yang memang tengah 'tinggi highnya' tu, luka tetakan cuma sedikit namun ibunya rebah ke bumi kerana terkejut. Saya pada masa itu tercengang berada di 'lambor' (veranda) rumah dan menyaksikan setiap detik kejadian cemas itu. Oleh sebab itulah saya telah dijadikan saksi utama oleh polis dan pegawai penyiasat. Itulah pengalaman pertama dan terakhir menaiki kereta polis (tapi duduk depan) dan dibawa ke balai untuk memberi keterangan sambil diberi roti canai telur dan air teh 'O' panas.

Si Mat tu saya tidak tahu apa jadi dengan dia selepas dihantar ke pusat Serenti. Namun ibunya terus trauma selepas itu dan meninggal dunia tak lama kemudian. Dan saya telah ke luar negara menyahut cabaran pendidikan sejurus kemudian.

Kesimpulannya: Semasa kita marah, syaitan akan menguasai diri dan yang waras akan hilang dan yang buas akan mencengkam. Itulah keburukan marah yang berkobar-kobar, serta kebaikkan menahan diri dari sifat2 marah tersebut. Hakikatnya manusia diberi sifat marah untuk membela diri dan ini timbul dari kekuatan yang timbul dari batin manusia. Saidina Ali r.a pernah berkata; "Nabi s.a.w tidak marah kerana urusan duniawi" tetapi apabila Baginda s.a.w marah kerana membela kebenaran, tidak seorangpun mengenalnya, dan tidak ada yg dapat menahan kemarahannya hingga Baginda s.a.w menenangkannya. (Mukhtashar Ihya Ulumuddin).

Apabila waktu marah, Rasulullah s.a.w berpesan untuk kita ucapkan " Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang terkutuk" dan Baginda s.a.w pernah bersabda; "Sesungguhnya amarah itu bagaikan bara yang menyala di dalam hati. Tidaklah kalian melihat pipinya yang membengkak dan kedua matanya yang merah. Maka apabila seseorang dari kamu mengalami hal itu dan ia berdiri, hendaklah ia duduk. Jika ia sedang duduk, hendaklah ia baring. Jika masih tetap begitu, maka berwuduklah dengan air dingin atau mandilah, kerana api itu hanya dapat dipadamkan oleh air".


Catatan Selanjutnya...

Friday, June 12, 2009

Tempat orang bermandi darah, tempat kita sunyi sepi

Mungkin ada yang membaca berita mengenai peristiwa berdarah di mana 11 jemaah masjid Al Furqan di Cho Airong, Selatan Thai yang sedang solat Isyak pada malam Isnin 8/6/09 lalu terkorban syahid ditembak dengan kejam dari belakang semasa sedang bersolat. Antara syuhadah termasuklah pak imamnya Allahyarham Wan Abdullah Wan Latif 62 thn. Berita lanjut boleh dibaca di sini.

Alhamdulillah, betapa aman dan bertuahnya kita di bumi Malaya ini, paling risau pun semasa solat ialah kalau-kalau kasut/sandal/selipar dicuri orang. Ada juga yang risau kot-kot motor/helmet/kereta dicungkil mat-mat yang saje2 cari kerje kosong, atau cuba2 nak isi bilik lokap kosong.

Keamanan juga menyebabkan kita alpa, berterusan mengosongkan masjid dan surau, terus membiarkan majlis-majlis ilmu berterusan sunyi murung, saudara2 seagama kita di selatan Thai berterusan dihimpit ancaman pihak2 yg tidak berperikemanusiaan. Yang berterusan memporak perandakan keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kepercayaan. Yang peliknya siasatan oleh pihak yang berkuasa sering kali ke jalan buntu bila yang menjadi mangsa itu saudara seagamaku... logiklah kalau masyarakat Islam di sana hidup dengan penuh rasa curiga kepada mereka yang memegang senjata meronda kampung halaman mereka.

Ada juga keadaan di tempat kita di mana jemaah memilih bulu untuk majlis ilmu. Sekiranya Ustaz yang datang itu mengajar mengikut rentak dan samba golongan tertentu, maka berdoyong-doyong mereka dari kalangan tertentu datang dari jauh dan dekat. Akan tetapi jika yang datang itu Ustaz yang lantang menentang pendekatan sesetengah golongan, maka yang tinggal semasa majlis ilmu hanyalah beberapa kerat qariah, ahli 'regular' atau mungkin beberapa ahli jawatankuasa masjid surau yang agak segan untuk angkat kaki kerana merekalah yang menjemput si Ustaz itu datang. Pelik tapi benar,,,padahal menuntut ilmu (ilmu fardhu ain) itu adalah wajib kepada setiap umat Islam.

Pernah bersyair Muhammad Ibnu Al-Hasan bin Abdullah (yg telah dialih bahasakan);
" Dan jadikan olehmu akan diri kamu itu menuntuti faham dan menuntuti faedah dan bertambah-tambahnya dari ilmu pada tiap-tiap hari. Jangan lupa daripadanya satu hari jua pun.

"Dan bersungguh-sungguh olehmu pada menuntuti akan segala faedah-faedahnya dan manafa'at-manafa'atnya yang amat banyak itu, seperti bersungguh-sungguh kamu pada berenang di dalam laut yang amat dalam dan luas, kerana bahawasanya faedah-faedah dari itu amat banyak sehingga tiada kuasa menghabisi akan dia oleh anak Adam"...
Risalah Al-Al'alamah Asy'Sheikh Burhanuddin Az Zarnurji.

