Showing posts with label kusyuk. Show all posts
Showing posts with label kusyuk. Show all posts

Tuesday, March 31, 2009

Berwangi-wangian bila solat

Pengalaman semasa berasak2 dalam saf2 yang ketat dan amat rapat bersama2 dengan ribuan jemaah lain semasa di Baitullah baru2 ini mengingatkan saya kepada betapa rehat dan selesanya kita bila berjemaah di masjid taman rumah ataupun di masjid negeri semasa Jumaat.

Teringat pada satu Hadits dari himpunan Bukhari yang bermaksud;

"Telah bersabda Baginda Rasulullah s.a.w, tidak mandi seseorang lelaki pada hari Jumaat dan bersuci sebolehnya daripada bersuci dan berwangian dari rumahnya, kemudian ia keluar, maka dia tidak memisahkan antara dua orang kemudian ia bersolat apa yg difardhukan kepadanya, kemudian ia diam apabila berkhutbah imam, melainkan diampunkan baginya antara dengan Jumaat yang lain."

Jadi, berapa ramai di antara kita yg bersungguh2 menyucikan diri, berwangian dan mengenakan pakaian istimewa semasa melangkah ke masjid pada hari Jumaat? Malang sekali, untuk ke parti, kenduri kendara, dating, bersukan dsbnya, kita akan kenakan pakaian khas. Namun untuk Jumaat, yang menjadi pakaian pejabat itulah juga pakaian solatnya. Kekadang, dalam keadaan berpeluh dan membebaskan pelbagai bau yg kurang enak ... :-(

Terlintas difikiran satu lagi Hadits dari susunan Al Bukhari Muslim yang bermaksud; "sesiapa yang makan dari pokok ini (bawang putih) maka jangan hampiri masjid kami."

Kalau bau bawang putih pun di mulut sudah ditegah Nabi s.a.w untuk menghampiri masjid, bagaimana pula dengan bau kita yang kekadang menyebabkan orang di kiri dan kanan menjadi tidak selesa.

Kesimpulannya: jika keadaan mengizinkan, kenakanlah pakaian yg istimewa bila ke masjid untuk berjemaah, dengan wangian yang sesuai mengikut syarak, dgn tujuan kerana taat kepada perintah Allah dan RasulNya.


Catatan Selanjutnya...

Thursday, March 05, 2009

Lihatlah Kerdilnya Kita

Dapat beberapa keping pic ni dari rakan lama sekolah. Sahih ke tidak tak sempat pulak check fakta sainsnya. Cuma tertarik dengan pengajaran yang kita boleh simpulkan sendiri, berlandaskan firman2 Allah dalam Al Qur'an berkenaan perkara ini.
Harap2 lepas ni, bila angkat tangan untuk takbir dan solat, ingat2lah betapa kerdilnya kita dan gerunnya bila ingat kebesaran yang Mahamencipta...



Dalam scala di bawah, Jupiter adalah sekecil 1 pixel dan bumi sudah tiada kelihatan dek mata kasar
Dan ini bukanlah penghujungnya, cuma penghujung kepada pengetahuan manusia sahaja
Dan kesemuanya adalah di bawah pengawasan dan pengurusan Allah 'Azza wa Jalla


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, February 24, 2009

Kusyuk dalam solat - tambahan ilmu

Aku menyebut dengan nama Allah yang Mahapemurah lagi Mahapenyayang.

Akhir-akhir ini pelbagai persoalan yg timbul dalam benak fikiran bila didedahkan dengan pelbagai hal2 yang baru dalam solat.

Pendedahan baru ini didatangkan dalam bentuk ilmiah, dengan kitab2 rujukan dan petikan2 hadits yang disanadkan oleh pembawa sebagai sahih. Selalunya semua sesi2 kuliah yang diikuti akan dibukakan dengan unggakap 'datanglah dengan minda terbuka' atau 'amalan2 ini bukan perkara baru cuma di tanah air kita ini pendedahannya agak terhad'.

