Showing posts with label solat. Show all posts
Showing posts with label solat. Show all posts

Tuesday, June 30, 2009

Untung Isteri Cantek - panduan memilih imam

Dalam edisi kelas fardhu ain yang terkini (murid-murid tua belajar silibus kanak-kanak), Ust Nazmi membariskan sepintas lalu syarat-syarat untuk seseorang boleh di pilih untuk menjadi imam solat, atau memilih diri sendiri untuk menjadi imam.

Rupanya, criteria untuk melayakkan diri sebagai seorang imam itu bukan setakat bacaannya betul (spt dalam banyak kes), ada 6 syarat yang dibariskan Ust sebagai kriteria untuk memilih seseorang menjadi imam.

Dalam banyak keadaan, kita cuma perlu kriteria pertama dan sudah memadai untuk memilih imam. Tapi bayangkan, jika ada 5 orang lelaki, hebat2 belaka, dalam satu qariah, masing2 mempunyai kekuatan mereka sendiri, bagaimanakah kita memilih imam yang akan menerajui solat berjemaah?

6 garis panduan untuk memilih imam adalah seperti berikut;
1. Qariun - bacaan al-Qur'annya betul (bukan sedap lagunya, tapi betul tajwid dan cara bacaannya). Ada juga org yang bunyi bacaannya mendayu2 tapi tak kena tajwid.. Patutlah semasa belajar tajwid di masjid, pak imam (guru) akan meminta (paksa rela) murid2 membaca dengan kuat, sorang-sorang, dan murid2 lain mendengarnya, sambil tu pak imam bagi komen, chorus tak betul, pitching nuuunnn pendek, nafas sesak, etc. Sebenarnya, itu sebagai endorsement untuk pak imam kenal siapa yang dia boleh tarik untuk menggantinya jika perlu.

2. Faqih - jika ke semua 5 calon lulus kriteria-1, kena tengok pula siapa di antaranya yang paling arif, tinggi ilmu Fiqhnya. Baru tahu siapa yang paling mahir hal-hal batal, sah, makhruhnya.

3. Paling elok pekerjaannya. Mengikut Ustaz, definasi 'paling elok pekerjaannya' adalah orang yg bekerja dengan tulang empat keratnya (i.e petani, penoreh kot). Kalau di bandar2 (mana ada petani, penoreh getah), kena pilih siapa yang paling baik kerjaanya (kurang syubhah etc)

4. Paling sedab bacaannya di antara kelima yang tercalon tadi selepas 3 kriteria pertama semuanya seri, sama2 hebat.

5. Paling tampan wajahnya. Jika setelah dibanding kesemua kriteria di atas, masih seri, imam hendaklah dipilih siapa yang paling tampan. Saya kurang pasti kenapa (masih mencari), mungkin juga mencari definasi wajah tampan,,,,perasan tak tampan lah ni. Tapi ini semua Ciptaan Allah belaka, cuma ini kan pengajian, mesti ada sebabnya.

6. Sekiranya, selepas di timbang kira kesemua ke lima2 prasyarat di atas, masih tidak dapat membuat keputusan, maka kriteria terakhir yang di ambil kira di pilih untuk menjadi imam lelaki yang mempunyai isteri paling cantek. Time ni kesemua para suami mithali ketawa, senyum, senggih, atas pelbagai sebab. Mungkin ada yang terasa isterinya paling cun, cantik, anggun. Iye lah, siapa yang tak rasa isterinya lawa? Bila ditanya kenapa perlu ada kriteria ke-6 ini, jelas Ustaz, menerusi satu cerita.

Katakan, si Ahmad ni, dalam perjalanan ke masjid tadi terserempak dengan seorang wanita cun, anggun, cantek di matanya. Ada kemungkinan si Ahmad akan terbayang dan terlintas dalam solatnya, menjadikan solatnya tidak kusyuk. Tetapi, sekiranya si Ahmad yang dilantik menjadi imam solat berjemaah itu mempunyai isteri yang cun, anggun dan cantek, maka wanita yang dia terserempak dalam perjalanan ke masjid tadi tiada sedikit menggugat perasaannya, kerana si isterinya lagi menawan hatinya, dan kuranglah kemungkinan berlaku lintasan berkaitan dalam solatnya.

Waallahualam.



Catatan Selanjutnya...

Thursday, June 04, 2009

B2B Nota : Hal - Hal Solat

Menyambung kembali siri Back-to-Basic (B2B) dalam kehidupan harian, kali ini bab-bab solat yang sempat saya catat dari kuliah mingguan dengan Pak Imam Masjid di kampung perumahanku, Ust Yaakob (aka Guru Tajwid, tempat soal jawab hal-hal rumah tanggan, dan pakar tukang masak kari kambing malam Jumaat :-) ).

Kepada kalian yang sudah mahir, arif dalam hal-hal solat mungkin catatan ini tiadalah sebarang perkara baru, tetapi pada pemerhatian saya banyak yang dicatatkan ini dilakukan oleh ramai tak kira orang tua, remaja dan kanak-kanak, baik lelaki atau perempuan. Tidak lah pula saya mahu catatkan hal-hal syarat wajib, syarat sah mahupun rukun solat yang sudah kita pelajari semasa di kelas Fardhu ain dulu, tetapi perkara-perkara yang boleh membatalkan solat kita, yang jika diperhatikan ramai yang terbuat yang demikian.

Diantaranya, adalah disyaratkan membaca takbiratulihram DAN segala bacaan rukun yang lain di dalam solat secara didengari oleh telinga sendiri dan dalam suasana yang tidak bising. Maka jika disebutnya dengan perlahan secara kumat-kamit bibir macam orang berbisik nescaya tidak memadai... cuba perhatikan sekalian ramai yang bersolat jemaah, datang terus angkat tangan, qiam dengan sunyi sepi lantas ruku'...

Juga bacaan Al-Fatihah, tidaklah boleh diselang-selangkan ayatnya dengan bacaan yang lain seperti mengucap Alhamdulillah ketika terbersin kecuali bacaan Amin kerana bacaan Al-Fatihah imamnya, yang perlu dibaca berturut selepas imam dan tidak diselang dengan diam yang lama.