Salam Jumaat dan selamat menuntut ilmu kepada semua.


Catatan Selanjutnya...

Sunday, June 07, 2009

Marah Tahap Gaban

Dalam menghabiskan minggu pertama cuti sekolah bulan Jun ni tiada kesempatan untuk saya penuhi beberapa permintaan putera2 tercinta yang sebahagiannya tidak berpuas hati untuk hanya bersantai lapang masa dengan ibunda mereka di rumah sementara ayahnya (saya lah tu) sibuk ke sana ke mari menyelesaikan tuntutan negara. Saya sudah aturkan minggu ke dua untuk bercuti-cuti M'sia insyaAllah, tapi biasalah mereka ni mana boleh tahan sabar banyak-banyak.
Apa sebabnya anak2 sekarang ini kurang sabarnya? Kenapa tabiat marah ini kekadang menguasai mereka dan juga menguasai kita? Suka saya rujuk kepada petikan kitab Pendidikan Anak-Anak Islam (Abdullah Nasih Ulwan); katanya, sebelum mencari ubat untuk kemarahan itu adalah perlu untuk memahami sebab2 kemarahan dan sesuaikan ubat dengan sebabnya. Betul sekali kata2 ini, tapi macamana nak tahu sebabnya?

1. Jika marah itu bersumberkan dari kelaparan (memang tabi'i manusia akan marah2 bila kosong perutnya), maka kenalah kita isi perut2 itu dengan isi yang sesuai (yang halal, bukan yang dari sumber haram, dan bukan yang ada logo halal ala-ala kadar itu). Sebabnya, mencuaikan pemakanan anak2 dan membiarkannya kosong boleh memudaratkan mereka dan membuatkan mereka memberontak.

2. Jika kemarahan dan pemberontakan anak2 berpunca dari penyakit, maka wajiblah kita berusaha mencari penyembuhnya. Tiap-tiap penyakit itu ada ubatnya, dan apabila penyakit terkena ubatnya, baiklah pengidapnya dengan izin Allah SWT.

3. Jika sekiranya marah mereka kerana dimarahi dengan tidak semena-mena, maka kita hendaklah berusaha untuk menahan lidah dari kata-kata memalukan mereka, supaya tidak terlekat pada jiwa mereka perasaan marah dendam benci itu. Tuntutan syarak dalam pendidikan yang baik adalah dengan beradab, dan berterusan memperbaiki adabnya.

4. Jika kemarahan itu berpunca dari percakapan si anak kepada kedua ibu bapanya dengan tabiat marah, maka wajiblah kedua ibu-bapanya memberikan pendidikan dengan contoh tauladan yang baik dalam sifat lemah lembut, sopan santun, menahan diri dari marah. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran 134 yang bermaksud;
"Yang suka menahan marah, dan yang memaafkan kepada manusia, dan Allah suka kepada orang-orang yang berbuat baik"

Dan Nabi s.a.w juga pernah bersabda "orang yang gagah itu ialah orang yang dapat menahan dirinya pada waktu marah"

5. Jika marah itu berasal dari si anak, iaitu kemanjaan yang melulu dan kemewahan yang melampau, maka wajiblah para ibu bapa bersifat sederhana dalam mencintai anak-anak, dan hendaklah mereka bersifat natural dalam membelas kasihan anak-anak, berbelanja ke atas mereka.
Saidina Ali Abu Talib k.w pernah berkata
"Kasihilah kekasihmu itu berpada pada, mana tahu dia menjadi orang yang engkau benci suatu masa. Dan bencilah orang yang engkau benci itu berpada-pada, mana tahu dia akan menjadi orang yang engkau kasihi suatu masa"

semasa n3 dibuat, mereka sedang happy main air tahan gaban

6. Jika kemarahan itu datang dari kesan ejekan, mengata nista, memanggil dengan gelaran yang jijik, maka wajiblah ibu bapa menjauhi sebab-musabab sebegini yang menimbulkan kemarahan anak2 itu, supaya tidak tertunas pada dirinya tabiat marah.

Kesimpulannya: (1)Bila time anak2 bercuti sekolah, cuba2lah mencari ruang untuk bercuti sama dan meluangkan masa bersama mereka, jangan dibiarkan sangat mereka melayan lamuan mereka dengan perkara2 yang kurang berfaedah itu. (2) Pendidikan mengikut cara syarak sangat2 halus dan menyeluruh, cuma si ibu dan bapa sahaja yang perlu mencari ilmu untuk mentarbiahkan anak2 yang dilahirkan suci bersih itu. InsyaAllah n3 ini akan disambung mengenai penyembuhan penyakit2 marah ini menurut syarak seperti yang dicatatkan dalam kitab Abdullah Nasih Ulwan ini.


Catatan Selanjutnya...

Friday, June 05, 2009

Rediscovery Diri Siri #6 - Kikis Sifat Kikir

Salam Jumaat buat diri dan sesiapa yang terbaca nota ini. Saya sambung catatan Rediscovery Diri yang dimulakan sekian masa dahulu dalam mencari Cinta Abadi. Kali ini berkenaan sikap saya terhadap tuntutan 'memberi', 'menghulurkan'. Bukanlah niat untuk membuka pekung di dada, tetapi melihat dari mana saya datang beberapa ketika dahulu, memang sifat cinta dunia dan cinta harta dunia itu menebal dalam diri (... dahulunya cita-cita adalah untuk ada nilai harta tujuh angka sebelum mencapai umur 40-an). Lantas sekarang sepertinya berperang dengan emosi diri melawan sikap cinta dunia yang sebetulnya menggunung bab gunung Kinabalu ini.