Pendedahan baru ini nampak seperti perkara kecil, hal2 khaifiat dalam mengerjakan solat, seperti bagaimana kita melakukan perkara2 sunat dalam mencari kesempurnaan bersolat. Pada mulanya begitulah cara pemikiranku. Ini cuma hal kecil2, selagi tidak melanggar rukun2 dalam solat, dan tiada perbezaan aqidah, maka biarlah perkara ini datang sebagai ilmu baru dan jika tidak dpt diterima maka biarlah ianya berlalu.

Namun, akhir2 ini perbezaannya semakin ketara. Sampai kepada perkara2 sunat Ab'adh seperti membaca qunut. Tidaklah dapat difahami bagaimana segelintir jemaah yang bertegas bahawa bacaan qunut dalam solat subuh berjemaah adalah tidak perlu. Maka mereka cuma berdiri tegak semasa imam membaca do'a qunut. Bukankan berjemaah itu syaratnya ialah mengikut imam? Pusing bila ku fikirkan terus bagaimana perkara kecil ini boleh memporak perandakan jemaah yang baru sahaja ada tanda2 pertambahan ahlinya. Walaupun sesetengah pendapat mengatakan bahawa bacaan qunut dalam solat subuh kebiasaan bukanlah sesuatu yang perlu untuk kesempurnaan solat, tetapi bila berjemaah kan perlu ikut imam? Melainkan jika pak imam itu sendiri yang memilih untuk tidak membaca qunut dan tidak pula sujud sahwi maka lainlah ceritanya.
Begitulah dilema kita hari ini, dengan kemudahan komunikasi maka penyebaran agama menjadi lebih meluas, cepat dan dengan banyak rujukan ilmiah. Segelintir kita yang masih dengan amalan yang telah kita amalkan sekian lama (dari KAFA), maka apabila pendedahan baru dibuat dengan cara sekerat2 maka timbullah keraguan dan persoalan. Padahal, seluruh umat yang mendirikan solat hanya dengan satu tujuan, mencari keredhaan Allah. Namun, banyak masa kita habiskan untuk berdebat berkenaan hal2 khaifiat..yang kekadang memang mengelirukan...
Hanya Allah yang Mahamengetahui


Catatan Selanjutnya...

Friday, February 13, 2009

Solatku masih di takuk ini

Solatku...

yang saban hari cuba ku lakukan seawal waktu
yang saban waktu ku lakukan bersama teman2ku
yang saban kalinya kulakukan mengikut ilmuku
yang saban kalinya kuzahirkan semampuku.

Solatku, jauhlah lagi dari solat Saidina Ali k.w yang bila mana betisnya terkena panah musuh semasa perang, lalu beliau solat dan sabahat lain mengeluarkan panah tanpa Saidina Ali k.w merasakan peritnya. Solatku, tiadalah layak menandingi solat Saidina Uthman r.a yang mengkhatamkan satu Al Qur'an dalam qiamnya.

Solatku, hanya penuh dengan cacat dek lekaku kepada dunia. Hanya tempang dek ceteknya ilmu akhiratku. Hanya daif dengan lamunanku, melayani bisikan dan lintasan syaitan celaan Allah. Solatku, mungkin seumpama sebutir pasir hitam di tengah-tengah jutaan pasir2 lain di pantai.
Ya Rabbi, bantulah aku dalam menyempurnakan solatku seperti tuntutanMu. Bantulah aku untuk mencapai solat para solehin. Dalam lafaz kesyukuranku terhadapMu dengan nikmat kehidupan dunia yang Engkau berikan, aku mohon kepadaMu, bantulah aku mencapai solat yang akan memberkati hidupku dan mencegah aku daripada melupakanMu dengan izinMu...

Solatku, hanyalah untuk satu tujuan, seumpama juga hidup dan matiku, hanyalah untuk mendapat keredhaanMu. Maka terimalah solatku sebegini rupa dan akan ku perbaiki solatku selagi Engkau meneruskan kehidupan duniaku, menggunakan nikmatMu.

Sesungguhnya, Engkau Tuhan Pencipta yang Mahamengetahui apa2 yang aku zahirkan dan apa2 yang aku sembunyikan. Amin


Catatan Selanjutnya...

