Showing posts with label rediscovery diri. Show all posts
Showing posts with label rediscovery diri. Show all posts

Monday, June 15, 2009

Akhirnya...Matla' Al-Badrain versi awam

Selamat kembali ke sekolah kepada semua murid, guru, cikgu besar, pengetua, peniaga kantin, penjaga kebun dan semua warga sekolah sekalian. Semoga cuti 2 minggu telah dapat merehatkan kepala dan badan anda semua dan bersedia untuk teruskan perjuangan menuntut ilmu dan menabur ilmu serta terlibat dalam tuntutan ilmu.

Pernah belajar ilmu Fiqh? Guna kitab Matla' Al-Badrain (versi Jawi atau Rumi) hasil penulisan Abdul Faqir Al-Fatani Muhammad bin Ismail Daud Fatani? Kepada sesiapa yang ingin mendalami ilmu Fiqh, maka kitab ini adalah antara rujukan pilihan para Ilmuan dan guru-guru pondok untuk digunakan.

Jika anda seperti saya yang baru nak berta-tih dalam mendalami ilmu agama, dan ilmu Fiqh termasuk, kitab Matla' Al-Badrain ini dan bahasa yang digunakan (versi rumi termasuk) akan memeningkan fikiran anda dalam satu patah ayat pertama yang dibaca. Maklumlah, kita bukanlah lulusan pondok dan tiada asas pengajian seumpamanya. Maka, pengajian kitab ini tanpa guru yang mahir akan mengkecamukkan kefahaman diri. Bila mana saya mula join kelas dwi-mingguan berlandaskan kitab ini, ustaz sudah selesai bab2 awal, dan kelas pertama saya adalah berkenaan solat jenazah (Kitab Al-Janaiz). Segala bacaan dan lafaz doa yg diperjelaskan didatangkan tanpa baris. Maka berdikit-dikitlah saya membariskan lafaz2 doa yg diajarkan. Mujurlah saya berbekalkan sedikit asas pengetahuan berkenaan solat jenazah yang pernah dipelajari dahulu. Namun kini ada berita gembira untuk orang awam seperti kita...
Kitab Matla' Al-Badrain ini telah berjaya di terjemahkan kepada bahasa Melayu (bacaan awam) dan tidak lagi dalam versi terjemahan terus Arabic ke Bahasa seperti sebelumnya. Dan versi terjemahan dalam bahasa Melayu awam dalam 2 jilid ini telah disemak dan disahkan oleh peneliti JAKIM akan kesahihannya serta ketepatannya mengikut versi asal Arab dan Bahasa Melayu kitab yang biasa digunakan (spt pic ini)
Versi Bahasa Melayu kitab menawarkan terjemahan spt berikut: Dalam perkara mengatakan aurat " bermula aurat lelaki itu antara pusat dan lutut pada sembahyang dan pada segala lelaki dan perempuan yang muhramnya. Adapun auratnya pada perempuan yang hilat, maka sekalian badannya dan pada dua, maka hasilnyaa bagi lelaki itu tiga aurat baginya".... Nah! cubalah kalau2 faham jika rasa terror nak belajar tanpa guru!.... selamat mencuba.


Catatan Selanjutnya...

Friday, June 12, 2009

Tempat orang bermandi darah, tempat kita sunyi sepi

Mungkin ada yang membaca berita mengenai peristiwa berdarah di mana 11 jemaah masjid Al Furqan di Cho Airong, Selatan Thai yang sedang solat Isyak pada malam Isnin 8/6/09 lalu terkorban syahid ditembak dengan kejam dari belakang semasa sedang bersolat. Antara syuhadah termasuklah pak imamnya Allahyarham Wan Abdullah Wan Latif 62 thn. Berita lanjut boleh dibaca di sini.

Alhamdulillah, betapa aman dan bertuahnya kita di bumi Malaya ini, paling risau pun semasa solat ialah kalau-kalau kasut/sandal/selipar dicuri orang. Ada juga yang risau kot-kot motor/helmet/kereta dicungkil mat-mat yang saje2 cari kerje kosong, atau cuba2 nak isi bilik lokap kosong.