Bila disemak dalam kitab Ihya Ulumuddin karya ulung Imam Al-Ghazali, dinyatakan yang cinta harta itu sendiri ada dua sebab;

Pertama: kesukaan bersenang-senang (ialah, siapa diantara kita yang mampu untuk tidak mahu bersenang-senang?). Kerana kecintaan untuk bersenang-senang, maka tidak tercapai kecintaan itu jika tidak dengan harta dan disertai pula dengan angan-angan. Barangkali anak-anak pula dijanjikan bayangan kesenangan sehingga panjang angan-angan menyebabkan kita mengumpulkan harta demi anak-anak...

Nabi s.a.w pernah bersabda yang maksudnya " anak-anak itu menyebabkan sifat kikir dan sifat pengecut serta kebodohan." (rujuk Mukhtasar Ihya' Ulumuddin - Zaid Husein al Hamid)

Kedua: Bila kita mencintai harta sedangkan kita sudah mengetahui bahawa kita tidaklah memerlukan kesemuanya dikala hari tua (jika umur sepanjang itu), kecintaan harta ini seperti satu penyakit kronik dalam hati hanya untuk dicapai sebagai tujuan, bukanlah memilikinya yang diutamakan tetapi perasaan untuk memiliki itu lebih utama. Semoga Allah melindungi kita dari penyakit kronik ini.

sekadar gambar hiasan: bukanlah kehidupan sebegini yang saya perjuangkan

Menurut kitab Mukhtasar Ihya' Ulumuddin, untuk mengatasi sifat kikir, satu caranya ialah dengan mengurangi nafsu terhadap keduniaan serta keinginan untuk itu dan ini, banyak mengingati mati, merenung kematian teman-teman, menziarahi kubur, termasuk memikirkan cacing-cacing yang ada di dalam kubur itu. Perhatian terhadap peinginan untuk anak diatasi dengan menyedari bahawa Penciptanya mengurniakan rezeki bersama anak itu. Ramai anak yang mewarisi sedang itu bukan rezekinya, dan ramai pula anak yang tidak mewarisi, padahal Allah SWT mengurniakannya harta yang banyak selepas itu. Jika anak itu seorang yang soleh, maka Allah SWT akan memimpin orang-orang soleh. Tetapi jika anak itu orang yang fasik, maka ia akan menggunakan harta dunia yang ditinggalkan untuk jalan yang bathil.

Pernah saya ditanya rakan samada saya sanggup menyerahkan segala apa yang ada dari harta dunia kepada orang yang lebih memerlukan dan meneruskan kehidupan dengan seadanya ala-ala kadar sahaja, saya tidak mampu menjawab di mulut, tapi di hati saya pantas menjawab mana mungkin!.... jauh lagi rupanya apa yang saya impikan dari apa yang sebenarnya ada di dalam hati... semoga Allah terus memberi saya kekuatan untuk berjihad ke jalan yang perintahkannya, dan semoga saya menjadi lebih ringan hati untuk memberi...amin


Catatan Selanjutnya...

Thursday, June 04, 2009

B2B Nota : Hal - Hal Solat

Menyambung kembali siri Back-to-Basic (B2B) dalam kehidupan harian, kali ini bab-bab solat yang sempat saya catat dari kuliah mingguan dengan Pak Imam Masjid di kampung perumahanku, Ust Yaakob (aka Guru Tajwid, tempat soal jawab hal-hal rumah tanggan, dan pakar tukang masak kari kambing malam Jumaat :-) ).

Kepada kalian yang sudah mahir, arif dalam hal-hal solat mungkin catatan ini tiadalah sebarang perkara baru, tetapi pada pemerhatian saya banyak yang dicatatkan ini dilakukan oleh ramai tak kira orang tua, remaja dan kanak-kanak, baik lelaki atau perempuan. Tidak lah pula saya mahu catatkan hal-hal syarat wajib, syarat sah mahupun rukun solat yang sudah kita pelajari semasa di kelas Fardhu ain dulu, tetapi perkara-perkara yang boleh membatalkan solat kita, yang jika diperhatikan ramai yang terbuat yang demikian.

Diantaranya, adalah disyaratkan membaca takbiratulihram DAN segala bacaan rukun yang lain di dalam solat secara didengari oleh telinga sendiri dan dalam suasana yang tidak bising. Maka jika disebutnya dengan perlahan secara kumat-kamit bibir macam orang berbisik nescaya tidak memadai... cuba perhatikan sekalian ramai yang bersolat jemaah, datang terus angkat tangan, qiam dengan sunyi sepi lantas ruku'...

Juga bacaan Al-Fatihah, tidaklah boleh diselang-selangkan ayatnya dengan bacaan yang lain seperti mengucap Alhamdulillah ketika terbersin kecuali bacaan Amin kerana bacaan Al-Fatihah imamnya, yang perlu dibaca berturut selepas imam dan tidak diselang dengan diam yang lama.

