Showing posts with label Cinta. Show all posts
Showing posts with label Cinta. Show all posts

Friday, July 17, 2009

Pecah Hati Kerana Menderhaka

Bukan cerita siTanggang, bukan juga cerita derhaka Hang Tuah. Cuma ingin kongsi sedikit catatan perjalanan, buat bekalan di hari minggu yang mendatang.

Kata-kata hikmah ditinggalkan seorang Ustaz, yang namanya dikenal hanya dikalangan orang2 dagang. Dan tidaklah dia berwajah 'pan asian' yang menjadi pilihan, idaman kalian kaum hawa. (nota sisi : apa relevant untuk Hang Tuah berwajah 'pan asian' seperti yang digambarkan dalam teaternya").. saya melalut.
Kata si Ustaz;
  • Tiada terasa nikmatnya sihat sehingga kita ditimpa sakit.
  • Hati perlu dibersihkan dahulu untuk merasa nikmatnya menuntut ilmu.
  • Umpama mencurah wangian di tempat kotoran, mana bisa menikmati kewangian baunya kiranya tidak dinyahkan kotoran terlebih dahulu.
  • Jangan sekali mengecilkan Rahmat Allah. Bertaubatlah atas segala dosa, mahupun dosa kecil yang tidak disengajakan, apatah lagi dosa besar yang disengajakan. Azab Allah kepada pendosa kecil ialah satunya dengan di ambil dari seseorang akan pahala amalannya, lalu dia pulang ke alam akhirat sebagai seorang yang muflis. Ustaz menceritakan kisah seorang manusia yang telah diperintahkan untuk dihumban ke neraka kerana kebebalannya di dunia, tetapi terselamat dan dikurniakan syurga dengan rahmat Allah, setelah berkata-kata sehelai bulu matanya yang pernah gugur semasa dia menangis mengenangkan dosa-dosanya, sedangkan seluruh anggota lain cuma melaporkan dosa kesumat bila mereka berkata-kata di hari Pengadilan yang Maha Adil.
  • Maksiat dan dosa itu umpama racun yang memudaratkan dalam waktu panjang, memasuki tubuh seseorang. Racun yang memudarat hanya dalam masa yang panjang akan; mematikan hatinya, gelapkan jiwanya, daripada memandang yang baik itu baik dan yang bathil itu bathil.
  • Kepada seorang mukmin, hatinya adalah lebih mulia dari jasadnya.

Sebetulnya, semakin 'demand' kita akan kesempurnaan seseorang, semakin kurang ianya nampak dimata... maka terimalah seadanya dan berterusanlah dalam mencari RedhaNya.

salam Jumaat.


Catatan Selanjutnya...

Saturday, July 11, 2009

Betulkah Tenaga (batin) anda Hebat?

Anda rasa anda kuat?
Anda rasa anda besar?
Anda rasa anda berani?
Anda rasa anda berselera tinggi?
Anda rasa anda hebat tenaga batinnya?..... opsss rupanya belum lagi lah

Jika dirasakan kita sudah kuat, rupanya si unta lagi kuat. Boleh berjalan dia berminggu-minggu di padang pasir, dengan membawa muatan di belakang lagi, yang diminta cuma airnya.

Jika rasakan diri sudah besar, cuba lawati zoo negara, dan kunjungi kandang gajah... nampaknya sangat kerdil kita bila berdiri di sebelahnya.

Anda sudah sangat berani? Pernah melaungkan, kami boleh! kita boleh!? namun, sang singa jauh lebih berani dari kita, kerana baginya, saiz bukan halangan, sang gajah yang besar itu akan dia terkam jika dia mahu.

Jika terasa selera makan kita sangat baik. Tahu makan tidur sahaja. Rupanya si lembu dan rakan-rakannya jauh lebih berselera dari kita, kerana kerjanya hanya makan, makan dan makan, termasuk semasa tidur, mulutnya masih mampu mengunyah rumput.

Ada juga yang mendakwa sangat 'aktif', 'hebat', 'perkasa' di ranjang (maaf, bahasa dewasa, tapi untuk pengajaran, di akhir entri nanti). Rupanya si pipit yang kecil molek itu lagi kuat nafsunya. Hampir setiap minit dia mampu mengemudi kasih bersama pasangannya (nanti ramai pulak buat minyak pipit untuk buat rangsangan....)