Keamanan juga menyebabkan kita alpa, berterusan mengosongkan masjid dan surau, terus membiarkan majlis-majlis ilmu berterusan sunyi murung, saudara2 seagama kita di selatan Thai berterusan dihimpit ancaman pihak2 yg tidak berperikemanusiaan. Yang berterusan memporak perandakan keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kepercayaan. Yang peliknya siasatan oleh pihak yang berkuasa sering kali ke jalan buntu bila yang menjadi mangsa itu saudara seagamaku... logiklah kalau masyarakat Islam di sana hidup dengan penuh rasa curiga kepada mereka yang memegang senjata meronda kampung halaman mereka.

Ada juga keadaan di tempat kita di mana jemaah memilih bulu untuk majlis ilmu. Sekiranya Ustaz yang datang itu mengajar mengikut rentak dan samba golongan tertentu, maka berdoyong-doyong mereka dari kalangan tertentu datang dari jauh dan dekat. Akan tetapi jika yang datang itu Ustaz yang lantang menentang pendekatan sesetengah golongan, maka yang tinggal semasa majlis ilmu hanyalah beberapa kerat qariah, ahli 'regular' atau mungkin beberapa ahli jawatankuasa masjid surau yang agak segan untuk angkat kaki kerana merekalah yang menjemput si Ustaz itu datang. Pelik tapi benar,,,padahal menuntut ilmu (ilmu fardhu ain) itu adalah wajib kepada setiap umat Islam.

Pernah bersyair Muhammad Ibnu Al-Hasan bin Abdullah (yg telah dialih bahasakan);
" Dan jadikan olehmu akan diri kamu itu menuntuti faham dan menuntuti faedah dan bertambah-tambahnya dari ilmu pada tiap-tiap hari. Jangan lupa daripadanya satu hari jua pun.

"Dan bersungguh-sungguh olehmu pada menuntuti akan segala faedah-faedahnya dan manafa'at-manafa'atnya yang amat banyak itu, seperti bersungguh-sungguh kamu pada berenang di dalam laut yang amat dalam dan luas, kerana bahawasanya faedah-faedah dari itu amat banyak sehingga tiada kuasa menghabisi akan dia oleh anak Adam"...
Risalah Al-Al'alamah Asy'Sheikh Burhanuddin Az Zarnurji.

Salam Jumaat dan selamat menuntut ilmu kepada semua.


Catatan Selanjutnya...

Friday, June 05, 2009

Rediscovery Diri Siri #6 - Kikis Sifat Kikir

Salam Jumaat buat diri dan sesiapa yang terbaca nota ini. Saya sambung catatan Rediscovery Diri yang dimulakan sekian masa dahulu dalam mencari Cinta Abadi. Kali ini berkenaan sikap saya terhadap tuntutan 'memberi', 'menghulurkan'. Bukanlah niat untuk membuka pekung di dada, tetapi melihat dari mana saya datang beberapa ketika dahulu, memang sifat cinta dunia dan cinta harta dunia itu menebal dalam diri (... dahulunya cita-cita adalah untuk ada nilai harta tujuh angka sebelum mencapai umur 40-an). Lantas sekarang sepertinya berperang dengan emosi diri melawan sikap cinta dunia yang sebetulnya menggunung bab gunung Kinabalu ini.

Bila disemak dalam kitab Ihya Ulumuddin karya ulung Imam Al-Ghazali, dinyatakan yang cinta harta itu sendiri ada dua sebab;

Pertama: kesukaan bersenang-senang (ialah, siapa diantara kita yang mampu untuk tidak mahu bersenang-senang?). Kerana kecintaan untuk bersenang-senang, maka tidak tercapai kecintaan itu jika tidak dengan harta dan disertai pula dengan angan-angan. Barangkali anak-anak pula dijanjikan bayangan kesenangan sehingga panjang angan-angan menyebabkan kita mengumpulkan harta demi anak-anak...