Demikian juga dengan berdehem-ehem-ehem, atau menangis, atau menghembus nafas melalui mulut atau hidung sekira-kira berbunyi dua huruf maka batallah solatnya, kecuali ada yang sakit maka tiadalah batalnya. Mengikut kitab Idaman Penuntut tulisan Hj Abdul Ghani Hj Yahya 1983, jika bercakap dengan tidak tersengaja umpama terlupa akan dirinya sedang solat atau tidak tahu akan hukum hakamnya dan percakapanya sedikit tidak melebihi 6 perkataan maka tiadalah batal solatnya. Tapi bila kita berjemaah, terutama Subuh, berapa ramai yang asyik-asyik ehem-ehem meng'clear'kan kerongkong berjelebu waktu pagi. Diperhatikan bahawa ada seorang muslimah ini tidak akan lupa untuk berdehem-ehem setiap pagi semasa solat subuh, sehinggakan para muslimin tahu akan hadirnya dia...

Begitu juga dengan perbuatan mengerakkan anggota-anggota besar seperti tangan, terutama untuk menggaru-garu kepala, belakang, tengkuk dsbnya, berulang-ulang tiga-kali juga membatalkan solat seseorang. Adapun perbuatan yang banyak semasa bersolat di atas belakang kuda (atau unta), dalam kenderaan, dalam kapal terbang dsbnya adalah dimaafkan.

Begitu juga apabila terbuka aurat yang termaklum dalam solat jika dibuka dengan sengaja atau tersalah buka sekalipun oleh kanak-kanak yang belum mumaiz dan sekalipun ditutup dengan segera. Adapun terbuka aurat disebabkan tiupan angin (maklum sekarang musim panas, ada yang solat dengan pintu terbuka) dan ditutup dengan segera pada kadar jangka tumakninah, dan tidak berulang-ulang, maka tiada batal solatnya.

Demikian juga, batal solat seseorang itu jika berubah niatnya spt niat keluar dari solat atau berbelah bagi hendak keluar atau terus solat seperti bila telepon berdering atau door-bell ditekan. Katakan terdetik dalam hati, jika h/p bunyi aku akan berhenti sembahyang, maka batallah solatnya sekalipun h/p tidak berdering semasa solatnya... Nak selamat, bila solat, h/phone tiadalah dalam poket atau paling tidak letaklah silent mode tanpa bergetar...

Seterusnya (tapi ini jarang-jarang berlaku), batal solat seseorang jika niat hendak tukar spt solat zuhur dengan sengaja hendak ditukar niatnya menjadi asar (pelik tapi mungkin berlaku), KECUALI jika solat fardhu hendak ditukar kepada solat sunat mutlak dengan sebab hendak solat berjemaah yang akan didirikan (tengah2 solat zuhur sorang2 tetiba ada orang baru nak mulakan solat jemaah), maka ia boleh potong solatnya tadi menjadi dua rakaat dengan diniatkan solat sunat dan beri salam. Dan dia sertai jemaah baru untuk solat berjemaah, inilah yang lebih baik sekiranya masa masih lapang lagi.

Kerap juga ditanya berkenaan makan makanan yang terlekat celah2 gigi. Adalah batal solat seseorang jika ia makan meskipun makanan yang lekat celah2 gigi seperti biji bijan atau gula pasir, digigit dan ditelan dengan sengaja, termasuk juga menelan KAHAK melainkan kerana jahil akan haramnya atau terlupa. Inilah faedahnya sunat yang dituntut untuk bersugi, bersuci, gosok gigi sebelum solat...

Dan yang terakhir, yang biasa diperhatikan, dilakukan oleh sesetengah ahli jemaah yang bersolat jemaah, mereka yang memanjangkan rukun yang pendek dengan sengaja sehingga makmum ketinggalan dari pak imam sampai habis dua rukun. Bila imam sudah hampir hendak turun sujud, si makmum masih belum rukuk... Waallahualam


Catatan Selanjutnya...

Wednesday, June 03, 2009

Hati ANDA Bahagia?

Saya terima nota ini dari seorang kawan yang rajin sekali mengirim kata2 peringatan dan kongsi pendapat. Izinkan dikongsi di sini sebagai renungan bersama. Kali ini kirimannya berkenaan Hati yang Tiada Bahagia di dalamnya. Menurutnya, di antara 9 SEBAB HATI MENJADI TIADA BAHAGIA ...
1. Pemarah paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan yang baik dan hati tentunya tidak tenang.

2. Pendendam tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Mungkin atas sebab ini lah orang pendendam mudah kena sakit jantung.

3. Hasad dengki - amalannya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ini adalah sifat ketuhanan dan bukan sifat hamba yang diciptakan.

4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat etc dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada cukup wang sedangkan rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama dengan memperbanyakkan sedekah. Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui maknusia

5. Tamak orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut...walau banyak mana yg diminum tetap tak habis juga dan tidak juga hilang rasa dahaganya. Sebagai peringatan, yang dikatakan harta atau rezeki kita ialah apabila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita kerana mungkin ada hak orang lain di situ. Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

6. Tidak sabar andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar.
7. Ego - inilah yang menjadi ibu kepada segala mazmummah dan mendorong seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.

8. Riak terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. -Allah marah kalau kita riak..takabbur dgn aper yg kita ada..