Friday, January 30, 2009

Mendekati untuk mendapat CintaNya

Di antara cara untuk membantu kita dalam bermujahadah melawan syaitan adalah dengan melakukan ibadah wajib secara benar, kemudian menyempurnakannya dengan ibadah sunat. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam satu hadith qudsi yang bermaksud:


" Hamba-Ku yang mendekat kepadaKu dengan sesuatu, lebih Aku cintai daripada Apa yang Aku wajibkan kepadanya. Dia sentiasa mendekatkan diri kepadaKu dengan melakukan amalan2 ibadah sunat sehingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengarannya yang digunakan untuk mendengar, Aku adalah penglihatannya yang digunakan untuk melihat, Aku adalah tangannya yang digunakan untuk memegang, dan Aku adalah kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia mohon kepadaKu , nescaya Aku akan memberikannya. Jika dia berlindung kepadaKu, maka Aku akan melindunginya.


Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari segala fitnah sama ada zahir mahupun yg batin. Semoga dapat dipermudahkan aku dalam aku mengerjakan amalanku kepada Mu.

sumber: Mukmin Fathi Al Hadad - Perbaharui solat anda


Catatan Selanjutnya...

Thursday, January 15, 2009

Tak Kenal Manalah Nak Cinta

Menjadi ungkapan biasa yang berkatanya bila tak kenal maka camna nak cinta? So kena lah kenal hati budi dahulu baru boleh menjiwai samada sehaluan ataupun tidak.
Dalam ketandusan cinta kepada yang Satu maka marilah kita mencari jalan dan peluang untuk lebih mengenaliNya. Bagaimana? dengan merujuk kepada Al Qur'an dan Hadits, dan banyakkan masa untuk berdampingan dengan orang2 yang mahir dalam hal2 Al Qur'an dan Hadits. Dari situ maka akan bertambahlah peluang kita untuk lebih mengenali Allah dan dengan izinNya akan dapat menemui jalan untuk mendapatkan CintaNya.
Bak kata Imam Ghazali dalam Minhajul Abidin: "Bagaimana jadinya apabila engkau menyembah yang engkau belum kenal dengan namaNya dan ZatNya dan yang wajib bagiNya dan yang mustahil dalam sifatNya, sebab terkadang engkau mengiktikadkan sesuatu yang tidak layak bagiNya dan sifat2Nya. Jika demikian maka ibadatmu itu berhamburan seperti debu2 ditiup angin."
Minhajul Abidin, Al Ghazali


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, December 09, 2008

Siri Perbaharui Solat - mencari kusyuk

" Berkerjalah kamu seolah-olah kamu mahu hidup seribu tahun, dan beramal ibadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari".

Kata2 para Sahabat yang dahulunya mengikut fahaman sendiri adalah kata2 untuk memberi perangsang bagi terus gigih berusaha dalam menjalankan tanggungjawab dunia seolah2 kita akan hidup lama, dan bila beramal ibadat, bersungguh2 seolah2 itulah peluang ibadat yang terakhir sebelum nyawa dicabut.Dalam usaha berterusan mencari dan mendalami ilmu kerohanian, aku didedahkan pula dengan pandangan yang lebih jauh berkenaan kata2 Sahabat di atas (sesetengah menotakan ia sebagai Hadits daif, namum buat masa ini aku belum dapat pastikan sumbernya).

Seorang ustaz telah memberiku perspektif baru untuk kata2 hikmah ini. Menurutnya, apabila kita menganggap hidup seolah2 masih tinggal 1,000 tahun lagi, kita akan akur bahawa kerja2 dunia ini akan datang silih berganti, tidak putus2 dan tiada penghujungnya. Maka bila kita sedar bahawa tuntutan duniawi itu tidak akan putus2 maka kuranglah kita akan terbelenggu dengan tuntutan tersebut dan lebih ringanlah kita untuk membebaskan diri buat seketika, apabila kita ingin melakukan amal ibadat bagi memenuhi tuntutan akhirat.

Sekiranya kita betul2 merasai bahawa kerja2 untuk kehidupan dunia ini tidak akan putus2 melawati kita lebih mudahlah kita meringankan bebanan fikiran untuknya dan dengan izin Allah lebih mudahlah kita mendapat kebebasan dari lintasan2 yang merosakkan solat kita untuk mendapat lebih tumpuan dan kusyuk semasa solat.