Nabi s.a.w pernah bersabda yang maksudnya " anak-anak itu menyebabkan sifat kikir dan sifat pengecut serta kebodohan." (rujuk Mukhtasar Ihya' Ulumuddin - Zaid Husein al Hamid)

Kedua: Bila kita mencintai harta sedangkan kita sudah mengetahui bahawa kita tidaklah memerlukan kesemuanya dikala hari tua (jika umur sepanjang itu), kecintaan harta ini seperti satu penyakit kronik dalam hati hanya untuk dicapai sebagai tujuan, bukanlah memilikinya yang diutamakan tetapi perasaan untuk memiliki itu lebih utama. Semoga Allah melindungi kita dari penyakit kronik ini.

sekadar gambar hiasan: bukanlah kehidupan sebegini yang saya perjuangkan

Menurut kitab Mukhtasar Ihya' Ulumuddin, untuk mengatasi sifat kikir, satu caranya ialah dengan mengurangi nafsu terhadap keduniaan serta keinginan untuk itu dan ini, banyak mengingati mati, merenung kematian teman-teman, menziarahi kubur, termasuk memikirkan cacing-cacing yang ada di dalam kubur itu. Perhatian terhadap peinginan untuk anak diatasi dengan menyedari bahawa Penciptanya mengurniakan rezeki bersama anak itu. Ramai anak yang mewarisi sedang itu bukan rezekinya, dan ramai pula anak yang tidak mewarisi, padahal Allah SWT mengurniakannya harta yang banyak selepas itu. Jika anak itu seorang yang soleh, maka Allah SWT akan memimpin orang-orang soleh. Tetapi jika anak itu orang yang fasik, maka ia akan menggunakan harta dunia yang ditinggalkan untuk jalan yang bathil.

Pernah saya ditanya rakan samada saya sanggup menyerahkan segala apa yang ada dari harta dunia kepada orang yang lebih memerlukan dan meneruskan kehidupan dengan seadanya ala-ala kadar sahaja, saya tidak mampu menjawab di mulut, tapi di hati saya pantas menjawab mana mungkin!.... jauh lagi rupanya apa yang saya impikan dari apa yang sebenarnya ada di dalam hati... semoga Allah terus memberi saya kekuatan untuk berjihad ke jalan yang perintahkannya, dan semoga saya menjadi lebih ringan hati untuk memberi...amin


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, May 12, 2009

Rediscovery Diri - Siri # 5: Cabaran dan Halangan

Diteruskan catatan diri dalam usaha mencari Cinta Kekal. Sebelum pergi lebih jauh, eloklah diterangkan sedikit latar belakang penulis sebelum saya 'tersedar' dari lena yg panjang.
Latarbelakang
:
Dahulunya saya ini insan yg sering lupa, lupa yg mana hakiki, yg mana tuntutan, yg mana benar dan yg mana bathil. Terkadang, yg diterima ramai dijadikan amalan tanpa fikir apa hukum dari sudut syarak. Dulunya saya tidak merasa apa2 bila berada dikhalayak ramai, berasak2 untuk itu dan ini, tanpa terasa akan azab mata dan takut hati jadi keras kerana itu dan ini. Lebih teruk lagi, saya sering ambil mudah perkara2 yg dipandang berat dalam syarak, dan ambil berat perkara2 duniawi yg tidaklah sepenting perkara2 syarak yg dipandang enteng. Akibatnya, hidup sentiasa tidak cukup, tidak lengkap, bahkan tidak terasa berkatnya apa yg ada,,,walaupun dilihat dari segi material, hampir semuanya sudah ada. Cuma impian sahaja yg semakin hari semakin menggunung.

Kini, alhamdulillah, sedikit demi sedikit yg bathil itu terkikis dan rasa cinta dan sayang kepada yg sepatutnya itu datang, hari demi hari, minggu demi minggu. Walaupun lagi dicari lagi terasa jahilnya. Makin banyak yg tahu makin bertambah banyak yg tidak tahu.

Tambah pula dengan cabaran dan halangan yg terpaksa ditempoh, ditempis, dirempuh. Bila kita tegas dengan syarak hasil dari ilmu cetek yg ada, kita sering pula dilabel sebagai kolot, ektremis, berlagak, perasan dsbnya. Namun tidak sedikitpun terasa sedih, malah terasa pula bahagianya, kerana tujuan diri hanya satu; supaya dikategorikan sebagai Hamba oleh Pencipta. Tidak lebih dari itu, dan semoga RahmatNya datang menyelamatkan diri di hari Perhitungan dan hari Pembalasan.