Jadi, di mana hebatnya kita?
Rupanya, hebatnya manusia adalah pada ilmunya. Dengan ilmunya dan ilham dari Allah, manusia mencipta jentera yang jauh lebih berkuasa dari unta. Dengan ilmunya dan ilham dari Allah, manusia mampu mencipta alat yang boleh melemah longlaikan gajah yang sasa dan boleh menjinakkan sang singa yang perkasa.

Dengan hebat ilmunya manusia boleh makan sepuasnya dan masih boleh tidur lena, boleh 'aktif' bertenaga walaupun sudah lanjut usia. Dengan ilmunya dan ilham dari Allah jugalah manusia boleh menjadi berkuasa seperti raja. Jadi marilah kita berlumba-lumba mendahului tuntutan ilmu. Namun, dengan ilmu yang di timba, sepatutnya makin tunduklah manusia, sebetulnya.

Manakan tidak tunduk, semakin dalam pengajian ilmunya, manusia akan didedahkan dengan semakin banyak persoalan dan sepatutnya semakin tunduk menyedari akan Maha Tinggi ilmu Penciptanya Yang Maha Esa.

sumber: Ust Kamal Azhari, di lokasi tidak jauh dari kediaman kami

Namun sayang sungguh, ramai antara kita yang terbawa-bawa, dengan emosi dan nafsu. Bila sahaja ilmu terasa tebal dalam diri, mulalah mencemuh sana sini. Terlagak (ter - kerana mungkin tidak disengajakan) seperti semua orang lain tiada tandingannya. Semua yang lama, yang tidak sama dengan pendapatnya, akan dikira tidak terpakai, tidak kukuh dan perlu dihindari. Sesetengah antara kita seperti tidak tahu untuk berbeza pendapat, dan lebih menyedihkan, seperti cerdik pandai alim ulama terdahulu itu tidak hebat setanding dengannya. Ada yang mencemuh malah mengherdik kita yang masih belum ber'tajdid sepertinya. Melabelkan kita ketinggalan masa dan zaman kerana masih berpegang dengan nota tulisan tangan beralaskan kertas kuning-kekuningan. Kitab lama dikatakan....waduh hebat sungguh manusia akhir zaman...


Catatan Selanjutnya...

Friday, July 03, 2009

Kisah Nenek Tua - Akhirnya

Selepas beberapa hari, baru diberi kelapangan untuk meneruskan cerita dari seerah sahih Nabi s.a.w berkenaan kisah nenek tua zaman Nabi Musa a.s yang telah dimulakan beberapa hari lepas.

Apakah sebenarnya permintaan nenek ini dari Nabi Musa a.s. sehingga mendapat perhatian Baginda Nabi Muhammad s.a.w dalam kisahnya berdepan dengan lelaki Badwi yang menerimanya sebagai tamu? Kisah adalah seperti ini...

Nenek itu, dalam syaratnya untuk ditunjukkan lokasi makam Nabi Yusuf a.s kepada Nabi Musa a.s telah meminta Nabi Musa a.s untuk mendoakan agar dia (si nenek) menjadi teman Nabi Musa a.s di syurga nanti. Dengan keyakinan bahawa doa para nabi dan rasul akan Allah makbulkan, si nenek tersebut tidak meminta apa2 balasan dunia, kemewahan, kesenangan sementara, tetapi meminta balasan abadi iaitu syurga, dan menjadi teman kepada Nabi Musa a.s ti syurga tertinggi darejatnya.

Bezanya dengan lelaki Badwi yang meminta Nabi Muhammmad s.a.w mendoakan agar dia dikurniakan unta dan lembu iaitu balasan dunia yang sedikit dan sementara, hanya untuk memenuhi keperluannya di dunia.

Begitulah dengan sebahagian daripada kita, yang hanya mempunyai kemahuan tinggi kepada dunia tetapi kurang dan terlepas pandang kemahuan akhirat yang kekal. Lihat saja bilangan peminat2 setia masjid? Berapa kerat yang menjadi pengunjung setia solat Subuh? solat Isya'? Tetapi komitmen terhadap keperluan kerjaya sangat2 kita titik beratkan. Bagi yang tinggal di luar kawasan dan kerja dalam bandaraya, bukan ke ramai yang awal-awal pagi lagi sudah bangkit, siapkan diri dan bergegas ke tempat kerja, kerana mahu elakkan kesesakan traffic. Tidaklah salah malah sangat baik kerana berusaha tekun mencari rezeki halal. Tapi perhatikan di hari minggu? Pukul berapa kita bangkit? Kenapa tidak kita bangkit awal juga di hari minggu dan penuhkan saf subuh di masjid surau? Di manakah komitmen kita dengan tuntutan Allah?