9. Cinta dunia - bila tidak dapat ia menderita, ...dan apabila ia dapat pun menderita kerana susah pula untuk menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. Dunia itu "panas" kerana ianya merupakan barang buruan yang ramai dan rebutan sekalian manusia. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.
Kesimpulan:-
Makin tinggi dan tebal mazmummah diri, maka semakin hilang BAHAGIA dalam diri. Berperang dengan tentera mazmummah ini adalah sesuatu yang dilakukan secara berperingkat-peringkat dan istiqamah. Mudah-mudahan penyakit2 hati ini akan dapat diubati dengan izin Allah. Banyak kelas-kelas pengajian oleh guru-guru bertauliah menggunakan kitab-kitab ulung spt Ihya' Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali, boleh di ikuti sebagai usaha berterusan mengubati hati yang memang lama sakit.


Catatan Selanjutnya...

Friday, May 29, 2009

Meninggal Dunia ke Pulang Ke Alam Barzakh?

Memang kebanyakkan manusia akhir zaman (may be semuanya) sayangkan dunia dan takut mati. Begitulah pesan Baginda Nabi s.a.w dalam Hadis, yang biasa para Ustaz sebut, rujuk dan buat peringatan bila berbicara pasal kehidupan dunia akhir zaman.

Dari sudut bahasa Melayu pun, bila seseorang itu menghembuskan nafas terakhirnya di dunia, mereka dirujuk sebagai Meninggal Dunia. Padahalnya, mereka hanyalah pindah dunia, dari dunia alam bumi ke dunia alam barzakh. Banyak beza rupa2 bila kita ubah sedikit cara pemikiran, dari pendekatan meninggal dunia dan pindah ke alam Barzakh

Bila kita berfikiran bahawa mati itu adalah 'meninggalkan' dunia, semestinya kita akan rasa berat untuk meninggalkannya. Memikirkan yg kita akan 'meninggalkan' akan dunia ini akan menjurus utk kita lebih sayang pada kehidupan dunia, memeluk lebih erat apa yg dikecapi semasa hidup di dunia dan lagi takut untuk mati.

Jika pemikiran diubah kepada berpindah ke alam barzakh, memikirkan 'perpindahan' itu akan menjurus kita untuk lebih berfikir tentang apa yg hendak dibawa bersama semasa 'berpindah' itu. Barulah kita akan kalut menyediakan bekalan secukupnya dan berterus akan memikirkan mengenai kecukupan bekalan di alam yg akan dituju itu.

Diriwayatkan bahawa berkata Rasulullah s.a.w kepada Abu Zar: wahai Abu Zar! sesungguhnya dunia ini adalah penjara bagi orang Mu'min, sedang kubur itu tempat rihatnya, dan syurga itu tempat tinggalnya. Wahai Abu Zar! sesungguhnya dunia ini adalah syurga bagi orang kafir, sedang kubur tempat siksaannya dan neraka tempat tinggalnya.

Pernah juga diriwayatkan Saidina Ali k.w berkata bahawa apabila seorang Mu'min itu mati, maka tempat sembahyangnya yg di bumi akan menangisinya, dan Malaikat yg membawa amalannya ke langit juga turut menangisinya..

Tapi hakikatnya, penulis sendiri masih belum sampai ke peringkat tidak sayang dunia dan tidak takut mati. Malah rasa sayang pada dunia fana' ni masih tebal, penuh dengan cita-cita (dan angan-angan), dan sangat takut untuk mati, cuma redha' dengan apa2 jua Caturan Allah, kerana Dia lah yang Maha Mengetahui apa yg baik untuk hambaNya.


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, May 26, 2009

B2B Notes - bacaan Qunut

Semalam, guru ilmu Hadits membuat satu wake-up call untuk semua dengan bertanya soalan yg agak2 basic tapi dengan kezutan kerana soalan didatangi tanpa amaran. Soalannya amat mudah namun, kerana ketidak pekaan kita kepada perkara2 basic, maka ramailah kalangan penuntut yg tunduk tersipu2 malu, mengalahkan anak dara sunti bila dipinang anak penghulu, tunduk sipu2.
Soalannya,,,, sekarang ini kita dalam bulan apa dalam kalendar Hijrah? Selepas bulan ini bulan apa pula? dan bila bulan kewafatan Baginda Nabi s.a.w? Aduhai..... ramai yg terpinga2, bila diajukan soalan2 sebegini. Cuba tanya soalan yg complex sikit spt bulan berapa Hari Ibu, Hari Kekasih, Hari Karnival Beli Belah ke... ish ish ish Ustaz nih!....

Selepas semalaman berfikir mengenai perkara soalan basic tadi, maka terpanggil saya untuk membuat catatan siri baru dicatatkan sebagai B2B Notes (atau Back To Basic Notes) untuk peringatan diri mengenai perkara2 simple yg saya ambil mudah, spt tak berapa penting walhal ianya spt pelengkap amalan harian,,, i.e makna2 bacaan dalam solat, surah2 lazim dan maknanya, perkara2 yg biasa terbuat yg boleh membatalkan solat, perkara2 sunat yg ditinggalkan dalam solat, amalan2 kecil tetapi sgt bermakna dalam perhubungan sesama manusia etc..


Saya nak mulakan dgn B2B Note - makna bacaan Qunut. Sudah tentu ramai yg sudah arif, masak dgn bacaan Qunut (biarlah ada sesetengah golongan yg anggap bacaan Qunut tiada dalam amalan solat cara Nabi s.a.w - kita tetap dgn amalan mengikut mazhab Imam As-Syafi'i). Saya kekadang tidak teringat makna doa Qunut yg dibaca setiap pagi dalam solat subuh, jadi ada baiknya untuk diri sendiri agar saya notakan makna doa Qunut di sini;
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.