Antaranya amalan biasa masyarakat yg memberi cabaran untuk saya, dan Insyaallah semoga dapat terus tinggalkan;

1. Bersalaman dengan yg bukan mahram; antara rakan sekerja, rakan perniagaan, sahabat handai, keluarga sahabat handai, anak2 dara sahabat dan yg sama kategori dgnnya. Sudah menjadi amalan sesetengah org (majmuk dijadikan alasan) dan kita pula dianggap sombong jika tidak menyahut jemputan tangan bila dihulur.

2. Dalam bab aurat; saya dianggap extreme, 'anti fashion, anti social' bila kita tegaskan untuk keluarga supaya betul2 menjaga aurat dalam berpakaian. Bukan setakat tutup rambut litup tetapi dada diserlahkan, tutup rambut tetapi pakai pula baju yg butang didada hampir2 tidak dapat dikemaskan kerana fit2nya didada, lenganya pula pendek ke siku. Skirtnya pula menayangkan betisnya yg licin, gebu. Sudah saya ingatkan isteri, bahawa yg sebegini hanyalah untuk saya, dirumah bila tiada ipar duai. Dan walaupun hanya dengan ipar duai, Islam tetap dengan hukumnya yg telah jelas dan hakiki.

3. Dalam bab pemakanan; apabila saya cuba amalkan makan untuk tidak lapar dan bukan untuk kenyang sampai sendat, ada pula yg labelkan saya sebagai 'kufur nikmat', nakal sungguh kawan2 ni, bila kita cuba amalkan pemakanan yg menjurus kepada 'pencegahan penyakit' ada pula yg chop kita kedekut. Senyum aje lah...

4. Dalam bab penggunaan masa; dahulunya, bila ada sahaja masa lapang, beberapa 'lapangan2 tertentu' yg akan dipenuhkan dengan kawan2, kini, saya memang padat berjadual. Semuanya menjadi aturan, kitaran harian yg tidak rutin tetapi padat dengan program. Seringkali saya kini 'terlepas' dari sesi2 borak2 yg dahulunya sayalah penganjurnya. Maka jadilah saya dalam kategori yg dichop 'eh, lama tak nampak?'... nak lari ke?"

sesetengah amalan biasa itu telah saya tinggal jauh ke belakang


Semua yg dicatatkan merupakan cabaran harian saya dalam usaha menjejak kasih Cinta yg Abadi yg didambakan saban hari saban waktu. Dalam banyak keadaan saya hanya mampu tersenyum, riang melihat apa yg terjadi, syukur akan nikmat kejadian. Bayangkan jika kita tidak dijadikan, sebagai manusia, atau dijadikan tetapi sebagai yg bukan Muslim, atau dijadikan tetapi buta untuk melihat apa yg ada didepat mata (o hati)...syukur yg Allah. Saya doakan agar berterusan bantuanMu untukku mencari cintaMu...


Catatan Selanjutnya...

Wednesday, April 22, 2009

Rediscovery Diri - Log No 4 , adab2 cari ilmu

Siri Rediscovery diri disambung kembali dalam pengalaman mencari ilmu bagi memenuhi tuntutan rohani bagi mendapatkan Cinta Kekal yang dicari2 selama ini.
Sebagai insan atau ahli baru dalam setiap kelas2 ilmu yg diceburi, saya kerap kali tersilap cara atau dipandang silap cara oleh ahli2 lama dek kerana tidak tahu adab2 atau 'sistem', atur cara menuntut ilmu yg sebetulnya. Tidak pula saya ketahui dulunya bahawa sebetulnya, menuntut ilmu mencari cinta kekal ini penuh dengan adab2nya,,, jika tidak kena cara maka yg dapat hanya cebisan sahaja.
Syukur, saya telah diketemukan dengan seorang guru yg memang khas mengajar manusia2 yg baru ingin menceburi diri dalam hal2 cinta kekal ini. Cuma yg ralatnya, kebanyakkan muridnya adalah baya2 anak2 lelaki saya je. Semuanya anak2 remaja yg rata2 daripada keluarga yg memang sudah dari awal dipupuk dalam suasana ilmiah ini. Lantas saya terasa pula tekanan 'competitive' mereka dalam bab2 'murid pandai' ini. Al maklum, kita telah lama terkarat dek cinta dunia yg tak kekal ini. Dalam cubaan menuntut ini, saya diketemukan dengan kitab ini... Ta'lim Al-Muta'aalim (Pelita Penuntut) penulisan Al-Al'Lamah Asy'Sheikh Burhanuddin Az Zarnurji yg telah diterjemahkan oleh Muhammad Syaflil Abdullah Muhammad bin Ahmad Rangkul Fathani (dalam versi jawi dan rumi).