Demikian juga dengan berdehem-ehem-ehem, atau menangis, atau menghembus nafas melalui mulut atau hidung sekira-kira berbunyi dua huruf maka batallah solatnya, kecuali ada yang sakit maka tiadalah batalnya. Mengikut kitab Idaman Penuntut tulisan Hj Abdul Ghani Hj Yahya 1983, jika bercakap dengan tidak tersengaja umpama terlupa akan dirinya sedang solat atau tidak tahu akan hukum hakamnya dan percakapanya sedikit tidak melebihi 6 perkataan maka tiadalah batal solatnya. Tapi bila kita berjemaah, terutama Subuh, berapa ramai yang asyik-asyik ehem-ehem meng'clear'kan kerongkong berjelebu waktu pagi. Diperhatikan bahawa ada seorang muslimah ini tidak akan lupa untuk berdehem-ehem setiap pagi semasa solat subuh, sehinggakan para muslimin tahu akan hadirnya dia...

Begitu juga dengan perbuatan mengerakkan anggota-anggota besar seperti tangan, terutama untuk menggaru-garu kepala, belakang, tengkuk dsbnya, berulang-ulang tiga-kali juga membatalkan solat seseorang. Adapun perbuatan yang banyak semasa bersolat di atas belakang kuda (atau unta), dalam kenderaan, dalam kapal terbang dsbnya adalah dimaafkan.

Begitu juga apabila terbuka aurat yang termaklum dalam solat jika dibuka dengan sengaja atau tersalah buka sekalipun oleh kanak-kanak yang belum mumaiz dan sekalipun ditutup dengan segera. Adapun terbuka aurat disebabkan tiupan angin (maklum sekarang musim panas, ada yang solat dengan pintu terbuka) dan ditutup dengan segera pada kadar jangka tumakninah, dan tidak berulang-ulang, maka tiada batal solatnya.

Demikian juga, batal solat seseorang itu jika berubah niatnya spt niat keluar dari solat atau berbelah bagi hendak keluar atau terus solat seperti bila telepon berdering atau door-bell ditekan. Katakan terdetik dalam hati, jika h/p bunyi aku akan berhenti sembahyang, maka batallah solatnya sekalipun h/p tidak berdering semasa solatnya... Nak selamat, bila solat, h/phone tiadalah dalam poket atau paling tidak letaklah silent mode tanpa bergetar...

Seterusnya (tapi ini jarang-jarang berlaku), batal solat seseorang jika niat hendak tukar spt solat zuhur dengan sengaja hendak ditukar niatnya menjadi asar (pelik tapi mungkin berlaku), KECUALI jika solat fardhu hendak ditukar kepada solat sunat mutlak dengan sebab hendak solat berjemaah yang akan didirikan (tengah2 solat zuhur sorang2 tetiba ada orang baru nak mulakan solat jemaah), maka ia boleh potong solatnya tadi menjadi dua rakaat dengan diniatkan solat sunat dan beri salam. Dan dia sertai jemaah baru untuk solat berjemaah, inilah yang lebih baik sekiranya masa masih lapang lagi.

Kerap juga ditanya berkenaan makan makanan yang terlekat celah2 gigi. Adalah batal solat seseorang jika ia makan meskipun makanan yang lekat celah2 gigi seperti biji bijan atau gula pasir, digigit dan ditelan dengan sengaja, termasuk juga menelan KAHAK melainkan kerana jahil akan haramnya atau terlupa. Inilah faedahnya sunat yang dituntut untuk bersugi, bersuci, gosok gigi sebelum solat...

Dan yang terakhir, yang biasa diperhatikan, dilakukan oleh sesetengah ahli jemaah yang bersolat jemaah, mereka yang memanjangkan rukun yang pendek dengan sengaja sehingga makmum ketinggalan dari pak imam sampai habis dua rukun. Bila imam sudah hampir hendak turun sujud, si makmum masih belum rukuk... Waallahualam


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, May 26, 2009

B2B Notes - bacaan Qunut

Semalam, guru ilmu Hadits membuat satu wake-up call untuk semua dengan bertanya soalan yg agak2 basic tapi dengan kezutan kerana soalan didatangi tanpa amaran. Soalannya amat mudah namun, kerana ketidak pekaan kita kepada perkara2 basic, maka ramailah kalangan penuntut yg tunduk tersipu2 malu, mengalahkan anak dara sunti bila dipinang anak penghulu, tunduk sipu2.
Soalannya,,,, sekarang ini kita dalam bulan apa dalam kalendar Hijrah? Selepas bulan ini bulan apa pula? dan bila bulan kewafatan Baginda Nabi s.a.w? Aduhai..... ramai yg terpinga2, bila diajukan soalan2 sebegini. Cuba tanya soalan yg complex sikit spt bulan berapa Hari Ibu, Hari Kekasih, Hari Karnival Beli Belah ke... ish ish ish Ustaz nih!....

Selepas semalaman berfikir mengenai perkara soalan basic tadi, maka terpanggil saya untuk membuat catatan siri baru dicatatkan sebagai B2B Notes (atau Back To Basic Notes) untuk peringatan diri mengenai perkara2 simple yg saya ambil mudah, spt tak berapa penting walhal ianya spt pelengkap amalan harian,,, i.e makna2 bacaan dalam solat, surah2 lazim dan maknanya, perkara2 yg biasa terbuat yg boleh membatalkan solat, perkara2 sunat yg ditinggalkan dalam solat, amalan2 kecil tetapi sgt bermakna dalam perhubungan sesama manusia etc..


Saya nak mulakan dgn B2B Note - makna bacaan Qunut. Sudah tentu ramai yg sudah arif, masak dgn bacaan Qunut (biarlah ada sesetengah golongan yg anggap bacaan Qunut tiada dalam amalan solat cara Nabi s.a.w - kita tetap dgn amalan mengikut mazhab Imam As-Syafi'i). Saya kekadang tidak teringat makna doa Qunut yg dibaca setiap pagi dalam solat subuh, jadi ada baiknya untuk diri sendiri agar saya notakan makna doa Qunut di sini;
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, March 31, 2009

Berwangi-wangian bila solat

Pengalaman semasa berasak2 dalam saf2 yang ketat dan amat rapat bersama2 dengan ribuan jemaah lain semasa di Baitullah baru2 ini mengingatkan saya kepada betapa rehat dan selesanya kita bila berjemaah di masjid taman rumah ataupun di masjid negeri semasa Jumaat.

Teringat pada satu Hadits dari himpunan Bukhari yang bermaksud;

"Telah bersabda Baginda Rasulullah s.a.w, tidak mandi seseorang lelaki pada hari Jumaat dan bersuci sebolehnya daripada bersuci dan berwangian dari rumahnya, kemudian ia keluar, maka dia tidak memisahkan antara dua orang kemudian ia bersolat apa yg difardhukan kepadanya, kemudian ia diam apabila berkhutbah imam, melainkan diampunkan baginya antara dengan Jumaat yang lain."