Sandarkan diri di kerusi empuk dan tanyalah iman.... (khas untuk penulis). Salam Juma'at

berapa jauh boleh p dengan besi nih?


Catatan Selanjutnya...

Thursday, July 02, 2009

Sambung Kisah Seorang Nenek - dari Seerah Nabi

Sambung semula cerita dari kisah2 sahih Nabi s.a.w, cerita nenek tua zaman Nabi Musa a.s. yang dimulakan dua hari lepas. Di kisahkan apabila lelaki Badwi itu hanya meminta Unta dan lembu susu, Baginda Nabi s.a.w terkejut, lalu Baginda Nabi s.a.w bertanya, kenapa engkau tidak meminta seperti yang diminta nenek kaum Nabi Musa a.s.

Kesemua sahabat yang mendengar menjadi hairan lalu bertanya, siapakan Nenek dari Kaum Nabi Musa a.s itu? Tak pernah dengar pun cerita pasal dia? Kenapa Baginda Nabi s.a.w. suruh orang Badwi itu minta seperti Nenek itu? Apa yang nenek itu minta?

Lalu Baginda s.a.w menceritakan, bahawa pada zaman Nabi Musa a.s semasa mereka mengembara hendak melarikan diri dari ancaman raja yang zalim (kalau tak tahu raja man, sila tanya anak2 sekolah menengah) dan keluar dari bumi Mesir, mereka telah tersasar perjalanan mereka, tak dapat mencari jalan keluar dari bumi Mesir, selama 40 TAHUN!. Bayangkan, jalan-jalan beberapa hari aleh2 sampai tempat yang sama, dan berjalan lagi beberapa bulan, tup-tup tiba semula di tempat yang sama, begitulah seterusnya, selama 40 tahun....

jalan di padang pasir tanpa GPS, macam gini lah rupanya, mana nak tuju?

Lalu pada satu pagi yang panas terik (ini saya interframe je), datanglah seorang pendita Bani Israel, jumpa dengan Nabi Musa a.s lalu berkata dia kepada Nabi Musa a.s, akan cerita yang pernah didengarnya berkenaan ikrar Nabi Yusof a.s. Semasa hayatnya Nabi Yusuf a.s pernah berikrar bahawa jalan keluar dari Mesir akan 'terlindung' sekiranya jenazahnya tidak dibawa keluar bersama dan di kebumikan di luar bumi Mesir. Laaaa punyalah tak bijak pendita Bani Israel tadi, dah 40 tahun baru nak cerita! Lalu Nabi Musa a.s bertanya di manakah letaknya makam Nabi Yusuf a.s? tak de seorang pun yang tahu. Jadi masalah pun belum selesai.... Dalam ramai2 ahli kaumnya itu, datanglah seorang nenek tua, bongkok, tak berapa sihat dah, tapi mengaku, tahu di mana letaknya makam Nabi Yusuf a.s. Lalu di minta Nabi Musa a.s untuk nenek itu membawa kaumnya ke lokasi..

Nenek itu pulak tidak semudah itu untuk memenuhi permintaan Nabi Musa a.s, lalu dia minta dimenterai satu perjanjian, sebelum dia bersetuju. Di fikiran Nabi Musa a.s, apalah sangat permintaan si nenek ini, lalu dia pun bersetuju untuk memenuhi syarat nenek itu ....

Jadi apakah permintaan nenek itu? Boleh teka? tak ada hadiah pun, cuma nak gambarkan tahap pemikiran manusia, dari zaman dahulu, zaman Nabi Muhammad s.a.w dan zaman kini, ada banyakkya tidaklah berubah mana, tiadalah beza mana antara kita dan lelaki Badwi dalam n3 asal tadi... So, apa yang nenek itu minta sehingga Nabi Muhammad s.a.w membuat perbandingan dengan lelaki Badwi itu? Kena tunggu n3 seterusnya, script nota tak ingat tercampak mana, nanti InsyaAllah sambung, dengan pengajaran2nya sekali.

dek cerita nenek tua engkau inilah sampai atok duduk sorang2 tunggu nenek belum balik2...