Semasa seorang anak Adam sedang bersolat, bisikan2 serta lintasan2 tidak akan putus datang mengganggu dan mencuri solatnya, sehingga ada masanya bilangan rakaat pun terlupa. Ada juga ketikanya semasa solatlah lintasan2 ini akan datang mengingatkan kita hal2 dunia yang masih belum beres, hal2 rumah tangga yang belum selesai, kunci kereta hilang dan sebagainya, hingga jadilah solat kita itu solat orang2 yang lalai.

Adalah dapat sedikit demi sedikit pedoman untuk lebih bebas dari lintasan2 dan bisikan2 semasa solat. Jika diizinkan InsyaAllah akan dicatatkan di waktu yang akan datang.


Catatan Selanjutnya...

Thursday, December 04, 2008

Tingkatan dalan Solat

Dalam mencari2 jalan untuk mendapat lebih ketenangan dari solat yg lebih kusyuk (berbanding dgn solat sekarang yg...alahai malu pada diri sendiri), terjumpa terjemahan kitab Ibn al-Qayyim: al-Wabil al-Sayyib, yang menyebut beberapa tingkatan manusia dalam solat.
Mengikut Ibn al-Qayyim, terdapat 5 tingkatan manusia dalam solat;
  1. Pertama: orang yg berbuat aniaya pada diri sendiri dan kurang ajar. Dia adalah orang yg tidak menyempurnakan wuduk, melalaikan waktu solat, syarat2 serta rukunnya.
  2. Ke-2: Orang yg menepati dan menjaga waktu solat, syarat, rukun dan wuduknya. Namun, dia melalaikan perjuangannya melawan was-was dan bisikan2. Maka, tenggelamlah dia dalam bisikan serta lamunannya.
  3. Ke-3: Orang yang menepati dan menjaga waktu solat, syarat, rukun2nya. Dia juga berjuang melawan was-was, bisikan serta lamunannya. Dia sibuk bermujahadah memerangi syaitan agar tidak mencuri solatnya. Pada yang demikian, dia solat seolah2 sedang berjihad.
  4. Ke-4: Orang yang, jika berdiri mendirikan solat, dia menyempurnakan hak dan ketentuannya. Hatinya hanyut dalam usaha menjaga ketentuannya serta hak solat agar tidak ada satu pun yg dilalaikan darinya. Semua usahanya dicurahkan untuk mendirikan solat sebagaimana mestinya. Dalam solat, hatinya temggelam dalam urusan2 solat dan penghambaan kepada Yang Maha Suci dan Maha Tinggi.
  5. Ke-5: Orang yang jika mengerjakan solat, hatinya penuh dengan cinta serta mengagungkanNya, seolah2 dia berdiri di depan Pencipta. Segala bisikan dan detikan di dalam hatinya kepada yg lain telah lenyap, sehingga terangkat hijab di antara dirinya dengan Tuhannya. Inilah solat paling agung dan utama di antara yg lain2. Solat yang sedemikian adalah melebihi keagungan segala yang ada di antara langit dan bumi.

Ibn al-Qayyim: al-Wabil al-Sayyib

Diterangkan lagi bahawa golongan pertama akan mendapat hukuman. Kategori ke-2, masih diperhitungkan. Kategori ke-3, menjadi penebus kesalahan2nya. Kategori ke-4 mendapat pahala dan kategori ke-5 mendekatkan dirinya dengan Tuhan, kerana itu merupakan balasan bagi orang yg menjadikan solatnya sebagai penyejuk jiwanya.

Sepertimana penyakit, adanya ubat, penawar dan tegahannya, begitulah solat, untuk mendapatkan solat yang terhindar daripada bisikan2 jahat ini, perlu kita mendapatkan ubat2nya, penawar serta menghindarkan diri dari perbuatan2 yg mendekatkan kita kepada bisikan2 ini. Sesungguhnya penyakit2 seperti was-was, lamunan yang menyebabkan kita terpaling muka, mata dan hati kekita solat amat sukar untuk dihindari apalagi diubati. Tetapi demi usaha untuk mencapai tingkatan solat yang lebih bermakna dari takat2 pertama dan ke-2 di atas, perlulah kita terus menerus berusaha.