Jadi, berapa ramai di antara kita yg bersungguh2 menyucikan diri, berwangian dan mengenakan pakaian istimewa semasa melangkah ke masjid pada hari Jumaat? Malang sekali, untuk ke parti, kenduri kendara, dating, bersukan dsbnya, kita akan kenakan pakaian khas. Namun untuk Jumaat, yang menjadi pakaian pejabat itulah juga pakaian solatnya. Kekadang, dalam keadaan berpeluh dan membebaskan pelbagai bau yg kurang enak ... :-(

Terlintas difikiran satu lagi Hadits dari susunan Al Bukhari Muslim yang bermaksud; "sesiapa yang makan dari pokok ini (bawang putih) maka jangan hampiri masjid kami."

Kalau bau bawang putih pun di mulut sudah ditegah Nabi s.a.w untuk menghampiri masjid, bagaimana pula dengan bau kita yang kekadang menyebabkan orang di kiri dan kanan menjadi tidak selesa.

Kesimpulannya: jika keadaan mengizinkan, kenakanlah pakaian yg istimewa bila ke masjid untuk berjemaah, dengan wangian yang sesuai mengikut syarak, dgn tujuan kerana taat kepada perintah Allah dan RasulNya.


Catatan Selanjutnya...

Saturday, March 14, 2009

Rediscovery Diri - Log Numero 2

Untuk n3 kedua dalam siri Rediscovery Diri ingin saya kongsikan pengalaman sendiri dalam mencari pendidikan semula untuk 'mendirikan' solat. Umum telah maklum tentang kedudukan solat dalam tuntutan diri sebagai seorang hamba Allah, dan tidak lah perlu dihuraikan lagi.

Dalam melengkapkan diri untuk mencari 'kesempurnaan' solat, rujukan pertama yang saya gunakan, sebaik sahaja mendapat pendidikan dari Imam masjid, ialah kitab Al Umm, Al Imam Asy Syafi'i r.a. Tiada sebab lain melainkan inilah Imam Fiqh ulung, dan yang telah diputuskan oleh pemerintah negara sebagai teras mazhab ikutan ramai di bumi Malaysia.


Segalanya berjalan lancar sehinggalah selepas beberapa kunjungan saya ke pusat pengajian Islam di satu kawasan perumahan elit di bandaraya. Saya katakan elit kerana kebanyakkan yang berkunjung ke sana berkereta yang harganya hampir sama dengan harga rumah saya. Namun, menjadi kejutan bila hampir kesemua jemaahnya mendirikan solat dengan khaifiat2 sunat berbeza dengan yang biasa saya amalkan. Saya mengaku, ketika solat zuhur itu, sering saya terganggu dgn kelainan khaifiat yang mereka amalkan dalam menyempurnakan perkara2 sunat semasa solat. Menggagahkan diri maka saya bertanya kepada yang memimpin solat lalu dikenalkan saya dengan buku di bawah ini, yang menjadi sumber inspirasi pengajian 'kesempurnaan' solat mereka. Rupa2nya, sudah lama perkara ini tersebar cuma saya je yg dulu leka di zone 'selesa' saya.

Tiadalah saya mahu mempromosi buku ini. Dan telah saya mendapat penjelasan dari seorang tokoh Ulama Nusantara yang saya kagumi (Dr M.Uthman El Muhammady) dalam hal ini. Nasihatnya kepada saya untuk tidak mengelirukan diri dan terus setia dengan ajaran ahli Sunnah wal Jamaah. Pesannya lagi, perkara2 ini telah dibahas, kupas dan dipersetujui di Nusantara berpuluh2 tahun yang lalu. Ditegaskan oleh Dr M. Uthman untuk saya tetap dengan Al Umm saya. Nasihatnya lagi, biarkanlah yang lain2 itu (yang bukan dari Sunnah wal Jamaah) berlalu dengan tidak disedari. Maka, berhati-hatilah dengan apa yang dibaca dan dirujuk.

Kesimpulannya: tiada jalan pintas dalam mencari 'pendidikan', yg lebih luas jika dibandingkan dengan pembelajaran. Kerana yang 'terdidik' itu akan kekal istiqamah dan yang 'terpelajar' itu kekal dengan pengetahuannya...


Catatan Selanjutnya...

Thursday, March 05, 2009

Lihatlah Kerdilnya Kita

Dapat beberapa keping pic ni dari rakan lama sekolah. Sahih ke tidak tak sempat pulak check fakta sainsnya. Cuma tertarik dengan pengajaran yang kita boleh simpulkan sendiri, berlandaskan firman2 Allah dalam Al Qur'an berkenaan perkara ini.
Harap2 lepas ni, bila angkat tangan untuk takbir dan solat, ingat2lah betapa kerdilnya kita dan gerunnya bila ingat kebesaran yang Mahamencipta...



Dalam scala di bawah, Jupiter adalah sekecil 1 pixel dan bumi sudah tiada kelihatan dek mata kasar
Dan ini bukanlah penghujungnya, cuma penghujung kepada pengetahuan manusia sahaja
Dan kesemuanya adalah di bawah pengawasan dan pengurusan Allah 'Azza wa Jalla


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, March 03, 2009

Wanita Menjadi Imam Kepada Lelaki

Bagi menjelaskan satu isu lama yang baru2 ini cuba lagi diketengahkan oleh beberapa pejuang2 liberalsasi hak, suka saya catatkan satu petikan dari Kitab Al Umm (Kitab Induk) Al Imam Asy Syafi'i r.a (Jil 1 ms 356) dalam membicarakan hal keimaman wanita bagi lelaki.
"Adalah wanita mengerjakan shalat sebagai imam dengan kaum lelaki, kaum wanita dan anak-anak kecil yang laki-laki, maka shalat kaum wanita itu memadai, tetapi shalat kaum lelaki dan anak-anak kecil laki-laki itu tidak memadai, kerana Allah 'Azza wa Jalla menjadikan kaum lelaki itu pemimpin atas kaum wanita, dan IA menyingkatkan kaum wanita daripada menjadi wali"...


Jadi perkara-perkara sebegini rupa tidak sepatutnya dibangkitkan dengan langkah2 seperti dalam photo. Adalah dipercayai langkah2 liberasasi ini merupakan satu langkah awal untuk satu projek besar yang akan dititip secara halus dalam masyarakat Islam sehingga misi akhir mereka ini tercapai.

Kesimpulannya: (1) walau se-liberal manapun kita nak tuju, perkara-perkara hukum hakam yang telah jelas dijelaskan dalam Al Qur'an dan Hadits atau yang telah dipersetujui oleh jumhur ulama', maka logik akal tidak boleh diguna pakai sebagai penggubal hukum. (2) perlunya kita mantapkan ilmu agama dalam jiwa, jiwa anak2 dan ahli keluarga bagi menghadapai cabaran2 mendatang yang datang secara halus, tidak disedari dan tanpa diduga.