Catatan Selanjutnya...

Wednesday, July 01, 2009

Kisah Seorang Nenek - dari Seerah Nabi

Dalam pencarian Cinta dan Keredhaan Allah, kita akan berdepan dengan pelbagai pengalaman, pahit, manis, masam, tiga rasa dan lain-lain. Ingin dikongsikan satu kisah dari Seerah Nabi yang diajar dalam kelas Cinta yang pernah saya hadiri. Untuk peringatan diri dan semua yang membaca.

Kisahnya dalam satu pengembaraan Baginda Nabi s.a.w dan para sahabatnya, lalu Baginda Nabi s.a.w. singgah di satu perkhemahan satu keluarga orang Badwi. Orang Badwi memanglah terkenal dengan lasak, brutal dan sikap kerasnya dari dulu hingga sekarang. (ada org bercerita lasaknya perempuan Badwi ini sehingga mereka boleh pikul tong gas memasak,,,,, sebaik sahaja selesai melahirkan bayi, waallahualam) ##. Lalu Baginda Nabi s.a.w. dan sahabatnya diberi makan dan diraikan dengan seadanya. Selesai makan lalu Baginda Nabi s.a.w bertanya kepada lelaki Badwi tersebut akan apa yang dihajatinya, apa keinginannya, untuk Baginda Nabi s.a.w memohon kepada Allah. Bertuahnya lelaki Badwi itu, ingin didoakan oleh kekasih Allah. Lalu si lelaki tersebut menjawab...

"Doakan agar aku mendapat seekor unta untuk ditunggangi dan seekor lembu ibu yang boleh ku perah susunya untuk anak isteriku minum". Baginda Nabi s.a.w terkejut, kehairanan mendengar permintaan lelaki Badwi tadi lalu Baginda Nabi s.a.w bertanya lagi, apa lagi kemahuan lelaki itu, jawab Badwi itu lagi, "doakan agar aku mendapat seekor unta untuk ditunggangi dan seekor lembu ibu yang boleh ku perah susunya untuk anak isteriku minum". Begitulah berulang sampai tiga kali, lalu Baginda Nabi s.a.w bertanya, kenapa engkau tidak meminta seperti yang diminta nenek kaum Nabi Musa a.s.

Lalu dalam kehairanan juga para sahabat yang mendengar lalu bertanya, siapakan Nenek dari Kaum Nabi Musa a.s itu? Tak pernah dengar pun cerita pasal dia? Kenapa Baginda Nabi s.a.w. suruh orang Badwi itu minta seperti Nenek itu? Apa yang nenek itu minta?

Aduih, penat dah menulis ni, nanti InsyaAllah, akan di sambung di n3 seterusnya. Pasal si Ustaz yang bercerita itu pun menangguhkan ceriteranya sampai tiga kuliah, jadi kena tunggu n3 akan datang...InsyaAllah.

## Saya pernah melihat sendiri bagaimana orang-orang Badwi ini memandu di Bandar Jeddah k.s.a, maklumlah mereka ini bila memandu di padang pasir tiada perlu patuhi had laju kebangsaan, tiada perlu signal untuk menukar lorong atau membelok di simpang, tiada had muatan, peel yang sama mereka amalkan walaupun mereka berada di jalan raya di bandar. Hebat sungguh... ada lah lebih kurang seperti gambar hiasan di bawah...

pic hiasan dari Google dan sah-sah bukan saya punya


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, May 12, 2009

Rediscovery Diri - Siri # 5: Cabaran dan Halangan

Diteruskan catatan diri dalam usaha mencari Cinta Kekal. Sebelum pergi lebih jauh, eloklah diterangkan sedikit latar belakang penulis sebelum saya 'tersedar' dari lena yg panjang.
Latarbelakang
:
Dahulunya saya ini insan yg sering lupa, lupa yg mana hakiki, yg mana tuntutan, yg mana benar dan yg mana bathil. Terkadang, yg diterima ramai dijadikan amalan tanpa fikir apa hukum dari sudut syarak. Dulunya saya tidak merasa apa2 bila berada dikhalayak ramai, berasak2 untuk itu dan ini, tanpa terasa akan azab mata dan takut hati jadi keras kerana itu dan ini. Lebih teruk lagi, saya sering ambil mudah perkara2 yg dipandang berat dalam syarak, dan ambil berat perkara2 duniawi yg tidaklah sepenting perkara2 syarak yg dipandang enteng. Akibatnya, hidup sentiasa tidak cukup, tidak lengkap, bahkan tidak terasa berkatnya apa yg ada,,,walaupun dilihat dari segi material, hampir semuanya sudah ada. Cuma impian sahaja yg semakin hari semakin menggunung.