Maka bermulalah saya dengan tergagap2 membaca kitab jawinya. Mujurlah selepas minggu ke-dua, terjumpa versi ruminya, terasa lega di hati kerana tidak lagi tercungap-cungap mengeja ba-da-ali-k-ka-m-uanan-nya... terasa sungguh tinggi rendah langit pada masa tu.

Kini, selepas beberapa kelas, barulah jelas bahawa pentingnya adab2 menuntut ilmu dalam kita mencari ilmu itu. Pentingnya kita memilih ilmu dan guru serta tauladan dan ketetapan dalam menuntut itu. Barulah jelas pada diri dan datangnya kelazatan dan hikmah ilmu yg dicari.

Saya kongsikan satu syair Abi Hanifah Rahimahullahu:
Siapa-siapa yg belajar ilmu bagi tempat kembalinya;
mencapai ia akan kelebihan daripada sebetul-betul atas agamanya.
Maka ayuhai kerugian org-org yg belajarnya;
bagi mencapaikan kelebihan dari sama2 hambaNya.

Kesimpulannya: Belajarlah ilmu dengan niat yg sebenarnya....


Catatan Selanjutnya...

Monday, March 16, 2009

Rediscovery Diri - Log Numero 3

Susulan siri Rediscovery Diri yang terdahulu, pencarian Cinta Abadi saya disambung lagi tetapi kali ini menghadapi satu blockage besar, penting seperti di satu persimpangan. Di antara amalan Ulama' dari zaman nenek moyang yang berlandaskan ahli Sunnah wal Jamaah dan pandangan tegas cerdik pandai golongan baru yang ada juga memanggil mereka sebagai kalangan Tajdid. Nampaknya perkara2 ini telah lama dibincangkan di antara kedua2 ahli2 pemikiran ini, cuma saya je baru tahu, kerana baru mendalami 'pendidikan' Islam. Ada golongan yang beraliran moden, dengan latar belakang pendidikan yang hebat2 sungguh, datang dengan pendedahan2 hebat, boleh terbeliak minda kita dibuatnya.

Saya cuma rasa kesal dan hairan dengan aliran baru ini (walaupun terkadang merasakan yang ini lebih memenuhi citarasa kita yang inginkan sesuatu yang mudah, cepat, ringkas). Banyak sungguh yang diringkas dan dimudahkan, sehinggakan wirid selepas solat pun ringkas dan simple sahaja. Pelik juga bila saya fikirkan. Di zaman manusia semakin sofisticated, in-depth, thorough dalam hal2 lain, tetiba dalam hal2 ibadah kita nak simple2 je, ringkas2 je, dan lagi tercengang saya bila semuanya dikatakan berlandaskan amalan Rasulullah s.a.w. Saya cuma terlintas sememangnya Baginda s.a.w semasa hayatnya berdakwah memang padat, mampat dengan waktu2 penuh aksi dan sememangnya tiada satupun yang Baginda s.a.w telah lakukan sekiranya perbuatan tersebut tidak mendatangkan faedah.

Pelik tapi benar, dalam hal2 makan minum kita tidak pula nak ringkaskan atau simple2kan. Trend sekarang nak minum yang lagi sofisticated, latte caramel berstrawberry, kapuchino mousse au chocolat, etc, tapi bila bab2 ibadah, amalan kalau boleh diringkaskan se ringkas mungkin, tiada lagi doa panjang2, tiada lagi berpakaian yang banyak2 kain, tutup kepala pun dah tidak wajib tetapi hanya sebagai pilihan samada nak moderate atau nak strict? Aduih, penin lalat juga dibuat nih.