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, February 24, 2009

Kusyuk dalam solat - tambahan ilmu

Aku menyebut dengan nama Allah yang Mahapemurah lagi Mahapenyayang.

Akhir-akhir ini pelbagai persoalan yg timbul dalam benak fikiran bila didedahkan dengan pelbagai hal2 yang baru dalam solat.

Pendedahan baru ini didatangkan dalam bentuk ilmiah, dengan kitab2 rujukan dan petikan2 hadits yang disanadkan oleh pembawa sebagai sahih. Selalunya semua sesi2 kuliah yang diikuti akan dibukakan dengan unggakap 'datanglah dengan minda terbuka' atau 'amalan2 ini bukan perkara baru cuma di tanah air kita ini pendedahannya agak terhad'.

Pendedahan baru ini nampak seperti perkara kecil, hal2 khaifiat dalam mengerjakan solat, seperti bagaimana kita melakukan perkara2 sunat dalam mencari kesempurnaan bersolat. Pada mulanya begitulah cara pemikiranku. Ini cuma hal kecil2, selagi tidak melanggar rukun2 dalam solat, dan tiada perbezaan aqidah, maka biarlah perkara ini datang sebagai ilmu baru dan jika tidak dpt diterima maka biarlah ianya berlalu.

Namun, akhir2 ini perbezaannya semakin ketara. Sampai kepada perkara2 sunat Ab'adh seperti membaca qunut. Tidaklah dapat difahami bagaimana segelintir jemaah yang bertegas bahawa bacaan qunut dalam solat subuh berjemaah adalah tidak perlu. Maka mereka cuma berdiri tegak semasa imam membaca do'a qunut. Bukankan berjemaah itu syaratnya ialah mengikut imam? Pusing bila ku fikirkan terus bagaimana perkara kecil ini boleh memporak perandakan jemaah yang baru sahaja ada tanda2 pertambahan ahlinya. Walaupun sesetengah pendapat mengatakan bahawa bacaan qunut dalam solat subuh kebiasaan bukanlah sesuatu yang perlu untuk kesempurnaan solat, tetapi bila berjemaah kan perlu ikut imam? Melainkan jika pak imam itu sendiri yang memilih untuk tidak membaca qunut dan tidak pula sujud sahwi maka lainlah ceritanya.
Begitulah dilema kita hari ini, dengan kemudahan komunikasi maka penyebaran agama menjadi lebih meluas, cepat dan dengan banyak rujukan ilmiah. Segelintir kita yang masih dengan amalan yang telah kita amalkan sekian lama (dari KAFA), maka apabila pendedahan baru dibuat dengan cara sekerat2 maka timbullah keraguan dan persoalan. Padahal, seluruh umat yang mendirikan solat hanya dengan satu tujuan, mencari keredhaan Allah. Namun, banyak masa kita habiskan untuk berdebat berkenaan hal2 khaifiat..yang kekadang memang mengelirukan...
Hanya Allah yang Mahamengetahui


Catatan Selanjutnya...

Friday, February 13, 2009

Solatku masih di takuk ini

Solatku...

yang saban hari cuba ku lakukan seawal waktu
yang saban waktu ku lakukan bersama teman2ku
yang saban kalinya kulakukan mengikut ilmuku
yang saban kalinya kuzahirkan semampuku.

Solatku, jauhlah lagi dari solat Saidina Ali k.w yang bila mana betisnya terkena panah musuh semasa perang, lalu beliau solat dan sabahat lain mengeluarkan panah tanpa Saidina Ali k.w merasakan peritnya. Solatku, tiadalah layak menandingi solat Saidina Uthman r.a yang mengkhatamkan satu Al Qur'an dalam qiamnya.

Solatku, hanya penuh dengan cacat dek lekaku kepada dunia. Hanya tempang dek ceteknya ilmu akhiratku. Hanya daif dengan lamunanku, melayani bisikan dan lintasan syaitan celaan Allah. Solatku, mungkin seumpama sebutir pasir hitam di tengah-tengah jutaan pasir2 lain di pantai.
Ya Rabbi, bantulah aku dalam menyempurnakan solatku seperti tuntutanMu. Bantulah aku untuk mencapai solat para solehin. Dalam lafaz kesyukuranku terhadapMu dengan nikmat kehidupan dunia yang Engkau berikan, aku mohon kepadaMu, bantulah aku mencapai solat yang akan memberkati hidupku dan mencegah aku daripada melupakanMu dengan izinMu...

Solatku, hanyalah untuk satu tujuan, seumpama juga hidup dan matiku, hanyalah untuk mendapat keredhaanMu. Maka terimalah solatku sebegini rupa dan akan ku perbaiki solatku selagi Engkau meneruskan kehidupan duniaku, menggunakan nikmatMu.

Sesungguhnya, Engkau Tuhan Pencipta yang Mahamengetahui apa2 yang aku zahirkan dan apa2 yang aku sembunyikan. Amin


Catatan Selanjutnya...

Friday, January 30, 2009

Mendekati untuk mendapat CintaNya

Di antara cara untuk membantu kita dalam bermujahadah melawan syaitan adalah dengan melakukan ibadah wajib secara benar, kemudian menyempurnakannya dengan ibadah sunat. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam satu hadith qudsi yang bermaksud:


" Hamba-Ku yang mendekat kepadaKu dengan sesuatu, lebih Aku cintai daripada Apa yang Aku wajibkan kepadanya. Dia sentiasa mendekatkan diri kepadaKu dengan melakukan amalan2 ibadah sunat sehingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengarannya yang digunakan untuk mendengar, Aku adalah penglihatannya yang digunakan untuk melihat, Aku adalah tangannya yang digunakan untuk memegang, dan Aku adalah kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia mohon kepadaKu , nescaya Aku akan memberikannya. Jika dia berlindung kepadaKu, maka Aku akan melindunginya.


Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari segala fitnah sama ada zahir mahupun yg batin. Semoga dapat dipermudahkan aku dalam aku mengerjakan amalanku kepada Mu.

sumber: Mukmin Fathi Al Hadad - Perbaharui solat anda


Catatan Selanjutnya...