Kini, alhamdulillah, sedikit demi sedikit yg bathil itu terkikis dan rasa cinta dan sayang kepada yg sepatutnya itu datang, hari demi hari, minggu demi minggu. Walaupun lagi dicari lagi terasa jahilnya. Makin banyak yg tahu makin bertambah banyak yg tidak tahu.

Tambah pula dengan cabaran dan halangan yg terpaksa ditempoh, ditempis, dirempuh. Bila kita tegas dengan syarak hasil dari ilmu cetek yg ada, kita sering pula dilabel sebagai kolot, ektremis, berlagak, perasan dsbnya. Namun tidak sedikitpun terasa sedih, malah terasa pula bahagianya, kerana tujuan diri hanya satu; supaya dikategorikan sebagai Hamba oleh Pencipta. Tidak lebih dari itu, dan semoga RahmatNya datang menyelamatkan diri di hari Perhitungan dan hari Pembalasan.

Antaranya amalan biasa masyarakat yg memberi cabaran untuk saya, dan Insyaallah semoga dapat terus tinggalkan;

1. Bersalaman dengan yg bukan mahram; antara rakan sekerja, rakan perniagaan, sahabat handai, keluarga sahabat handai, anak2 dara sahabat dan yg sama kategori dgnnya. Sudah menjadi amalan sesetengah org (majmuk dijadikan alasan) dan kita pula dianggap sombong jika tidak menyahut jemputan tangan bila dihulur.

2. Dalam bab aurat; saya dianggap extreme, 'anti fashion, anti social' bila kita tegaskan untuk keluarga supaya betul2 menjaga aurat dalam berpakaian. Bukan setakat tutup rambut litup tetapi dada diserlahkan, tutup rambut tetapi pakai pula baju yg butang didada hampir2 tidak dapat dikemaskan kerana fit2nya didada, lenganya pula pendek ke siku. Skirtnya pula menayangkan betisnya yg licin, gebu. Sudah saya ingatkan isteri, bahawa yg sebegini hanyalah untuk saya, dirumah bila tiada ipar duai. Dan walaupun hanya dengan ipar duai, Islam tetap dengan hukumnya yg telah jelas dan hakiki.

3. Dalam bab pemakanan; apabila saya cuba amalkan makan untuk tidak lapar dan bukan untuk kenyang sampai sendat, ada pula yg labelkan saya sebagai 'kufur nikmat', nakal sungguh kawan2 ni, bila kita cuba amalkan pemakanan yg menjurus kepada 'pencegahan penyakit' ada pula yg chop kita kedekut. Senyum aje lah...

4. Dalam bab penggunaan masa; dahulunya, bila ada sahaja masa lapang, beberapa 'lapangan2 tertentu' yg akan dipenuhkan dengan kawan2, kini, saya memang padat berjadual. Semuanya menjadi aturan, kitaran harian yg tidak rutin tetapi padat dengan program. Seringkali saya kini 'terlepas' dari sesi2 borak2 yg dahulunya sayalah penganjurnya. Maka jadilah saya dalam kategori yg dichop 'eh, lama tak nampak?'... nak lari ke?"

sesetengah amalan biasa itu telah saya tinggal jauh ke belakang


Semua yg dicatatkan merupakan cabaran harian saya dalam usaha menjejak kasih Cinta yg Abadi yg didambakan saban hari saban waktu. Dalam banyak keadaan saya hanya mampu tersenyum, riang melihat apa yg terjadi, syukur akan nikmat kejadian. Bayangkan jika kita tidak dijadikan, sebagai manusia, atau dijadikan tetapi sebagai yg bukan Muslim, atau dijadikan tetapi buta untuk melihat apa yg ada didepat mata (o hati)...syukur yg Allah. Saya doakan agar berterusan bantuanMu untukku mencari cintaMu...