Ada yang menyarankan saya untuk membuat check and counter check dari awal iaitu daripada kesempurnaan wuduk (dan semestinya mandi hadas besar), syarat2 dan rukun2 solat serta bacaannya dan maknanya. Dengan Izin Allah, saya akan meneruskan usaha B.A.S.S dalam hal ini..... Amin


Catatan Selanjutnya...

Thursday, November 20, 2008

Mengatur Kewajiban Solat


Dalam mencari2 rahsia mendapat nikmat kusyuk solat, teringat pula petikan dari buku Hidup di bawah Lembayung RahmatMu Tuhan oleh Sheikh Maqari' Hj Othman Hamzah - Bab 17 Mengatur Persiapan menunaikan Kewajiban Solat.

Senarainya agak panjang, inipun setelah diringkaskan sedikit2, dek kepenatan menaip. Ini cuma sebagai peringatan kpd diri sendiri , dan perlu diingat, perjalanan menuju ke arah mendapat nikmat kusyuk adalah satu proses, yang bukan mudah untuk mendapatkannya. So, sekiranya ada yg terkurang daripada ini, ianya bukan sebab untuk kita menjauhkan diri dari solat, dengan alasan kurang mendapat nikmatnya.

Bab 17 Mengatur Persiapan menunaikan Kewajiban Solat menyenaraikan spt berikut;

  1. Setelah bersih dan bersuci, berpakaianlah secara tertib dan teratur
  2. Hadaplah diri ke arah kiblat sambil berdiri tegak (bagi yg mampu) seolah2 berhadapan dgn pembesar.
  3. Berdoalah agar terhindar dari godaan2 syaitan.
  4. Tenangkan hati dan tenteramkan jiwa (lupakan perkara2 dunia buat semetara)
  5. Tanamkan dlm fikiran, dlm hati yg kita sedang berhadapan dgn Pencipta kita
  6. Hati hendaklah rasa takut, tak kala nak mengadapNya tapi hati masih bercelaru dgn perkara2 duniawi.
  7. Jgnlah menipu diri dgn wajah sahaja mengadap kiblat tapi fikiran tengah kacau bilau dgn perkara2 lain.
  8. Kena ingatkan diri bahawa solat yg diterimaNya ialah solat yg kusyuk, rendah diri, dan taqwa.
  9. Tanamkan dlm fikiran dan hati yg solat ini adalah satu pengabdian yg wajib serta harus dilakukan dgn penuh sabar, patuh, iman dan ihtisab.
  10. Hati yg tidak kusyuk, tidak tenang, asyik mengelamun itu menandakan terdapat kecacatan batin
  11. Bisiklah pada hati " wahai jiwa yg jahat, tidakkah engkau malu utk berhadapan dgnNya dlm keadaan begini?.."
  12. Lakukan solat dgn keinsafan, keyakinan dan tawadhu'.
  13. Lakukan takbir pertama dgn mengangkat kedua tangan ke paras bahu (utk lelaki) dgn tapak tangan mengadap kiblat dan jari2 lurus.
  14. Kedua2 ibu jari berhadapan dgn lubang telinga (dan bukan lain2 versi ala2 ultraman, kuak angin dsgnya).
  15. Sambil itu lafazkan takbir "Allahu akbar" sambil memasang niat menunaikan solat yg dikerjakan.
  16. Kemudian turunkan tangan dan dilipatkan di atas perut, sedikit ke kiri, tangan kiri dgn tapak terbuka dan jari2 melurus di letakkan di bawah tapak tangan kanan, sedang tangan kanan memegang pergelangan tangan kiri. (dan bukanlah ala2 memeluk tubuh)
  17. Janganlah lakukan gerak-geri yg meng'aibkan dari awal hingga akhir solat spt menggaru-garu, memaling muka ke kiri kanan, menggoyang2 badan depan belakang dsbnya. (dan semestinya tidak sekali2 menjawab hphone semasa solat, i am telling you, i've seen many).
  18. Selepas tangan terletak di atas perut, bacalah doa iftitah dan fatihah dengan bacaan yg betul bertajwid dan diakhirkan dgn bacaan Amin.
  19. Jika solat Subuh, bacalah surah2 yg agak panjang dari surah2 mufassal.
  20. Untuk solat Zuhur, Asar atau Maghrib, bacalah surah2 yg pendek.
  21. Untuk solat Isya', bacalah surat2 sederhana panjang spt. Al-Buruj, At-Toriq
  22. Apabila bermusafir, dalam solat Subuh bacalah Surah Al-Kafirun dan Al-Ikhlas, dan sebelum rukuk bacalah Subhanallah sebelum takbir.
  23. Semasa rukuk, jika solat bersendirian, bacalah tasbih 7 kali (yg biasanya dibaca 3 x bila berjemaah).
  24. Kemudian I'tidal iaitu berdiri dgn mengangkat tgn takbiratul ihram sambil membaca tasmi'.
  25. Apabila kedudukan tangan sudah sempurna diturunkan dan telah kembali tegak, bacalah dgn tenang doa tahmid.
  26. Kemudian sujudlah sambil bertakbir.
  27. Selaraskan kedua bahu setentang dengan kedua tangan dengan dahi dan hidung menyentuh lantai, dan kedua telapak kaki tegak di atas kedua ibu jari kaki.
  28. Kedua siku direnggankan dari lambung (lelaki) dan dirapatkan pada wanita.
  29. Semasa sujud, di dalam hati kenalah tanam perasaan bahawa kitalah insan hina dan bersujud kepada yang berhak menerima sujud iaitu Allah sambil bertasbih...