Thursday, January 29, 2009

Bila kita yang tandus

Memang orang kita agak extreme bila beribadat. Apa2 je amalan yg dibuat orang lain yg agak2 berbeza dengan cara kita, terutama dalam solat, kita akan labelkan pengamal tersebut sebagai ajaran songsang, salah, tidak sah dan sebagainya.
Pernah diberitakan ada jemaah umrah yg diminta oleh pak mudir yg membawa mereka untuk bersolat semula di bilik2 hotel selepas selesai solat berjemaah di masjidil Haram, hanya kerana pak imamnya tidak kedengaran membaca Bismillah semasa membaca Al Fatihah dalam solat Maghrib dan Isya'. Padahal mungkin bacaan Bismillah nya dibacakan secara perlahan seperti yg juga disunnahkan oleh Baginda Nabi s.a.w.
Adakalanya bila berjemaah di masjid, bilamana ada sesiapa dari jemaah yg terus bangkit bila selesai memberi salam tanpa duduk bersama berwirid dan berdoa' bersama imam, ada sahaja mata2 tajam yg memerhatikan dan mempersoalkan tindakkan jemaah tadi. Kononnya tidak hormat dan terlalu gopoh meninggalkan jemaah. Padahal yg menjadi rukun kepada makmun apabila berjemaah bersama imam adalah hanya sehingga salam sahaja.

Ada juga yang melabelkan sekian2 ustaz ini bida'ah, yg itu bida'ah, hanya kerana amalan mereka agak berbeza dengan apa yg kita amalkan sekian lama, dan lain dari apa yg kita pelajari semasa di KAFA dahulu. Dengan ilmu cetek kita, memanglah keterbatasan dalam amalan2 kita ini ketara. Sebagai contoh, dalam bab2 solat; Jika kita tidak mendalami kitab2 yg memperhalusi cara2 solat Rasulullah s.a.w dan sunnah2nya maka mana mungkin kita akan didedahkan dengan kepelbagaian yg di sunnahkan Baginda s.a.w. Mana mungkin kita akan didedahkan dengan 5 cara membaca salam dalam solat yg Baginda amalkan. Dengan hanya berbekalkan ilmu semasa di KAFA, mana mungkin kita didedahkan dengan beberapa doa' iftitah, beberapa cara mengangkat tangan semasa bertakbir yg Baginda s.a.w amalkan, dsbnya. Dan dengan ketandusan ilmu yg ada, dengan sempitnya ilmu yg ada, kita menjadi sangat mudah untuk menjadi prejudis kepada org2 yg melakukan sesuatu amalan termasuk dalam cara2 solat, sebagai amalan bida'ah, salah, songsang, etc.
Dengan ketandusan, kesempitan dan ceteknya ilmu inilah juga kita sentiasa menjadi extreme dan mudah menghukum cara org lain beramal, sedangkan yang menjadi pokoknya ialah bagaimana cara untuk kita menambahkan kekuatan ummah dengan membawa lebih ramai ahli2 untuk datang ke masjid berjemaah. Kerana ketandusan ilmu jugalah yg membuatkan kita senang untuk dipengaruhi oleh anasir2 jahat, yang beragenda, yg cuba menanamkan sikap buruk sangka, kepada rakan2 seagama, kekadang melampaui sikap buruk sangka kita kepada musuh Islam itu sendiri. Bayangkan, dek kerana sempit dgn satu cara amalan solat sahaja, kita dgn senangnya akan menghukum tidak sah itu dan tidak sah ini bila yg dilakukan org itu berbeza dgn cara kita. Bayangkan bilamana jika kita bermusafir ke India, Pakistan, Algeria atau ke Saudi, dengan berlainan pegangan Mazhab, adakah kita tidak akan menyertai mereka dalam solat berjemaah?
Sebagai peringatan untuk diri sendiri, jangan kita mudah membuat hukuman ke atas amalan org lain yg agak berbeza dengan cara kita. Dan dalam masa umur yg berbaki ini, rajin2lah mendalami ilmu untuk meningkatkan kefahaman dalam amalan harian.


Catatan Selanjutnya...

Friday, January 16, 2009

Nak Makan ke Nak Solat?

Dalam pengajian Fiqh, ada satu persoalan mengenai penyediaan diri untuk solat dan mendapat kyusuknya. Satu soalan specific timbul untuk mendahulukan yang mana di antara solat atau makan atau ke tandas untuk melegakan diri.
Dalam banyak2 rujukan satu Hadits dipetik dari Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0512 yang diterjemahkan spt berikut; Dari Ibnu 'Atiq r.a., katanya;
"Pada suatu ketika aku bercakap-cakap dengan Qasim. Dia seorang yang lahan (kurang tersusun tutur katanya) dan ia anak satu-satunya bagi ibunya. 'Aisyah bertanya kepadanya, "Mengapa kamu tidak dapat bicara seperti anak saudara ku ini? Aku tahu sebabnya. Ini dididik oleh ibunya dan kamu dididik oleh ibumu." Qasim marah dan jengkel kepada 'Aisyah. Tatkala dilihatnya 'Aisyah menghidangkan makanan, dia pergi. Maka kata 'Aisyah, "Hendak ke mana kamu?" Jawab Qasim, "Aku hendak pergi solat." Kata 'Aisyah, "Duduklah dahulu!" Jawab Qasim, "Aku hendak pergi solat." Kata 'Aisyah, "Duduklah dahulu! Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: Tidak sempurna solat seseorang apabila makanan telah dihidangkan, atau apabila dia didesak buang air besar atau kecil."
Cuma ustaz yang mengajar itu mengingatkan dalam kes2 yg special seperti bilamana waktu solat tinggal lagi ciput2 (yg mungkin berlaku kepada sesiapa yg belum dpt kemudahan solat pada awal waktunya), maka solat fardhu adalah didahulukan daripada yang lain2.
Salam Jumaat
Hanya Allah yang Maha Mengetahui


Catatan Selanjutnya...

Saturday, January 10, 2009

Jom ke Saf No -1 !

Sering kali kita lihat saf2 di baris hadapan dalam apa2 majlis ilmu, seminar, perhimpunan dsbnya akan menjadi pilihan terakhir untuk kita serbu. Berlainan sekali dengan keadaan apabila ada idola kita yg membuat persembahan, atau ada pasukan EPL yang datang membuat road tour maka penuhlah sesak orang berasak2 untuk memenuhi barisan paling hampir dengan idola2 mereka sehingga ada yang akan sanggup dihimpit dan menghimpit org lain, tak kira betapa masam bau peluh masing2, hanya untuk memenuhi keinginan untuk mendapat 'aura' sibintang.