Kesimpulannya:- (i) nak mendapat pendidikan' perlu betul2 pilih gurunya kerana di zaman moden ini semakin ramai yang mencari dunia sofisticated tetapi akhirat yang simple2 je. Jadi bila demand tinggi (utk simple) maka supply (guru) pun akan bertambah dgn cepat sehingga mencapai tahap equilibrium...betul ke merepek ni. (ii) tiada jalan singkat untuk amalan di hari kehidupan kekal, kecuali itulah AturanNya yang Mahamengetahui.

** Siri Rediscovery Diri akan disambung selepas pulang dari menunaikan ibadah Umrah nanti, insyaAllah.


Catatan Selanjutnya...

Saturday, March 14, 2009

Rediscovery Diri - Log Numero 2

Untuk n3 kedua dalam siri Rediscovery Diri ingin saya kongsikan pengalaman sendiri dalam mencari pendidikan semula untuk 'mendirikan' solat. Umum telah maklum tentang kedudukan solat dalam tuntutan diri sebagai seorang hamba Allah, dan tidak lah perlu dihuraikan lagi.

Dalam melengkapkan diri untuk mencari 'kesempurnaan' solat, rujukan pertama yang saya gunakan, sebaik sahaja mendapat pendidikan dari Imam masjid, ialah kitab Al Umm, Al Imam Asy Syafi'i r.a. Tiada sebab lain melainkan inilah Imam Fiqh ulung, dan yang telah diputuskan oleh pemerintah negara sebagai teras mazhab ikutan ramai di bumi Malaysia.


Segalanya berjalan lancar sehinggalah selepas beberapa kunjungan saya ke pusat pengajian Islam di satu kawasan perumahan elit di bandaraya. Saya katakan elit kerana kebanyakkan yang berkunjung ke sana berkereta yang harganya hampir sama dengan harga rumah saya. Namun, menjadi kejutan bila hampir kesemua jemaahnya mendirikan solat dengan khaifiat2 sunat berbeza dengan yang biasa saya amalkan. Saya mengaku, ketika solat zuhur itu, sering saya terganggu dgn kelainan khaifiat yang mereka amalkan dalam menyempurnakan perkara2 sunat semasa solat. Menggagahkan diri maka saya bertanya kepada yang memimpin solat lalu dikenalkan saya dengan buku di bawah ini, yang menjadi sumber inspirasi pengajian 'kesempurnaan' solat mereka. Rupa2nya, sudah lama perkara ini tersebar cuma saya je yg dulu leka di zone 'selesa' saya.

Tiadalah saya mahu mempromosi buku ini. Dan telah saya mendapat penjelasan dari seorang tokoh Ulama Nusantara yang saya kagumi (Dr M.Uthman El Muhammady) dalam hal ini. Nasihatnya kepada saya untuk tidak mengelirukan diri dan terus setia dengan ajaran ahli Sunnah wal Jamaah. Pesannya lagi, perkara2 ini telah dibahas, kupas dan dipersetujui di Nusantara berpuluh2 tahun yang lalu. Ditegaskan oleh Dr M. Uthman untuk saya tetap dengan Al Umm saya. Nasihatnya lagi, biarkanlah yang lain2 itu (yang bukan dari Sunnah wal Jamaah) berlalu dengan tidak disedari. Maka, berhati-hatilah dengan apa yang dibaca dan dirujuk.

Kesimpulannya: tiada jalan pintas dalam mencari 'pendidikan', yg lebih luas jika dibandingkan dengan pembelajaran. Kerana yang 'terdidik' itu akan kekal istiqamah dan yang 'terpelajar' itu kekal dengan pengetahuannya...


Catatan Selanjutnya...