Catatan Selanjutnya...

Sunday, May 24, 2009

Bertuahlah engkau..Mat

Lama saya tak mencatatkan di sini, dek kerana kepadatan waktu untuk memenuhi tuntutan duniawi dan akhirat.

Semasa sibuk mencari bekalan akhirat, saya berkesempatan bertemu sekalian teman baru dan juga bertemu semula teman2 lama. Termasuklah bertemu semula teman sekerja semasa di zaman jahiliyah dahulu. Namanya Mat T. Dahulunya dia seorang general worker di tempat kerja yg sama dgn saya, yang dikala itu kononnya seorang perunding operasi (operation consultant), dilantik bagi menjana puluhan juta pounds penjimatan utk syarikat tersebut. Produk yg dikilangkan adalah sesuatu yg tidaklah berapa jelas hukumnya bagi sesetengah golongan.


Saya teringat kisah silam, suatu hari Abg Mat T ni pernah bertanya kpd saya mengenai sumber pendapatan kami. Dan dia memberitahu yg dia saban hari berdoa kpd Allah agar diberi rezeki untuk kerja di tpt lain yg lebih jelas, clear, bersih sumbernya. Aduhai, terketuk dibenak masa tu, seorang yg hanya lepasan sekolah menengah membicarakan berkenaan dgn 'kebersihan' sumber sedangkan saya sedang hanyut dengan gaji besar, kereta besar, office besar dan glamour bekerja dgn syarikat multi-million pounds. Maka kami sama2 pasang doa agar cepat2 diberikan jalan lain dalam mencari pendapatan.
Sekarang, selepas 6thn masa berlalu, saya telah lama meninggalkan kerja2 yg tak jelas sumbernya, dan si Mat T, masyaAllah, dia sekarang jauh lebih mulia kerjanya dari saya. Rupanya, dia telah diberhentikan oleh kilang itu tidak lama selepas saya berhenti, dan semenjak itu dia telah berjaya meningkatkan dirinya menjadi seorang.... muazzim, yup! tukang azan di satu masjid di kawasan Puchong. SubhanaAllah, bertuahnya dia, walaupun kerja yg dipandang enteng di mata masyarakat dunia, namun, di kalangan para Malaikat, suara azannya akan sentiasa disambut dengan doa2 dan mendapat jaminan perlindungan di Mahsyar nanti bilamana matahari spt sejengkal jaraknya dari kepala.
Mat T masih spt dahulu, peramah dan sentiasa beranggapan yg saya ni 'org muda yg ada pelajaran tinggi' katanya. Tak habis2 dipuji kerja saya sekarang, kereta yg saya pandu, dan rumah yg saya diami. Katanya, dia hanya bermotosikal, tinggal di rumah peninggalan arwah bapa di Puchong. Saya bagitahu dia, segala yg saya ada i.e rumah dan kereta, semuanya dengan pembiayaan bank, hutang..... dan tidak dapat lari dari tempias riba walaupun sedikit. Sedangkan dia yg tidak ada hutang kereta & rumah lebih baik posisinya dalam syarak. Betuahlah engkau Mat!


Catatan Selanjutnya...

Wednesday, May 20, 2009

Usahawan Taqwa

Lama tak berpeluang untuk tambahkan nota di sini. Perkara biasa sentiasa menguasai masa, kita hanya mampu merancang, DIA yang MahaMengetahui yg terbaik untuk HambaNya.
Terpaut untuk catatkan sedikit nota berkenaan Usahawan, al-maklum sekarang ni banyak sungguh jemputan2 oleh pihak2 yg berkenaan untuk saya menjadi usahawan sepenuh masa, tinggalkan dunia kejuruteraan makan gaji dan tumpukan sepenuh masa kepada usaha menjadi usahawan usahawang usahadapatwang dsbnya... soalan timbul dalam benak, macamana ciri2 usahawan bertaqwa? Maka dapatlah sikit2 catatan, yang tidaklah lengkap, tapi cukup untuk memulakan satu siri nota baru dalam menjadikan kehidupan seharian sebagai usaha berterusan mencari Cinta Abadi.
Rujukan asalnya adalah dari surah Al Mulk, ayat 15 yang bermaksud;
Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).
Dan dari catatan Sheikh Al Maqari Hj Othman Hamzah yg menyenaraikan ciri2 Insan Taqwa dalam keusahawanan spt berikut;
  1. Bekerja dalam bidang yg baik dan menjauhkan perkara2 yang haram dan keji (jadi tak lah kerja jadi pengisi gelas2 kencing syaitan dipremis2 yg sentiasa samar2 je lampu nya)
  2. Menjauhkan Muamalat Ribawiyah sehingga termasuk ke dalam golongan org2 yg memerangi Allah (kan sistem Islam dah mula ada..)
  3. Memelihara dan melazimi Awlawiyah (keutamaan) Islamiyah tanpa bermegah2 dan takabbur.
  4. Menjauhi bermuamalah dengan musuh2 Islam (apa dah jadi agaknya dgn kempen boikot Israel tempoh hari?)
  5. Beriman dgn yakin bahawa harta itu ini adalah milik Allah.
  6. Memelihara dan mengembangkan harta dgn jalan halal dan pada haknya.
  7. Melazimi akhlak yg baik, spt benar dan amanah bersih dari rasuah...
  8. Memperbanyakkan istighfar dan ucapan syukur
  9. Mengimani bahawa Allah akan melebihkan sesetengah manusia atas yg lain dalam hal rezeki.
  10. Bersederhana dalam berbelanja... (bila ada banyak, selalulah lihat2 pada mereka yg kurang)
  11. Zakat, kewajibannya adalah tuntutan syarak dan bukan mengikut selera sendiri.
Yusuf Qardhawi juga pernah berpesan dalam hal keusahawanan ini,,, 7 perkara yg dia pesan
  • Betulkan niat
  • Mendirikan fardhu kifayah (bersedekah atas jalan agama)
  • Mementingkan pasaran
  • Sentiasa ingat Allah
  • Qonaah (rasa cukup) dan memadai
  • Mengelakkan perkara2 yg syubhat
  • Menjaga hati (jiwa)