Catatan Selanjutnya...

Wednesday, May 06, 2009

Husnul Khotimah - sebaik-baik penutup

Tiap2 sesuatu itu ada tandanya, dan tanda2 husnul khotimah antaranya. (1)

1. Sesiapa yg menyudahkan kalam akhirnya (mati) dengan kalimah tauhid.
2. Mati ketika sedang beramal soleh.
3. Orang yang mati syahid dalam peperangan.
4. Mati pada malam Jumaat atau siangnya.
5. Mati yg berpeluh dahinya.
6. Mati kerana mempertahankan Islam, nyawa dan kehormatan diri.
Sesungguhnya husnul khotimah adalah pemberian Allah kepada mereka yg benar dalam ibadah mereka, dan Allah Hijabkan daripada orang2 yg berpaling dari mentaatiNya. Di antara perkara2 yg menghalang husnul khotimah ialah kemaksiatan, panjang angan-angan, lalai dan cinta dunia.
Di antara pedoman yg boleh diamalkan untuk mendapat husnul knotimah insyaAllah;
1. Mengikhlaskan tauhid kepada Allah
2. Mentuluskan ibadah dan ketaatan hanya kepada Allah.
3. Mengamalkan dan menghidupkan sungguh2 cara kehidupan Nabi s.a.w
4. Tazkiyah nafs daripada maksiat dosa2.
5. Mengawal diri dari loba terhadap dunia.
6. Cenderungkan diri kepada pahala dan balasan hari kekal.
7. Memperbanyakkan taat dan mengekalkannya sehingga akhir hayat dunia.
8. Benci kepada maksiat dan ahlinya, dan cinta kepada ketaatan dan ahlinya.

Memang sedikit sekali orang yg ingatkan mati dan apa2 yg sesudahnya hinggakan sedikit sekali orang yg berlumba2 untuk beramal sebagai persediaan untuk ke alam tersebut. Apalagi untuk menghisabkan diri (menghitungkan diri) kepada persediaan untuk hari itu. Berapa banyakkah kita mengingatkan diri sendiri tentang hisab, tentang siksa kubur tentang sirat dan kegoncangannya atau tentang neraka dan jeritan penghuninya. Sipenulis pun samalah.

Oleh itu, marilah kita mulakan pada saat ini, untuk menghisabkan diri dengan kata2, "wahai diri, adakah engkau bersedia untuk menjadi ahli neraka? adakah engkau layak untuk menjadi ahli syurga?", wahai diri, agaknya dari golongan manakan kamu,,, ashabul Yamin atau ashabus Syimal?.... bagaimanakah kesudahan hidup ini nanti, husnul khotimah kah atau su'khotimah, tiadanya pilihan ketiga..."
Sebagai peringatan diri, firman Allah dalam Surah Qaaf ayat 19, moga2 menjadi peringatan sekiranya leka lupa;
"Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmaut" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya".

Ya Allah, bantulah kami, tolonglah kami, dari "sakaratil-maut" nanti....
(1)Rujukan: Buku Hidup di bawah lembayung Rahmatnu nukilan Sheikh Al Maqari Hj Othman Hamzah


Catatan Selanjutnya...

Monday, March 16, 2009

Rediscovery Diri - Log Numero 3

Susulan siri Rediscovery Diri yang terdahulu, pencarian Cinta Abadi saya disambung lagi tetapi kali ini menghadapi satu blockage besar, penting seperti di satu persimpangan. Di antara amalan Ulama' dari zaman nenek moyang yang berlandaskan ahli Sunnah wal Jamaah dan pandangan tegas cerdik pandai golongan baru yang ada juga memanggil mereka sebagai kalangan Tajdid. Nampaknya perkara2 ini telah lama dibincangkan di antara kedua2 ahli2 pemikiran ini, cuma saya je baru tahu, kerana baru mendalami 'pendidikan' Islam. Ada golongan yang beraliran moden, dengan latar belakang pendidikan yang hebat2 sungguh, datang dengan pendedahan2 hebat, boleh terbeliak minda kita dibuatnya.