Thursday, March 12, 2009

Rediscovery Diri - Log Numero 1

Untuk kesekiannya, hari demi hari di susuli dgn iringan doa kesyukuran kerana berterusan dilimpahi RahmatNya. Ingin dinotakan pengalaman yang saya kutip dalam usaha mencari Cinta Abadi.
Semuanya bermula Ramadhan 1429H yang lalu. Sebelumnya, saya sering dipenuhi dengan perasaan gelisah, gundah gulana, tidak puas dengan percapaian yang telah dikurniakan melimpah2. Akan ada saja yang tidak cukup, tidak sempurna, tidak mengikut citarasa. Alhamdulillah, syukur, kerana dengan izinNya didetikkan dalam hati, "mungkinkah ada yang tidak kena dalam hidup ini...." dari detik itu, maka bermulalah pencarianku,,, mencari Cinta, mencari Redha dan mencari ilmu untuk kenalNya dalam erti yang sebenar..

Syukurku tidak terbatas, kerana dilahirkan dalam keluarga yang syahadahnya dan aqidahnya hanya pada Yang Esa. Cuma, dari dulu semuanya hanya sekadar ikutan. Pada hermat saya, taat saya pada tuntutan agama pada awalnya kerana taat saya kepada kedua orang tua, taat kepada guru2 dan juga taat kepada kaum keluarga. Bukanlah tidak taat kepada Allah Yang Esa, tetapi taat saya dulu bukanlah yang sebenar-benarnya datang dari jiwa. Amalan saya hanya sekadar percaya kepada yang rukun, bukanlah dalam ertikata sebenar2 Yakin kepada tuntutanNya. Lalu terdetik difikiranku "Jika benar kita yakin denganNya sebenar2nya, masakan kita masih tergamak melakukan tegahanNya..kerana yang pasti adalah Darinya dan yang jelek adalah dirimu,,, maka ayuh,,, betulkan dirimu".

Setelah hari demi hari mencari Cinta, keyakinan pun mula tertera dalam jiwa, secara perlahan menapak dari yakin ilmu, kemudian yakin dengan mata, hinggalah yakin dengan hati yang tiada kini penduanya. Yang jelas dan nyata hanyalah Dia Yang Esa. Namun, hari demi hari ku susuli dengan kesukaran yang nyata.

Apa tidaknya, bila terpaksa melawan rasa hina dina, terpaksa akur dengan kekurang ilmu di dada, saya bermula semula dengan 'alif, ba, ta,...' saya bermula semula dengan 'bagaimana solat?' dan yang ternyata paling sukar dan mencabar bila saya mulakan semula mencari untuk mengenal siapakah 'Dia Yang Maha Esa'. Banyak sungguh onak dan duri yang terpaksa ditempuhi. Hampir2 saya hilang kesemuanya. Kepada yang pernah melalui pengalaman yang sama sudah tentu telah merasai peritnya bila kita ingin 're-learn, un-learn, re-built' ilmu dalam setiap yang diamalkan. Dalam pencarian mencari dan mengenal Dia Yang Esa, silap2 hari boleh jadi gila dibuatnya.

Kepada yang sedang atau yang ingin mula mencari Cinta seperti saya, dari pengalaman sendiri amat mudah untuk kita tergelincir. Ramai sungguh orang yang mengaku lebih 'berilmu' dan sudi menolong kita. Banyak sungguh pusat2 'ilmu' yang mendakwa lebih baik dan lebih 'sahih' rujukannya. Apatah lagi dikalangan golongan atasan dan ilmuan, ramai sekali 'guru2' yang arif dan yakin dengan 'ilmu' yang dibawanya. Dan lebih menyiksakan jiwa bila ramai yang mendakwa apa yang telah saya amalkan untuk sekian lamanya tidak menepati 'kesempurnaan' tuntutan ibadah. Lebur rasa jiwa bila pendidikan fiqh Al Imam As Syafi'i yang menjadi teras dalam ibadah tiba2 diklasifikasikan sebagai lemah. Dan lebih sedih lagi, 'guru2' ini membawa rujukan ilmiah yang 'lebih' sahih dan diterima ramai. Diri sendiri menjadi rungsing sebentar,,, mencari kefahaman dengan ujian Allah yang didatangkan ini.... diizinkanNya, insyaallah saya kongsikan bersama pengalaman diri mengharungi onak dan duri dalam mencari Cinta..semoga dapat membantu kepada yang perlu


Catatan Selanjutnya...