Begitu juga dengan halnya bila kita perhatikan dalam hal saf paling depan semasa solat berjemaah. Fenomena ini hanya penulis perhatikan di Malaysia. Semasa di Saudi dahulu, memang orang2 di sana akan cuba sedaya upaya untuk menempatkan dirinya di saf paling depan, apalagi jika di Masjidi Haram atau Masjid An Nabawi di Madinah. Di Malaysia, kita orang Melayu yang penuh tebal dengan sifat sopan santun lemah lembut ini akan memberi laluan kepada org lain untuk ke depan memenuhi saf depan dan kita akan selesa berada di belakang, dan paling best kalau dapat bersandar ke dinding di sudut tepi pintu untuk cepat2 keluar bila selesai majlis ilmu.
Padahal, ganjaran untuk berada di saf hadapan itu adalah sangat besar dan tinggi seperti yang diriwayatkan dalam Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
"Seandainya manusia mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak mendapatkannya kecuali dengan cara mengundi di antara mereka, sudah tentu mereka mahu mengundi. Seandainya mereka mengetahui kelebihan takbir iaitu menyegerakan sembahyang, sudah pasti mereka akan berlumba-lumba mendapatkannya dan seandainya mereka mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam sembahyang Isyak dan sembahyang Subuh, sudah tentu mereka akan mendatanginya meskipun secara merangkak "
Sahih Muslim No 661


Catatan Selanjutnya...

Friday, January 09, 2009

Hari Jumaat - Tafsir Hadits

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0476.

Salman Al Farisi r.a. mengkhabarkan, bahawa Nabi saw. bersabda:
"Siapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian dia membersihkan tubuhnya sedapat-dapatnya, setelah itu dia memakai harum-haruman, kemudian pergi ke Jumaat, tidak memisahkan dua orang (yang duduk berdekatan), kemudian solat sebanyak mungkin, dan diam apabila imam telah berkhutbah, nescaya diampuni Allah dosanya semenjak itu sampai Jumaat yang akan datang."
Semoga amalan ini akan terus menjadi amalan berterusan. Amin


Catatan Selanjutnya...

Sunday, December 28, 2008

Solat Berjemaah - di manakah tempatnya dalam kehidupan

Sempena penghujung tahun 1429H dan membuka tirai 1430H sampailah masa untuk kita membuat self-check berkenaan perkara ini: iaitu solat berjemaah samada di masjid2 atau di surau2 di kawasan masing2. Ramai di kalangan kita (termasuk penulis yang daif ini) mengambil mudah perihal solat berjemaah bersama2 qariah yang lain dan kekadang meringankan tuntutan berjemaah hanya kerana tuntutan hal2 peribadi serta hal rumah tangga mendahului kepentingan solat berjemaah di masjid / surau. Ada juga yang berjemaah berdua atau bersama ahli keluarga di rumah, katanya lebih selesa. Moga2 selepas ini, keinginan serta darjat kepentingan untuk berjemaah di masjid / surau akan lebih meningkat, melebihi kepentingan memenuhi tuntutan2 yang lain.


Bagaimana yang kita sedia maklum, seorang hamba wajid memelihara solatnya dan berusaha untuk memperbaikinya setiap kali menunaikan kewajiban tersebut. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 43 yang bermaksud:


“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk”


Apabila diperintahkan untuk rukuk bersama2 orang2 yang rukuk maka perintah untuk berjemaah itu adalah sangat jelas maksudnya. Sehinggakan dalam surah An-Nisa ayat 102, Allah berfirman lagi yang ertinya:


“Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.”
Terjemahan Al Qur’an dari - Sakhr International

Berkali2 sudah kita diingatkan bahawa tiadalah seseorang yang menyempurnakan wuduknya kemudian berangkat ke masjid, kecuali Allah akan menuliskan baginya satu derajat serta dengannya pula dihapuskan darinya satu kesalahan - Hadits Riwayat Muslim, kitab Al-Masajid 257, 654.
Walaupun sudah di ketahui faedah2nya solat berjemaah di masjid/surau, masih ramai di antara kita termasuk penulis yang masih belum memenuhi tuntutan solat berjemaah tersebut kerana kesedaran diri sendiri yang masih rendah tentang kepentingannya. Moga2 selepas ini perkara ini akan dapat diperbaiki dan dikekalkan selagi nyawa dikandung badan.
Selamat menyambut maal Hijrah 1430H.


Catatan Selanjutnya...

Monday, December 22, 2008

Kita masih serumpun walau beda Bahasa

Setelah seminggu di bumi Indonesia, maka telah selamat pulang ke Shah Alam, tanggal 21hb Disember dengan selamat. Syukur.
Walaupun banyak dugaan dan perkara sulit yang menimpa, aku akur dengan ujianNya dan mengambilnya sebagai iktibar semoga menjadi lebih kuat, tenang, dan rendah diri. Selama seminggu itu banyak sekali yang ditempuhi; dari cirit-birit dek airnya yang kurang steril, ke krem, kejang, bengkak sana sini dek lama di kenderaan dsbnya, moga2 pengalaman ini menjadikan kita lebih terbuka. Bak kata pujangga Kawan Biar Beribu, Lawan Jangan pun ada Satu.
Dalam perjalanan ini sempat ku berjemaah sama-sama dengan saudara Indonnya, di Bandung dan di Jakarta. Walaupun tujuan dan asasnya hanya satu iaitu mengabdikan diri kepada Ilahi, namum caranya agak berbeda2 gitu. Kalau di Malaysia kita solatnya santai, ada setengah2 tempat yang disinggahi di Bandung, solatnya, waduh cepat sekali. Memang sukar untuk diikuti speednya jika dibaca seperti biasa. Walau apa2 pun, bila waktu Maghrib dan Isyak, bilamana makmun mengaminkan Al Fatihah, gemanya seperti bergoncang mussola walaupun bilangannya cuma lima atau lapan orang, lain sekali jika di Malaysia, kita malu2 je bila mengucap amin kecuali sewaktu solat Jumaat.
Satu lagi, mengikut pemerhatianku, mereka yang sempat ku bual, sangat mementingkan solat berjemaah, walaupun berdua, bertiga dan dalam perjalanan. Beza dengan kita, lihatlah di R&R, bila solat kebanyakkannya sendiri2. Mungkinkah ini yang membezakan kekuatan ikatan ummah sesama kita di sini? Itulah, dalam apa2 pun adalah bezanya walaupun kita ini serumpun.


Catatan Selanjutnya...

Monday, December 15, 2008

Betulkan yang Biasa

Setelah lama tidak mendapat peluang untuk menulis sebarang nota baru, syukur akhirnya dapat meluang sedikit masa untuk mencatit sedikit nota sebagai peringatan diri dan kepada sesiapa yang terbaca.