Saya cuma rasa kesal dan hairan dengan aliran baru ini (walaupun terkadang merasakan yang ini lebih memenuhi citarasa kita yang inginkan sesuatu yang mudah, cepat, ringkas). Banyak sungguh yang diringkas dan dimudahkan, sehinggakan wirid selepas solat pun ringkas dan simple sahaja. Pelik juga bila saya fikirkan. Di zaman manusia semakin sofisticated, in-depth, thorough dalam hal2 lain, tetiba dalam hal2 ibadah kita nak simple2 je, ringkas2 je, dan lagi tercengang saya bila semuanya dikatakan berlandaskan amalan Rasulullah s.a.w. Saya cuma terlintas sememangnya Baginda s.a.w semasa hayatnya berdakwah memang padat, mampat dengan waktu2 penuh aksi dan sememangnya tiada satupun yang Baginda s.a.w telah lakukan sekiranya perbuatan tersebut tidak mendatangkan faedah.

Pelik tapi benar, dalam hal2 makan minum kita tidak pula nak ringkaskan atau simple2kan. Trend sekarang nak minum yang lagi sofisticated, latte caramel berstrawberry, kapuchino mousse au chocolat, etc, tapi bila bab2 ibadah, amalan kalau boleh diringkaskan se ringkas mungkin, tiada lagi doa panjang2, tiada lagi berpakaian yang banyak2 kain, tutup kepala pun dah tidak wajib tetapi hanya sebagai pilihan samada nak moderate atau nak strict? Aduih, penin lalat juga dibuat nih.

Kesimpulannya:- (i) nak mendapat pendidikan' perlu betul2 pilih gurunya kerana di zaman moden ini semakin ramai yang mencari dunia sofisticated tetapi akhirat yang simple2 je. Jadi bila demand tinggi (utk simple) maka supply (guru) pun akan bertambah dgn cepat sehingga mencapai tahap equilibrium...betul ke merepek ni. (ii) tiada jalan singkat untuk amalan di hari kehidupan kekal, kecuali itulah AturanNya yang Mahamengetahui.

** Siri Rediscovery Diri akan disambung selepas pulang dari menunaikan ibadah Umrah nanti, insyaAllah.


Catatan Selanjutnya...

Thursday, January 15, 2009

Tak Kenal Manalah Nak Cinta

Menjadi ungkapan biasa yang berkatanya bila tak kenal maka camna nak cinta? So kena lah kenal hati budi dahulu baru boleh menjiwai samada sehaluan ataupun tidak.
Dalam ketandusan cinta kepada yang Satu maka marilah kita mencari jalan dan peluang untuk lebih mengenaliNya. Bagaimana? dengan merujuk kepada Al Qur'an dan Hadits, dan banyakkan masa untuk berdampingan dengan orang2 yang mahir dalam hal2 Al Qur'an dan Hadits. Dari situ maka akan bertambahlah peluang kita untuk lebih mengenali Allah dan dengan izinNya akan dapat menemui jalan untuk mendapatkan CintaNya.
Bak kata Imam Ghazali dalam Minhajul Abidin: "Bagaimana jadinya apabila engkau menyembah yang engkau belum kenal dengan namaNya dan ZatNya dan yang wajib bagiNya dan yang mustahil dalam sifatNya, sebab terkadang engkau mengiktikadkan sesuatu yang tidak layak bagiNya dan sifat2Nya. Jika demikian maka ibadatmu itu berhamburan seperti debu2 ditiup angin."
Minhajul Abidin, Al Ghazali


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, January 13, 2009

Siri Cinta : Menyintai dan Dicintai

Dalam satu pengajian tafsir, satu topik yang sangat relevan dengan pencarian cinta abadi dan juga peristiwa keganasan Zionis telah dikupas oleh Ustaz Dr Roslan Mohammad UM. Beliau mengupas ayat 33-34 surah Fusilat:

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! (33) Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34)