Mudah2an dengan sedikit senarai ini, bertambah baiklah solat kita, dalam menuju destinasi nikmat kusyuk. Memang sudah pasti senarai di atas perlu dilengkapi dgn panduan2 lain. Apatah lagi dgn kehidupan harian yg penuh dgn hiruk pikuk, benci cela, hasad dengki dan subhah dsbnya. Tambahan lagi surah2 pendek yg terhafal agak2 terbatas senarainya.


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, November 18, 2008

Ubat Hati Resah Gelisah dengan Solat

Memang sesungguhnya kita ini dijadikan sifatnya resah gelisah bila mendapat kesusahan, dan cepat lupa daratan dan kedekut bila telah mendapat kesenangan. Namapun manusia, tambah lagi dengan sifat mudah lupa dan mudah melatah.



Teringat kepada petikan surah Al-Maarij ayat 19 - 34 (Juz 29) yang maksudnya


Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). (19) Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. (20) Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut. (21) Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. (22) Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya. (23) Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. (24) Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). (25) Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya). (26) Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya. (27) Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorangpun) merasa aman terhadapnya. (28) Dan mereka yang menjaga kehormatannya. (29) Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. (30) Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. (31) Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. (32) Dan mereka yang memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi). (33) Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. (34) Mereka (yang demikian sifatnya) ditempatkan di dalam Syurga dengan diberikan penghormatan.



Sembahyanglah sebenarnya ubat untuk jiwa yang keluh kesah itu. Namun bila kusemak akan diri ini, memang dah bertahun aku solat, dulunya kekurangan sedikit, namun adakalanya lagi masih keluh kesah bila ditimpa kesusahah...kenapa yek? rupanya sembahyang yang dimaksudkan bukanlah sekadar sembahyang secara physicalnya berdiri, rukuk dan sujud, walhal hati ketika solat itu melayang2 jauh ke sana ke mari, kekadang melayang2 ke TESCO, JUSCO, bistro dsbnya.... solat yang dimaksudkan ialah solat yang penuh kusyuk dan tunduk kepada Allah, dengan penuh tertib rukun dan sunatnya, bukanlah versi gopoh-gapah ala2 anak2 yang tangkas mengejar waktu.



Bagaimanakah kita boleh mendapat nikmat kusyuk ketika solat?...alamak soalan cepu emas ni..maka bermulalah satu misi baru utk aku mencari rahsia2 kusyuk solat dalam erti kata sebenarnya,,, mudah mudahan dengan konsistensi dan tambahan ilmu serta doa2, akan tercapailah niat utk mendapat nikmat kusyuk solat, yang dengannya aku yakin akan terjagalah kehidupan harianku....amin.


Catatan Selanjutnya...