Terkenang pesanan kawan baru yang dikenali semasa cuti2 Malaysia bersama anak2 dan isteri baru2 ini. Katanya;

Biasakan dengan Perbuatan yang Betul dan,
Betulkan perbuatan yang Biasa.
Iyelah, kita kebiasaannya terlepas pandang mengenai perkara2 ini. Yang pertama, perlunya kita berilmu dalam melakukan sesuatu perkara terutama dalam bab2 ibadah wajib dan sunat. Almaklumlah, kebanyakkan dari kita ini tidak pernah mendapat pendidikan agama secara formal semasa dewasa. Kebanyakkannya mendapat pendedahan semasa zaman Kelas KAFA ataupun semasa umur kanak2, dan dituruti dengan ikut2 saja.
Betulkan yang Biasa tu merujuk kepada amalan2 harian spt solat, bacaan2 dalam solat, doa2 dan bacaan2 doa, tu biarlah dibelajar semula apa yang menjadi amalan harian dari dulu kalau belum pernah didedahkan dengan pendidikan formal semasa sudah dewasa.
Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu.


Catatan Selanjutnya...

Tuesday, December 09, 2008

Siri Perbaharui Solat - mencari kusyuk

" Berkerjalah kamu seolah-olah kamu mahu hidup seribu tahun, dan beramal ibadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari".

Kata2 para Sahabat yang dahulunya mengikut fahaman sendiri adalah kata2 untuk memberi perangsang bagi terus gigih berusaha dalam menjalankan tanggungjawab dunia seolah2 kita akan hidup lama, dan bila beramal ibadat, bersungguh2 seolah2 itulah peluang ibadat yang terakhir sebelum nyawa dicabut.Dalam usaha berterusan mencari dan mendalami ilmu kerohanian, aku didedahkan pula dengan pandangan yang lebih jauh berkenaan kata2 Sahabat di atas (sesetengah menotakan ia sebagai Hadits daif, namum buat masa ini aku belum dapat pastikan sumbernya).

Seorang ustaz telah memberiku perspektif baru untuk kata2 hikmah ini. Menurutnya, apabila kita menganggap hidup seolah2 masih tinggal 1,000 tahun lagi, kita akan akur bahawa kerja2 dunia ini akan datang silih berganti, tidak putus2 dan tiada penghujungnya. Maka bila kita sedar bahawa tuntutan duniawi itu tidak akan putus2 maka kuranglah kita akan terbelenggu dengan tuntutan tersebut dan lebih ringanlah kita untuk membebaskan diri buat seketika, apabila kita ingin melakukan amal ibadat bagi memenuhi tuntutan akhirat.

Sekiranya kita betul2 merasai bahawa kerja2 untuk kehidupan dunia ini tidak akan putus2 melawati kita lebih mudahlah kita meringankan bebanan fikiran untuknya dan dengan izin Allah lebih mudahlah kita mendapat kebebasan dari lintasan2 yang merosakkan solat kita untuk mendapat lebih tumpuan dan kusyuk semasa solat.

Semasa seorang anak Adam sedang bersolat, bisikan2 serta lintasan2 tidak akan putus datang mengganggu dan mencuri solatnya, sehingga ada masanya bilangan rakaat pun terlupa. Ada juga ketikanya semasa solatlah lintasan2 ini akan datang mengingatkan kita hal2 dunia yang masih belum beres, hal2 rumah tangga yang belum selesai, kunci kereta hilang dan sebagainya, hingga jadilah solat kita itu solat orang2 yang lalai.

Adalah dapat sedikit demi sedikit pedoman untuk lebih bebas dari lintasan2 dan bisikan2 semasa solat. Jika diizinkan InsyaAllah akan dicatatkan di waktu yang akan datang.


Catatan Selanjutnya...

Thursday, December 04, 2008

Tingkatan dalan Solat

Dalam mencari2 jalan untuk mendapat lebih ketenangan dari solat yg lebih kusyuk (berbanding dgn solat sekarang yg...alahai malu pada diri sendiri), terjumpa terjemahan kitab Ibn al-Qayyim: al-Wabil al-Sayyib, yang menyebut beberapa tingkatan manusia dalam solat.
Mengikut Ibn al-Qayyim, terdapat 5 tingkatan manusia dalam solat;
  1. Pertama: orang yg berbuat aniaya pada diri sendiri dan kurang ajar. Dia adalah orang yg tidak menyempurnakan wuduk, melalaikan waktu solat, syarat2 serta rukunnya.
  2. Ke-2: Orang yg menepati dan menjaga waktu solat, syarat, rukun dan wuduknya. Namun, dia melalaikan perjuangannya melawan was-was dan bisikan2. Maka, tenggelamlah dia dalam bisikan serta lamunannya.
  3. Ke-3: Orang yang menepati dan menjaga waktu solat, syarat, rukun2nya. Dia juga berjuang melawan was-was, bisikan serta lamunannya. Dia sibuk bermujahadah memerangi syaitan agar tidak mencuri solatnya. Pada yang demikian, dia solat seolah2 sedang berjihad.
  4. Ke-4: Orang yang, jika berdiri mendirikan solat, dia menyempurnakan hak dan ketentuannya. Hatinya hanyut dalam usaha menjaga ketentuannya serta hak solat agar tidak ada satu pun yg dilalaikan darinya. Semua usahanya dicurahkan untuk mendirikan solat sebagaimana mestinya. Dalam solat, hatinya temggelam dalam urusan2 solat dan penghambaan kepada Yang Maha Suci dan Maha Tinggi.
  5. Ke-5: Orang yang jika mengerjakan solat, hatinya penuh dengan cinta serta mengagungkanNya, seolah2 dia berdiri di depan Pencipta. Segala bisikan dan detikan di dalam hatinya kepada yg lain telah lenyap, sehingga terangkat hijab di antara dirinya dengan Tuhannya. Inilah solat paling agung dan utama di antara yg lain2. Solat yang sedemikian adalah melebihi keagungan segala yang ada di antara langit dan bumi.

Ibn al-Qayyim: al-Wabil al-Sayyib

Diterangkan lagi bahawa golongan pertama akan mendapat hukuman. Kategori ke-2, masih diperhitungkan. Kategori ke-3, menjadi penebus kesalahan2nya. Kategori ke-4 mendapat pahala dan kategori ke-5 mendekatkan dirinya dengan Tuhan, kerana itu merupakan balasan bagi orang yg menjadikan solatnya sebagai penyejuk jiwanya.