Mengikut tafsir Ibnu Katsir (setakat ini, inilah kitab tafsir keluaran terbaik dan mudah dibaca yang ku jumpai); secara khususnya orang yang menyeru kepada Allah dalam ayat ini adalah merujuk kepada Bilal Ibn Rabah r.a dan Abdullah Ibn Ummi Makhtum r.a. Kedua-dua sahabat ini adalah orang yang akan melaungkan azan dan menyeru para sahabat Rasul s.a.w yang lain apabila masuknya wakto solat. Kehebatan mereka ini sehingga disebut di dalam Al Qur'an. Dari segi tafsiran umum, adalah menjadi kemestian manusia yang mencari cinta Allah itu dari mereka yang sentiasa menyuruh orang lain ke jalan Allah dan pada masa yang sama mereka itu mengerjakan apa yang disampaikan kepada org lain itu. Ini barulah kes cakap serupa bikin or bikin serupa cakap.
Secara amnya, kedua2 manusia yang hebat tadi (Bilal dan Abdullah Ummi Makhtum) adalah manusia yang dari segi fizikalnya tidaklah seindah yang diidamkan. Bilal adalah seorang hamba yang kulitnya diceritakan agak tidaklah cerah. Dan Abdullah Ummi Makhtum pula adalah seorang yang buta. Namun kehebatan dan ketaatan mereka sangatlah tinggi berbanding kita hingga ada ayat Al Qur'an yang khusus ditujukan buat mereka berdua. Inilah bukti nyata bahawa cinta Allah bukanlah pada paras rupa dan kesempurnaan fizikal, tetapi ketinggian taqwalah yang menjadi ukuran.
Dalam pada penderitaan saudara kita di Palestin yang masih dan terus disiksa ditindas ini kita dapat meningkatkan ketaqwaan dan ketaatan kita kepada Allah, menghulurkan sebarang bantuan dari segi wang ringgit, doa munajat dan sebagainya, sebagai tanda kasih kepada agama kita.


Catatan Selanjutnya...

Saturday, December 06, 2008

Cinta yang Satu

Tanggal 5 Dis 2008, genaplah 14 tahun kami bersama sebagai pasangan suami isteri. Dia isteriku yang telah dipilih, walau apapun halangan dan dugaan, kerana jodoh dan ajal bukanlah kita yang tentukan. Syukurlah kepada Allah, yang telah menjodohkanku dengan dia yang saban waktu tahan sabar dgn serba kekurangan dan kepincangan diriku. Ulang tahun tidaklah disambut dgn apa2 yg lebih istimewa selain bersolat sunat syukur, meluangkan masa bersama2 ke Sungai Buloh nurseries beli pokok & pasu...plus apa2 yg datang sama waktu dgnnya..hmmm.

Berfikir tentang Cinta yang Satu, teringat cerita2 dari kitab Imam Al-Ghazali al-maqsad al-asna, tentang cinta manusia kepada Allah. Kata Imam Al Ghazali, ramai yang mengaku kenal Allah, namun tidak ramai pula yang mencintaiNya...bagaimana cinta kita terhadap Allah? Sejauh mana cinta kita kepada Sunnah Rasulallah s.a.w?

Ramai yang mendakwa mengenal Allah, namum bila sahutan azan berkumandang, di mana dan ke manakah kaki2 kita melangkah? Kenapa kita masih membiarkan saf-saf di rumah Allah itu sunyi sepi tidak dipenuhkan? (aduh...pedih terasa hati bila memikirkan ke-egoanku dulu).

Beliau menyatakan lagi, semua orang Islam percaya kepada keperluan pertolongan Allah, namum kita kerap kali menghindarkan diri dari bertemuNya. Ada diantara kita hanya akan sugul muka, dan solat kepadaNya hanya bila ditimpa bencana, gundah gulana, tetapi melupakanNya bila kita senang. Kenapa kita hanya rajin Qiam malam hanya pada malam2 Ramadhan?.... kenapa tidak di malam2 yang lain.

Lihatlah sendiri almari2 di rumah2 kita (yang ini memang kenalah ke dahiku, dengan koleksi baju yang tak habis2 dipakai), hiasan2 rumah yg banyak kekadang melampaui keperluan, namum berapa ringankah kita untuk mengeluarkan RM50 dari wallet untuk disedekahkan ke jalan Allah, untuk keperluan mereka2 yang lebih, yg sangat memerlukan...

Di manakah letaknya ketulenan Cinta yang Satu dalam diri kita? Bersyukurlah aku kerana dikala kegembiraan menyambut Cinta sesama hamba, diberi pula nikmat untuk bertemu hamba2 yang masih sanggup mengingatkan aku. Kepada mereka yang berjiwa tenang itu, terima kasih aku ucapkan. KepadaMu ya Allah, janganlah Engkau sesatkan aku setelah Engkau memberiku petunjuk...Amin


Catatan Selanjutnya...