Kesimpulannya: Kepada yg dah bergelar usahawan, jadikanlah diri sebagai usahawan bertaqwa dan teruskan niat murni kalian. Kepada saya yang baru nak menapak, moga2 berkekalan dengan niat untuk mengembangkan ekonomi Islam, semoga usaha kecil kita mendapat RahmatNya dan diterima sebagai amal seorang hamba. Yg penting niat dan istiqamah serta 'a clear mind'.



Catatan Selanjutnya...

Friday, May 08, 2009

Catatan di Malam Jumaat

Seringkali setiap malam Jumaat, akan kedengaran suara soksek2 sumbang apabila Imam masjid menjemput qariah mengisi masa antara Maghrib dan Isya' dengan membaca Yassin, takkala penceramah jemputan tidak dapat hadir dan jadual ditangguh di saat2 akhir. Al-maklumlah ada sesetengah para cendikiawan agamawan yang terpelajar melabelkan amalan membaca Yassin di malam Jumaat sebagai amalan Bid'ah dan tidak boleh diteruskan. Nakal betul!, ada ke patut amalan yg baik yg diamalkan sekian lama nak digantikan dengan sesi berbual kosong, sesi bawa diri masing2, borak2 politik... bila tiada penceramah datang.

Maka berlakulah perdebatan, pembentangan hujjah dsbnya. Perkara yg sama sering kedengaran atau dipaparkan dibanyak blog2 pendakwah, bebas atau berpihak, perihal perbedaan pendapat, pegangan, sumber nas dsbnya. Masing2 dengan tegas menggulung hujjah masing2, sampai ada yang mencela, mengecil2kan satu2 pihak yang lain. Saya yang masih menular nak mencari ilmu ini kekadang kaget dibuatnya. Lalu saya rujuk kepada yang pakar, siapa lagi kalau bukan Imam As-Syafi'i, bagaimanakah cara2 beliau berdebat, bertukaran pendapat bila berlaku berlainan pendapat dgn Ulama2 besar yang lain; (dari Siri 4 Imam Mazhab - susunan Sdr Tarikuddin bin Hj Hassan terbitan Jahabersa)
Cara Imam As-Syafi'i bertukar fikiran:
Beliau, seperti juga Imam Abu Hanifah, amat suka berdebat, bermuzakarah dan bermunazarah. Pada beliau, perkara2 ini akan membuahkan hasil yg terbaik dari pertembungan seumpamanya. Tetapi beliau hanya berdebat, bermuzakarah dan bermunazarah hanya untuk mencapai keputusan yg baik dan natijah yg benar. Kata Imam As-Syafi'i;
1. "Tidak aku bertukar fikiran dgn seseorang melainkan aku ingin supaya ia diberi pertolongan, dan supaya ia beroleh pemeliharaan yg baik dari Allah SWT. Dan aku tidak bertukar fikiran dgn seseorang melainkan aku mengharapkan Allah menjelaskan kebenaran atas lidahku atau atas lidahnya."
2. "Aku ingin apabila aku bertukar pendapat, hendaklah ia menampakkan kebenaran di hadapannya"
3. "Tidak sekali-kali aku bertukar pendapat dengan seseorang, lalu ingin jatuh ke dalam kesalahan"
4. "Aku pandang kritikan2 sebagai rahmat dan bukan perbuatan yg akan menimbulkan kemarahanku. Lawanku bagi mereka itu ada kebaikan dan kelebihan atas diriku. Semoga Tuhan jangan menjauhkan lawanku dari diriku"
5. " Mereka selalu membicarakan kesalahanku, maka aku dapat menjauhkannya dan mereka sentiasa berlumba2 mahu mendahuluiku, maka aku dapat berusaha lebih tinggi kerana galakkan mereka"


Wahhh,,, jelas sekali pendekatan positive thinking oleh Imam As-Syafi'i ini menjadi pemangkin untuknya maju dan tidak sekali menjadi racun yg berbisa. Kita? mampuke? marilah kita sama2 mengambil pendekatan yg lebih positive, tidak melabelkan sesiapa dgn apa2 label bila mereka berbeza pendapat. Berdoalah agar mereka juga di pihak yg benar, dan jika mereka itu sah2 berlainan aqidah dengan kita, berdoalah agar mereka diberi petunjuk, agar Allah SWT membuka hijab dari mereka untuk mendapat kebenaran. Elakkan dari kekerasan kata2, mahupun air muka yg masam mencuka, kerana siapalah kita jika tidak hanya hambaNya.


Catatan Selanjutnya...