Sepertimana penyakit, adanya ubat, penawar dan tegahannya, begitulah solat, untuk mendapatkan solat yang terhindar daripada bisikan2 jahat ini, perlu kita mendapatkan ubat2nya, penawar serta menghindarkan diri dari perbuatan2 yg mendekatkan kita kepada bisikan2 ini. Sesungguhnya penyakit2 seperti was-was, lamunan yang menyebabkan kita terpaling muka, mata dan hati kekita solat amat sukar untuk dihindari apalagi diubati. Tetapi demi usaha untuk mencapai tingkatan solat yang lebih bermakna dari takat2 pertama dan ke-2 di atas, perlulah kita terus menerus berusaha.

Ada yang menyarankan saya untuk membuat check and counter check dari awal iaitu daripada kesempurnaan wuduk (dan semestinya mandi hadas besar), syarat2 dan rukun2 solat serta bacaannya dan maknanya. Dengan Izin Allah, saya akan meneruskan usaha B.A.S.S dalam hal ini..... Amin


Catatan Selanjutnya...

Thursday, November 20, 2008

Mengatur Kewajiban Solat


Dalam mencari2 rahsia mendapat nikmat kusyuk solat, teringat pula petikan dari buku Hidup di bawah Lembayung RahmatMu Tuhan oleh Sheikh Maqari' Hj Othman Hamzah - Bab 17 Mengatur Persiapan menunaikan Kewajiban Solat.

Senarainya agak panjang, inipun setelah diringkaskan sedikit2, dek kepenatan menaip. Ini cuma sebagai peringatan kpd diri sendiri , dan perlu diingat, perjalanan menuju ke arah mendapat nikmat kusyuk adalah satu proses, yang bukan mudah untuk mendapatkannya. So, sekiranya ada yg terkurang daripada ini, ianya bukan sebab untuk kita menjauhkan diri dari solat, dengan alasan kurang mendapat nikmatnya.

Bab 17 Mengatur Persiapan menunaikan Kewajiban Solat menyenaraikan spt berikut;

  1. Setelah bersih dan bersuci, berpakaianlah secara tertib dan teratur
  2. Hadaplah diri ke arah kiblat sambil berdiri tegak (bagi yg mampu) seolah2 berhadapan dgn pembesar.
  3. Berdoalah agar terhindar dari godaan2 syaitan.
  4. Tenangkan hati dan tenteramkan jiwa (lupakan perkara2 dunia buat semetara)
  5. Tanamkan dlm fikiran, dlm hati yg kita sedang berhadapan dgn Pencipta kita
  6. Hati hendaklah rasa takut, tak kala nak mengadapNya tapi hati masih bercelaru dgn perkara2 duniawi.
  7. Jgnlah menipu diri dgn wajah sahaja mengadap kiblat tapi fikiran tengah kacau bilau dgn perkara2 lain.
  8. Kena ingatkan diri bahawa solat yg diterimaNya ialah solat yg kusyuk, rendah diri, dan taqwa.
  9. Tanamkan dlm fikiran dan hati yg solat ini adalah satu pengabdian yg wajib serta harus dilakukan dgn penuh sabar, patuh, iman dan ihtisab.
  10. Hati yg tidak kusyuk, tidak tenang, asyik mengelamun itu menandakan terdapat kecacatan batin
  11. Bisiklah pada hati " wahai jiwa yg jahat, tidakkah engkau malu utk berhadapan dgnNya dlm keadaan begini?.."
  12. Lakukan solat dgn keinsafan, keyakinan dan tawadhu'.
  13. Lakukan takbir pertama dgn mengangkat kedua tangan ke paras bahu (utk lelaki) dgn tapak tangan mengadap kiblat dan jari2 lurus.
  14. Kedua2 ibu jari berhadapan dgn lubang telinga (dan bukan lain2 versi ala2 ultraman, kuak angin dsgnya).
  15. Sambil itu lafazkan takbir "Allahu akbar" sambil memasang niat menunaikan solat yg dikerjakan.
  16. Kemudian turunkan tangan dan dilipatkan di atas perut, sedikit ke kiri, tangan kiri dgn tapak terbuka dan jari2 melurus di letakkan di bawah tapak tangan kanan, sedang tangan kanan memegang pergelangan tangan kiri. (dan bukanlah ala2 memeluk tubuh)
  17. Janganlah lakukan gerak-geri yg meng'aibkan dari awal hingga akhir solat spt menggaru-garu, memaling muka ke kiri kanan, menggoyang2 badan depan belakang dsbnya. (dan semestinya tidak sekali2 menjawab hphone semasa solat, i am telling you, i've seen many).
  18. Selepas tangan terletak di atas perut, bacalah doa iftitah dan fatihah dengan bacaan yg betul bertajwid dan diakhirkan dgn bacaan Amin.
  19. Jika solat Subuh, bacalah surah2 yg agak panjang dari surah2 mufassal.
  20. Untuk solat Zuhur, Asar atau Maghrib, bacalah surah2 yg pendek.
  21. Untuk solat Isya', bacalah surat2 sederhana panjang spt. Al-Buruj, At-Toriq
  22. Apabila bermusafir, dalam solat Subuh bacalah Surah Al-Kafirun dan Al-Ikhlas, dan sebelum rukuk bacalah Subhanallah sebelum takbir.
  23. Semasa rukuk, jika solat bersendirian, bacalah tasbih 7 kali (yg biasanya dibaca 3 x bila berjemaah).
  24. Kemudian I'tidal iaitu berdiri dgn mengangkat tgn takbiratul ihram sambil membaca tasmi'.
  25. Apabila kedudukan tangan sudah sempurna diturunkan dan telah kembali tegak, bacalah dgn tenang doa tahmid.
  26. Kemudian sujudlah sambil bertakbir.
  27. Selaraskan kedua bahu setentang dengan kedua tangan dengan dahi dan hidung menyentuh lantai, dan kedua telapak kaki tegak di atas kedua ibu jari kaki.
  28. Kedua siku direnggankan dari lambung (lelaki) dan dirapatkan pada wanita.
  29. Semasa sujud, di dalam hati kenalah tanam perasaan bahawa kitalah insan hina dan bersujud kepada yang berhak menerima sujud iaitu Allah sambil bertasbih...

Mudah2an dengan sedikit senarai ini, bertambah baiklah solat kita, dalam menuju destinasi nikmat kusyuk. Memang sudah pasti senarai di atas perlu dilengkapi dgn panduan2 lain. Apatah lagi dgn kehidupan harian yg penuh dgn hiruk pikuk, benci cela, hasad dengki dan subhah dsbnya. Tambahan lagi surah2 pendek yg terhafal agak2 terbatas senarainya.


Catatan Selanjutnya...