Wednesday, May 06, 2009

Husnul Khotimah - sebaik-baik penutup

Tiap2 sesuatu itu ada tandanya, dan tanda2 husnul khotimah antaranya. (1)

1. Sesiapa yg menyudahkan kalam akhirnya (mati) dengan kalimah tauhid.
2. Mati ketika sedang beramal soleh.
3. Orang yang mati syahid dalam peperangan.
4. Mati pada malam Jumaat atau siangnya.
5. Mati yg berpeluh dahinya.
6. Mati kerana mempertahankan Islam, nyawa dan kehormatan diri.
Sesungguhnya husnul khotimah adalah pemberian Allah kepada mereka yg benar dalam ibadah mereka, dan Allah Hijabkan daripada orang2 yg berpaling dari mentaatiNya. Di antara perkara2 yg menghalang husnul khotimah ialah kemaksiatan, panjang angan-angan, lalai dan cinta dunia.
Di antara pedoman yg boleh diamalkan untuk mendapat husnul knotimah insyaAllah;
1. Mengikhlaskan tauhid kepada Allah
2. Mentuluskan ibadah dan ketaatan hanya kepada Allah.
3. Mengamalkan dan menghidupkan sungguh2 cara kehidupan Nabi s.a.w
4. Tazkiyah nafs daripada maksiat dosa2.
5. Mengawal diri dari loba terhadap dunia.
6. Cenderungkan diri kepada pahala dan balasan hari kekal.
7. Memperbanyakkan taat dan mengekalkannya sehingga akhir hayat dunia.
8. Benci kepada maksiat dan ahlinya, dan cinta kepada ketaatan dan ahlinya.

Memang sedikit sekali orang yg ingatkan mati dan apa2 yg sesudahnya hinggakan sedikit sekali orang yg berlumba2 untuk beramal sebagai persediaan untuk ke alam tersebut. Apalagi untuk menghisabkan diri (menghitungkan diri) kepada persediaan untuk hari itu. Berapa banyakkah kita mengingatkan diri sendiri tentang hisab, tentang siksa kubur tentang sirat dan kegoncangannya atau tentang neraka dan jeritan penghuninya. Sipenulis pun samalah.

Oleh itu, marilah kita mulakan pada saat ini, untuk menghisabkan diri dengan kata2, "wahai diri, adakah engkau bersedia untuk menjadi ahli neraka? adakah engkau layak untuk menjadi ahli syurga?", wahai diri, agaknya dari golongan manakan kamu,,, ashabul Yamin atau ashabus Syimal?.... bagaimanakah kesudahan hidup ini nanti, husnul khotimah kah atau su'khotimah, tiadanya pilihan ketiga..."
Sebagai peringatan diri, firman Allah dalam Surah Qaaf ayat 19, moga2 menjadi peringatan sekiranya leka lupa;
"Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmaut" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya".

Ya Allah, bantulah kami, tolonglah kami, dari "sakaratil-maut" nanti....
(1)Rujukan: Buku Hidup di bawah lembayung Rahmatnu nukilan Sheikh Al Maqari Hj Othman Hamzah


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, May 05, 2009

Kewajiban kita kepada Al Qur'an

Ada satu pepatah Arab yang lebih kurang maksudnya "bagaikan unta mati kehausan di padang pasir, sedangkan ada air dikendung di belakangnya".
Adakah begitu kekeliruan hidup kita sekarang? Sentiasa mencari2 sebab dan punca kenapa itu dan kenapa ini berlaku... kenapa pula kita yang menanggungnya dan bukan orang lain? Adakah kita berada di dalam kegelapan? tertutup hijab dari perkara sebenar? umpama berjalan di dalam gelap, tanpa penyuluh, kebingungan, walhal penunjuk jalan ada di tangan?


Adakah telah berjaya perancangan jahat musuh2 Islam yang dengan keterlaluan telah menidakkan cinta kita kepada golongan Arab? Sedangkan telah berpesan Baginda Nabi s.a.w supaya kita tidak membenci orang2 Arab, walaupun perangai sesetengah mereka ini memang sesuai untuk dibenci. Pesan Nabi s.a.w, tidaklah dibenci kaum Arab dan bahasanya kerana; Baginda Nabi s.a.w adalah dari golongan Arab, Al-Qur'an adalah dalam bahasa Arab dan bahasa di syurga adalah bahasa Arab.

Sedikit petikan dari buku himpunan ceramah As-Syeikh Imam Hassan Al Banna mengenai kewajiban kita kepada Al Qur'an;
  1. Keyakinan sesungguhnya tiada penyelesaian utk semua perkara melainkan penyelesaian dari petunjuk Allah iaitu Al-Qur'an
  2. Kaum Muslimin wajib jadikan Al-qur'an sebagai kawan karib, bahan rujukan dengan sentiasa mendampingi Al-Qur'an.
  3. Sentiasa membaca dan memerhatikan adab2 bacaan serta mendengar Al-Qur'an kerana inilah Kalam Allah yang semestinya wajib dihormati.
  4. Menjadi kewajiban pula untuk mengamalkan hukum2 dari Al-Quran termasuklah hukum2 utk individu (fiqh, akhlak, taubat...) dan hukum2 kemasyarakatan (keluarga, muamalat...)

Kesimpulannya: sampailah masanya untuk kita tekadkan diri untuk membaca Al-Qur'an ini setiap hari, walaupun beberapa ayat, sambil memerhatikan maknanya, dan menunggu2 saat bacaan ini seolah2 spt akan membaca bingkisan cinta dari orang yg tersayang.


Catatan Selanjutnya...